"Aku nelayan mengetuk dinding dewan terdengar geletar suara bahasa terseksa, terjerit sama kealpaan purba."
Posts tagged Mahasiswa
Speaker’s Corner?
Mac 14th
Tiada hujan tiada ribut, terpacak satu pentas kecil di hadapan Darul Hikmah. Apa fungsi semua tak tahu. Nak kata ada program, tak masuk akal. Pentas sebesar kuman, program apa nak dijalankan? Pentas terus jadi pasu. Keras tak bergerak. Nak disiram tiada pokok. Kini pentas dah dibuang. Entah ke mana pergi.
Oh, rupa nya pentas tersebut untuk digunakan oleh pelajar untuk mereka melibatkan diri dalam Speaker’s Corner. Sudah lama penulis dengar isu menghidupkan semula Speaker’s Corner ni. Di UM dimulakan bersempena dengan PRK mereka.
Kalau diimbau sejarah, Speaker’s Corner atau Bahasa Melayunya Sudut Pidato, dimulakan ketika era kegemilangan mahasiswa. Waktu itu Speaker’s Corner menjadi kubu buat mahasiswa berhujah menyuarakan pendapat mereka. Nak bercakap pasal apa pun cakap lah. Tiada yang akan larang. Malah Hishamudin Rais, hero gerakan mahasiswa juga pernah bercerita yang beliau dan rakan-rakan pernah mengadakan sudut pidato menghentam ayah sahabat beliau semata kerana kedekut.
Memang bunyi nya seperti bodoh, bukan? Tapi ini lah hujah sinis untuk menggambarkan kepada kita betapa tingginya nilai kebebasan yang dinikmati mahasiswa ketika itu. Mahasiswa bebas menyuarakan ketidak puasan hati. Bukan sahaja ruang diberi, mereka juga tidak dikenakan apa apa tindakan oleh mana mana pihak.
Berbalik pada pentas tadi, rupanya ia tidak hilang. Cuma berpindah tempat. Jika dulu ditempatkan di hadapan Darul Hikmah, tempat paling popular di UIA, kini dengar nya sudah dialihkan berdekatan dengan Bank Muamalat. Wallahua’lam. Penulis belum lihat lagi.
Persoalan sekarang, apakah dengan wujudnya Speaker’s Corner ini maka mahasiswa sudah dianggap bebas? Apa buktinya? Semalam (11 Mac) Timbalan Menteri Pengajian Tinggi memberi kebenaran kepada mahasiswa untuk mengkritik kerajaan. Kalau dilihat dari segi lughah nya memang lah enak didengar. Tapi apa jaminan akan ada praktikalnya?
Mahasiswa kini masih dibelenggu dengan rasa takut dengan AUKU. Mereka cukup bimbang jika apa yang mereka suarakan, akan dijadikan alasan untuk universiti membuang mereka. Bagi penulis perlu ada mahasiswa yang menyahut cabaran menteri ini bagi menguji benar atau tidak jaminan beliau. Jangan cuma cakap cakap kosong bagi mengaut undi mahasiswa pada PRU-13 nanti.
Kalau mahasiswa cuma diberi kuasa untuk bercakap soal makanan tak cukup di kafeteria, lampu rosak di mahallah, penulis rasa baik campak sahaja pentas itu ke Sungai Pisang. Ini hanya menghina idealisme mahasiswa! Beri kebebasan kepada mahasiswa berkata apa sahaja. Jika salah, betulkan dengan hujah.
Bebaskan mahasiswa dari belenggu ketakutan. Biarkan mahasiswa menyuarakan pendapat mereka. Mahasiswa tidak lah terlalu bodoh hingga tidak tahu halal haram dan batas batas adab bersuara.
Berani kerana benar. Kalau pentadbiran universiti dan kerajaan yakin berada di pihak yang benar, kenapa takut dengan suara mahasiswa?
Wallahua’lam…
Mahasiswakah Aku?
Mei 31st
Aku bahagia dengan dunia aku!
Bila pensyarah mencetus satu idea, aku diam membisu. Apa kata pensyarah aku iakan. Tak kan aku nak bantah. Aku takut AUKU. Pensyarah itu lebih makan garam dari aku. Buat apa lah aku nak lawan pensyarah. Aku yang setahun jagung ni ikut saja lah idea mereka.
Kadang-kadang aku ingin juga mencetus idea aku sendiri. Idea yang lain dari yang lain. Tapi aku takut, aku takut AUKU! Apa jadi jika aku dibuang? Apa jadi jika aku digantung? Tak berguna, tak berguna langsung!
Aku tak tahu apa itu AUKU. Aku cuma faham ia penting. Dan sebagai mahasiswa yang cintakan keamanan, aku patuh saja AUKU itu.
Biarlah aku mundur, biarlah aku jahil, biarlah aku ketinggalan zaman. Asal aku boleh belajar dengan aman. AUKU itu biarlah di situ.
Sekarang riuh tentang pindaan tentang AUKU. Aku malas nak ambil tahu. Bagi aku itu bukan urusan aku. Baik aku diam saja di kampus menghafal Perlembagaan Persekutuan dan Kes-kes penting. Biar budak-budak gila politik saja yang pergi berdemo. Bukan boleh berubah pun.
Bagi aku 4.0 adalah segalanya. Biarlah pemikiran ku dipenjara, dibelenggu. Asal CGPA ku sentiasa 4.0.
Aku tak baca surat khabar. Persetan hal-hal politik. Semua gila kuasa. Aku bahagia membaca majalah hiburan. Apa berlaku di dunia hari ini aku malas untuk ambil tahu. Apa kaitan orang Amerika dengan aku? Aku tak rasa rugi tak tahu apa-apa tentang krisis ekonomi. Aku bukan ahli ekonomi. Cukuplah aku diam saja di kampus.
Aku bahagia dengan hidup aku!
Bila ada pilihan raya aku buat bodoh. Ah satu undi bukan boleh buat apa pun. Baik aku tidur di bilik. Biarkan pelajar gila politik yang mengundi. Aku lebih bahagia tidur di bilik.
Aku bahagia dengan hidup aku!
Bila Israel menyerang Gaza, terdengar jeritan pelajar gila politik mengajak turun berdemo di bawah panas terik. Aku tak peduli. Kalau aku berdemo pun, Israel nak dengar? Baik aku balik. Biarlah yang gila politik saja yang berdemo.
Kadang-kadang aku terfikir…
Betulkah aku bahagia dengan hidup sebegini? Adakah ini yang aku mahukan sebenarnya?
Cukupkah aku dapat CGPA 4.0?
Pening…
Pening…
Dan pening…
Mahasiswakah aku?
Mahasiswa dan Parti Politik
Mac 20th
Golongan mahasiswa adalah golongan yang istimewa. Amat jauh beza antara golongan mahasiswa dengan golongan yang lain. Di zaman keemasan bagi seseorang insan, golongan mahasiswa seharusnya sedar bahawa mereka mempunyai potensi yang sangat besar dalam melayari kehidupan seharian. Maksud melayari kehidupan seharian bukan hanya masalah “top-up” atau duit belanja, tapi melayari kehidupan di sini termasuk juga memberi respon pada isu-isu semasa yang menjadi warna kehidupan. Potensi mahasiswa yang amat besar ini seharusnya digunakan sebaik mungkin. Adalah malang jika para mahasiswa membiarkan sahaja waktu di kampus berlalu tanpa apa-apa makna.
Mahasiswa tugasnya mengeluarkan pendapat. Bukan namanya mahasiswa jika ia tak berani mengeluarkan pendapat sendiri. Akan tetapi, jika mahasiswa sejak mula lagi sudah mengambil keputusan mengikat diri pada parti politik, maka sudah tentu pendapat mereka hanya lah lanjutan dari pendapat para pimpinan parti. Ini lah yang banyak melanda mahasiswa hari ini. Mereka lebih suka dan ghairah mengaitkan diri pada sesebuah parti politik tanpa berfikir baik dan buruk. Apabila kita mengaitkan diri pada sesebuah parti politik, kita akan cenderung untuk menyokong apa sahaja pendirian parti tersebut. Malah daya intelek kita juga akan menjadi tumpul kerana kita akan melihat isu dari kaca mata politik, bukan dari kaca mata mahasiswa.
Darah muda yang membara di jiwa mahasiswa harus dikekalkan apinya. Menjadi mahasiswa adalah peluang bagi mereka untuk membuat keputusan sendiri. Persetankan pendirian parti politik. Tonjolkan sikap anda sendiri mengenai sesuatu isu. PPSMI contoh nya. Apa lah guna anda menentang PPSMI semata-mata kerana parti yang anda sokong menentangnya. Anda seharusnya berfikir sendiri, apa sebab PPSMI ini harus ditentang. Di mana silap nya, di mana kekurangan nya. Dengan ini barulah minda anda akan berkembang. Jangan hancurkan potensi anda dengan mengikut telunjuk parti politik secara membabi buta.
Berani lah untuk buat salah. Mahasiswa masih belajar untuk berjuang. Salah sekali-sekala apa lah salah nya. Membuat kesalahan adalah salah satu proses untuk belajar. Apa yang penting adalah keberanian untuk melakukan kesalahan. Berani lah untuk mengeluarkan pendapat anda. Biar kan pendapat anda salah. Asal anda berani melontarkan nya. Jika anda salah, anda ditegur. Itu saja. Oleh kerana anda adalah mahasiswa, peringkat anda ini anda bina lah keberanian untuk berfikir sendiri, bercakap sendiri, membuat sesuatu sendiri. Jangan takut untuk melontarkan idea anda. Takut-takut itu sikap golongan “pelajar”, bukan mahasiswa. Pelajar itu tempat nya di sekolah, bukan di IPT. Jika anda ingin menjadi pelajar, usah jejak kan kaki ke IPT.
Mahasiswa sekarang banyak berlindung di belakang parti politik. Hasil nya, jika parti politik memberi pendapat, maka gelabah lah mahasiswa untuk mencari alasan membenarkan pendirian tersebut. Malang sekali potensi yang ada sudah ditambat pada tunggul parti politik. Ada baik nya AUKU melarang mahasiswa dari menyertai parti politik. Kita sudah ada lapangan perjuangan di kampus. Buat apa kita sibuk kan diri dengan parti politik. Masuk saja kelab atau persatuan di IPT. Aktifkan diri, tonjolkan bakat anda. Jika anda benar-benar berbakat, sudah tentu akan ada tempat untuk anda dalam parti.
Minda mahasiswa masih mentah. Masih banyak yang ada di dunia yang tidak dirasai oleh mahasiswa. Rasailah dulu semua idea di muka bumi ini sementara anda adalah seorang mahasiswa. Usah kecilkan skop pemikiran anda pada ideologi tertentu sahaja. Menjadi mahasiswa hanya untuk 5 tahun. Usah bazirkan masa ini dengan menjadi aktor di bawah arahan politikus. Bina pementasan anda sendiri, buat skrip sendiri, jadi pengarah sendiri.
Biarkan ahli politik dengan permainan mereka. Kita sebagai mahasiswa main lah permainan kita sendiri. Lontarkan idea anda. Jadi golongan yang mengeluarkan idea, bukan golongan yang menghebahkan idea.
Wallahua’lam…








Komen Terbaru