bangkit dengan ilmu dan darah!
"Aku nelayan mengetuk dinding dewan terdengar geletar suara bahasa terseksa, terjerit sama kealpaan purba."
"Aku nelayan mengetuk dinding dewan terdengar geletar suara bahasa terseksa, terjerit sama kealpaan purba."
Jul 6th
izinkan aku menulis syair ku di sungai sungai.
kerana selagi mana sungai sungai itu mengalir,
selagi itu lah syair ku bisa kau baca.
Jun 30th
Jun 30th
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan angka 1:40. Apa 1:40? Ini bukan Ali Baba dan 40 penyamun. Tapi ini nisbah seorang melayu untuk 40 orang bukan melayu yang mendaftar sebagai pemilih. Mendaftar sebagai seorang yang mempunyai hak untuk menyahkan Najib dari Parlimen Pekan, berkemampuan untuk menendang Anwar dari Parlimen Permatang Pauh.
Penulis langsung tidak pelik dengan angka ini. Kerana memang itulah realitinya. Orang melayu memang bangang dalam menilai kuasa mereka. Orang melayu, yang miskin khususnya, tidak tahu bahawa mereka lebih berkuasa dari wakil rakyat, lebih hebat dari JKKK. Mereka tidak tahu bahawa Yang Berhormat, yang datang menebeng muka setiap kali pilihan raya itu, mengemis undi mereka. Mereka tak sedar bahawa mereka yang menentukan siapa di Putrajaya. Yang berlaku, mereka merasa bahawa mereka berhutang budi pada kerajaan. Memilih UMNO adalah kewajipan. Suatu perkara yang sangat bodoh bagi sebuah negara yang sudah lebih 50 tahun merdeka.
Orang melayu, seperti nenek moyang mereka, sudah terbiasa hidup dikawal oleh orang atasan. Jika dulu, kita dikawal oleh sistem Feudal kesultanan Melayu, sekarang kita sendiri secara bahalolnya, meletakkan diri dikawal oleh JKKK dan UMNO. Malah sekarang ini, JKKK itu lebih hebat dari Sultan Mahmud Mangkat Dijulang pula. Manakan tidak hebat jika hendak dapat pinjaman pun perlu dapat persetujuan JKKK terlebih dahulu? Manakan tidak hebat jika segalanya perlu lalu JKKK dahulu?
Keadaan minda orang melayu ini yang rela dijajah oleh orang lain, menyebabkan mereka tiada merasa hebatnya diri mereka. Mereka tiada keyakinan bahawa mereka mampu melantik kerajaan sesuka hati mereka. Mungkin kurangnya pendidikan tentang pilihan raya menyebabkan mereka menjadi agak bodoh sebegini. Di dalam sebuah sistem demokrasi, kerajaan itu dipilih oleh rakyat. Bukan kerajaan yang memilih rakyat. Kerana itu ada ungkapan, “the people should not be afraid of their government. it’s the government that should be afraid of its people”.
Ya, kerajaan sepatutnya takut kepada rakyat, hormat kepada rakyat kerana mereka memerintah atas kehendak rakyat. Rakyatlah yang meletakkan mereka di Putrajaya.
Tapi orang melayu masih belum sedar kuasa ini. Mereka takut untuk menukar kerajaan kerana mereka takut disusahkan oleh kerajaan sekarang iaitu UMNO. Banyak sudah kedengaran ugutan dari pemimpin UMNO tentang susahnya hidup jika UMNO ditumbangkan. Banyak sudah kedengaran fitnah tentang kekacauan yang akan berlaku jika UMNO mampus. Ini semua dusta yang hanya dipercayai oleh orang yang bodoh sahaja.
Di negara lain yang subur demokrasinya, rakyat bebas menukar kerajaan tanpa ada rasa takut dalam diri mereka. Lihat sahaja lah England. Mudah sahaja Gordon Brown disepak keluar setelah gagal membawa perubahan kepada rakyatnya. Inilah kuasa rakyat. Rakyat yang ramai sepatutnya tidak takut kepada 222 orang ahli Parlimen. Sebaliknya 222 itu yang perlu takut kepada rakyat. Jika mereka tak diundi oleh rakyat, tak merasalah mereka duduk di Dewan Rakyat.
Memang sukar untuk meyakinkan rakyat tentang kuasa mereka ini. Ayat yang biasa kita dengar, “molek doh weh.. dok ape lah lagu ni pong…”. Ya, memang sekarang ini kalau nak duduk sahaja cari makan di kampung tidak ada masalah. Tapi, dalam masa yang sama, kita ditipu dengan pelbagai skandal yang menghancurkan negara. Apa gunanya? Hidup aman, tapi dalam keadaan ditipu?
Ketiadaan kesedaran dikalangan masyarakat melayu tentang kuasa memilih mereka juga menyebabkan mereka tidak sedar bahawa satu undi juga boleh membawa kesan yang sangat besar dalam sesebuah pilihan raya. Lihat saja Pilihan Raya Umum 2004 di Kelantan dahulu. Ada kawasan yang dimenangi dengan majoriti satu undi sahaja. Ya, satu, 1, se, so, one. Bukan 10, bukan 100, tapi 1. Hanya kerana ada seorang manusia yang merasa bahawa undinya akan membawa perubahan yang besar, maka ada pemenang di kawasan tersebut.
Kerana itu, perlu disedarkan masyarakat melayu ini bahawa setiap undi mereka, sangat bermakna. Tiada beza pun undi seorang nelayan yang buta huruf dengan profesor yang bertaraf PhD. Semua mempunyai satu undi sahaja. Tapi walau satu undi, ia mampu membawa perubahan yang besar.
Wallahua’lam.
Jun 23rd
Ketika artikel ini ditulis, lebih kurang 48 jam sahaja lagi masa sebelum Dr Asri Zainul Abidin dan seangkatan “ulamak” dikatakan akan mengumumkan kemasukan mereka kedalam parti pemerintah, UMNO.
Penulis secara jujurnya terkejut dengan berita ini. Kerana sangat mustahil Dr Asri akan menyertai UMNO. Walaupun beliau tidakĀ berapa intim dengan PAS, tidak diterima akal juga jika beliau memasuki UMNO. Penulis berharap ini hanyalah khabar angin sahaja.
Namun begitu, andai kata Dr Asri benar-benar menyertai UMNO, penulis berpendapat PAS sebagai parti yang berslogankan Islam bakal terkena tempiasnya juga. Akan ada impak negatif yang akan menimpa PAS seandainya berita ini benar.
Apa impak negatif masuknya Dr Asri ke dalam UMNO kepada PAS? Selepas ini mungkin akan ada yang menentang salafi/wahabi/kaum muda/dll dan melabel mereka sebagai pencacai UMNO hingga melukakan hati sesetengah pimpinan PAS yang juga merupakan salafi/wahabi/kaum muda/ dll. Sikap serkap jarang ini merupakan satu perkara yang memberi kesan kepada PAS. PAS tidak sama dengan parti lain. Parti lain mereka lebih sekular. Namun PAS berpegang pada Islam.
Dan dalam Islam itu ada pula pecahan mazhab, aliran pemikiran yang berbeza-beza. Dan di Malaysia, yang paling menonjol adalah Kaum Tua dan Kaum Muda. Dan Dr Asri sudah sinonim dengan gerakan Kaum Muda di Malaysia. Bahkan apabila sebut sahaja Wahabi/Salafi/Kaum Muda/ dll yang seangkatan dengannya, tidak sah jika tidak disertakan sekali nama Dr Asri. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan Dr Asri itu Kaum Muda, dan Kaum Muda itu Dr Asri (sekurangnya pada pandangan orang awam).
Maka apa yang dibuat Dr Asri, dianggap sebagai mewakili Kaum Muda. Jadi jika Dr Asri menyertai UMNO, maka bahaya yang akan menimpa adalah orang akan menganggap Kaum Muda, Pro-UMNO. Dan ini akan mengguris hati pimpinan PAS yang ada juga sealiran dengan Dr Asri.
Mungkin berlaku pelabelan songsang UMNO = salafi/wahabi manakala PAS = Kaum Tua. Maka kerana itu, PAS perlu membetulkan kesonsangan ini andai ia berlaku. Jangan hingga terlambat baru mahu bertindak. Sekarang pun sudah ramai yang menolak PAS atas nama PAS kaki bid’ah.
Namun begitu, dengan perkembangan terkini menyaksikan Dr Asri menempelak Kerajaan, maka penulis merasakan bahawa Dr Asri tidak akan menyertai UMNO.
Wallahua’lam…
Jun 7th
Dalam masyarakat Melayu, surah Yasin merupakan surah kedua paling popular selepas surah al-Fatihah. Boleh dikatakan semua umat Melayu tak kira jantan betina, kecil besar, semua pernah membacanya sekurangnya sekali seumur hidup mereka. Kalau mereka tak baca pun semasa hidup, masa nak mati, ada orang akan bacakan kepada mereka. Dan pada setiap malam Jumaat, surah Yasin adalah surah “wajib”. Hebatnya surah Yasin kepada orang Melayu, hingga diadakan pula majlis khusus untuk membaca surah Yasin. Kerana itulah, surah Yasin sangat kuat hubungannya dengan masyarakat Melayu.
Jika disebut surah Yasin, yang paling banyak bermain dalam fikiran kita adalah kematian dan kesusahan. Kenapa? Kerana surah Yasin lah yang dicari bila ada kematian. Surah Yasinlah yang dicari bila kita berhajat kepada sesuatu. Ini tema paling popular dalam masyarakat Melayu. Namun jika diteliti maksud dan pengertian surah ini, sedarkah kita bahawa surah ini sangat memberi pengajaran buat mereka yang bergelar pejuang? Dalam surah ini, terdapat sebuah kisah yang mampu mengalirkan air mata seorang pejuang yang mengerti dan menghayati maksud ayat-ayat tersebut. Ini kerana dekatnya kisah ini dengan realiti yang dihadapi oleh sang pejuang.
Dari ayat 13-29, Allah telah menceritakan kepada kita kisah penduduk di sebuah negeri. Menurut ulamak, negeri itu bernama Anthokiah, dahulu terletak di Turki, namun selepas perang dunia I, ia termasuk dalam sempadan Syria. Penduduk di negeri itu termasuk pembesar dan rajanya, semua tidak beriman kepada Allah. Kerana, Allah telah mengutus rasulNya untuk menyeru penduduk Anthokiah agar menyembah Tuhan Yang Esa. Permulaannya diutus 2 orang rasul, kemudian dikuatkan dengan yang ketiga.
Hebatnya hikmat yang dapat dipelajari dari surah Yasin adalah perjuangan Islam ini tidak boleh dilaksana dengan bersendirian. Sedangkan Nabi yang diutus ke Anthokiah pun dalam keadaan berjamaah yaitu bertiga, inikan pula kita yang serba kekurangan ini. Kerana itu setiap pejuang harus sedar bahawa kerja buat Islam ini bukannya mudah dan ringan. Ianya amat berat dan takkan mampu untuk dipikul secara nafsi nafsi. Ia perlu kepada sebuah kesatuan. Kerana itu, penting bagi kita untuk bersatu dalam pertubuhan yang berikrar untuk memperjuangkan Islam.
Diceritakan lagi bahawa penduduk negeri ini telah menolak secara total dakwah yang disampaikan oleh utusan Allah itu. Mereka bukan sahaja menolak, bahkan mempersoal siapa Rasul itu untuk menyeru mereka kepada tauhid. Lebih malang lagi, para Rasul ini telah dituduh sebaga pembawa sial kepada penduduk Anthokiah. Rasul ini juga diugut dengan hukuman rejam dan kemuncaknya, mereka telah memenjarakan dua Rasul yang awal diutus.
Ini lah antara ujian yang sentiasa berulang kali datang menemui para pembawa risalah Islam. Sentiasa ada golongan yang akan mempersoal kewajaran sang pejuang menyeru mereka kearah kebenaran. Ini bukan perkara baru. Seorang pejuang yang benar tak akan terkejut dengan reaksi sebegini. Dan wajiblah para pejuang ini untuk bersabar dalam menghadapi kerenah mad’u walau seteruk mana sekalipun. Kerana inilah yang telah dihadapi oleh para Rasul. Inilah jalan yang telah dilalui oleh para Rasul. Dan demi Allah, tiada seorang pun para Rasul yang lari dari perjuangan semata kerana dakwah mereka ditolak. Maka jika kita lari dari perjuangan, maka apa kah kita masih boleh mengaku sebagai seorang pengikut Rasul? Dipenjara, diugut itu adalah “habuan” buat pejuang di dunia. Jalan menegakkan agama Allah bukan jalan yang dihampar dengan sutera. Tapi ia jalan yang penuh dengan kerikil tajam yang menanti untuk menusuk kaki kaki yang melaluinya. Bacalah kisah keteguhan Zainab al-Ghazali, dan lihat bagaimana dia telah disiksa dengan kejam di dalam penjara Thoghut.
Seterusnya kita dapat mengetahui bahawa penduduk Anthokiah telah menangkap para Rasul tadi dan mereka disiksa oleh penduduk itu. Dan ketika disiksa itulah, datang seorang pemuda bernama Habib an-Najjar dalam keadaan tergesa-gesa. Menurut ulamak, Habib bukanlah seorang yang hebat darjatnya di sisi penduduk Anthokiah. Habib hanyalah seorang tukang kayu, atau tukang batu. Namun itu bukan penghalang baginya untuk mendapat hidayah. Malah ketika dua Rasul mula-mula datang untuk berdakwah, mereka telah bertemu dengan Habib dan setelah mendengar ajaran Rasul itu, Habib telah memeluk Islam. Habib lah orang pertama dan terakhir yang memeluk Islam melalui dakwah para Rasul tadi. Namun begitu terdapat juga ulamak yang mengatakan Raja Anthokiah juga telah memeluk Islam apabila menyaksikan mukjikat Rasul menghidupkan seorang penduduk yang mati.
Untuk mendapat hidayah, seratus peratus terletak pada budi bicara Allah SWT. Kita tidak boleh memberi hidayah walau sehebat manapun kita. Cuba kita banding, jika Rasul yang maksum pun hanya mampu menarik seorang sahaja untuk masuk Islam, bagaimana pula dengan kita? Kita ditugas untuk menyeru kearah mengtauhidkan Allah, bukan untuk memberi hidayah. Kita hanya wajib menyeru, nak ikut atau tidak, itu ditentukan oleh Allah. Kerana itulah kita jangan rasa susah hati jika tiada yang mengikuti perjuangan kita. Tugas kita adalah untuk menyeru manusia, yang seterusnya akan ditentu oleh Allah. Tugas kita cukup sekadar memberi tahu.
Kehebatan seseorang tidak dinilai pada pangkat, hartanya. Tapi pada takwanya. Lihatlah Habib yang tiada pangkat tapi sanggup membela para Rasul. Habib tidak meninggalkan Rasul ketika dalam kesusahan. Habib bangkit, bangun menentang kemungkaran dengan lidahnya. Sebab itu jangan kita perlekeh seseorang hanya kerana dia tak berpangkat, berharta. Setiap orang ada kelebihan mereka. Kerana itu semua orang perlu dirai.
Keteguhan iman Habib telah menyebabkan penduduk Anthokiah menjatuhkan hukuman bunuh keatasnya. Caranya adalah mereka telah memijak-mijak Habib hingga syahidlah Habib.
Ini lah pengajaran yang penting buat sang pejuang. Sesungguhnya perjuangan membela Islam ini adalah jalan sehala. Tiada patah balik algi. Kita perlu bersedia untuk mempertaruhkan nyawa demi perjuangan Islam. Jangan kita sangka perjuangan ini mudah. Dan jangan juga kita menyangka bahawa perjuangan ini diredhai oleh semua. Sesungguhnya perjuangan ini akan menagih keringat, darah dan air mata kita semua.
Hebatnya semangat Habib ini, di alam Roh pun, setelah berjaya mengecap nikmat syahid, Habib masih ingin berdakwah kepada kaumnya.
Sesungguhnya seseorang yang bersungguh dan ikhlas dalam berdakwah, dia akan terus berdakwah hatta setelah berpindah ke perkampungan abadi. Hayatilah kisah para Syuhada yang kegigihan mereka berjuang telah membuka hati orang yang masih hidup hingga mereka juga berikrar untuk mengikut jejak langkah para Syuhada.
Inilah antara pengajaran berguna yang harus diambil iktibarnya oleh para pejuang. Ingatlah, jalan membela Islam ini akan sentiasa dicemburui oleh musuh. Maka bersedialah kita untuk mengorbankan segalanya hatta nyawa sekalipun kerana inilah, sunnah para Rasul!
Wallahua’lam…
Mei 31st
“…mahasiswa yang katanya sebagai agen perubahan tidak lebih dari orang bodoh, yang buta dan tuli.”
Mei 24th
Lebih kurang 9 tahun lalu, 7 orang mahasiswa telah ditahan ketika menyertai demonstrasi membantah kekejaman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Penangkapan mereka mendapat reaksi bantahan dari segenap golongan khususnya gerakan mahasiswa. Suasana ketika itu memang agak kecoh.
Dalam keghairahan masyarakat menentang regim Barisan Nasional yang patah sebelah kaki setelah dihentam Barisan Alternatif (kini Pakatan Rakyat) dalam Pilihan Raya ke-10 tahun 1999, mahasiswa mengambil inisiatif menubuhkan Gerakan Mahasiswa Menentang ISA (GMMI). GMMI ditubuh sebagai reaksi mahasiswa ke atas penangkapan 10 aktivis reformasi ketika itu[1]. Bagi menzahirkan penentangan ini, telah diadakan satu himpunan besaran di Masjid Negara. Seramai 500 mahasiswa megah berhimpun bagi mengutuk kekejaman ISA. Dan dalam himpunan inilah, 7 orang mahasiswa telah dicekup. Seperti dijangka, pihak universiti tanpa segan silu terus menggantung pengajian mereka[2].
Dan jika diingat kembali, dunia idealisme mahasiswa sangat bergolak dengan penggugatan secara terbuka kepada kebejatan parti pemerintah. Dan pemerintah, seperti biasa, bersikap keras terhadap mahasiswa.
Siapa akan lupa pada penangkapan saudara Fuad Ikhwan, Presiden MPP Universiti Malaya di bawah ISA kerana dituduh membakar Dewan Tunku Canselor? Siapa akan lupa pada pemecatan Presiden MPP Universiti Islam Antarabangsa, saudara Dasuki Wahab? ISA 7, seperti yang diceritakan tadi, siapa boleh lupa? Ini yang berlaku apabila mahasiswa bangkit menentang kebejatan regim Barisan Nasional.
Itu yang berlaku dulu. Yang terpahat kemas dalam tugu perjuangan mahasiswa. Sekarang pada tahun 2010, sekali lagi mahasiswa dihadap ke muka pengadilan. Di Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM 4 pelajar bakal didakwa di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kerana “membawa dan memiliki CD, risalah berunsur sokongan atau simpati dengan atau bangkangan terhadap parti politik yang bertanding dalam pilihan raya kecil kawasan itu”[3].
Agak pelik tuduhan yang dihadapkan kepada mereka berempat. Kerana jika memiliki risalah berunsur sokongan atau simpati kepada parti politik itu salah, bagaimana pula jika mahasiswa memiliki akhbar Utusan Malaysia? Bukankah Utusan sarat dengan berita yang membodek Barisan Nasional? Kenapa mahasiswa tidak didakwa kerana memiliki Utusan?
Kita hairan, kenapa HEP kelihatan begitu bersungguh dalam memberkas pelajar yang berpolitik sedang banyak lagi masalah sosial yang wujud dalam kalangan mahasiswa. Jika kita buka Facebook yang dikendali oleh para pelajar, mudah sangat untuk melihat aksi mereka tonggeng arak, berpeluk, bercium, di kelab malam. Apakah pengintip HEP tak pernah lihat semua ni? Kenapa para pelajar ini tak didakwa juga? Kenapa hanya mendakwa mahasiswa yang berpolitik?
Seperti episod yang ISA7, hikayat UKM4 ini sebenarnya sama sahaja. Keduanya didakwa kerana mereka mengancam kedudukan parti pemerintah. Sekiranya UKM4 itu memiliki bahan kempen Barisan Nasional, sudah tentu kita tidak akan lihat kempen untuk mendesak UKM menggugurkan dakwaan ke atas mereka. Kesalahan mereka hanya satu. Mereka menentang Barisan Nasional. Itu sahaja sebenarnya jawapan kepada kepelikan di atas. Kerajaan tidak kisah apa anda mahu buat, asal jangan menentang Barisan Nasional.
Suara mahasiswa suara keramat. Kerana itu kerajaan terlalu takut pada mahasiswa. Bayangkan, seorang manusia yang muda, berdarah panas, dan pada masa yang sama, berpendidikan. Sudah tentu mereka bisa menggoyahkan kedudukan siapa sahaja! Maka kerana itulah suara mereka akan sedaya upaya disekat oleh regim yang zalim.
Kita tak usah berasa pelik dengan tindakan disisplin yang ditimpakan ke atas UKM4 ini. Kerana mereka adalah mangsa percaturan politik bangsat UMNO APCO Barisan Nasional. Ingat, mahu selamat, jangan lawan kerajaan!
[1] HARAPAN, 11 Mei 2001
[2] Risalah ISA 7
[3] Malaysiakini, 18 Mei 2010
Mei 17th
Dalam keributan Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu, timbul satu isu dalam dunia perundangan Malaysia. Isu nya adalah kebenaran dari Mahkamah Tinggi untuk membenarkan seorang bukan Islam untuk merayu agar permohonannya untuk diterima sebagai peguam Syariah, dibicarakan [1]. Kes ini sudah tentu sangat menarik kerana ini kali pertama berlaku. Dan ia akan menjadi “landmark case” apabila dibicarakan kelak kerana ia akan menentukan “once and for all”[2] samada bukan Islam boleh menjadi peguam Syariah atau tidak.
Kita jangan buat-buat terkejut. Bagi orang bukan Islam, Perundangan Syariah hanyalah satu sahaja lagi sistem perundangan selain Perundangan Sivil. Bagi mereka tak ada beza pun keduanya. Semua adalah “man made law”. Kerana itu, mereka tak rasa yang prinsip “bukan Islam tak boleh jadi wakil orang Islam” itu relevan. Inilah yang dinamakan sekularisme.
Mereka tidak rasa yang Perundangan Syariah itu suci (Divine Law). Jadi, mereka rasa sebagai seorang rakyat Malaysia, maka sudah tentu mereka juga layak untuk menjadi pengamal undang-undang Syariah.
Antara alasan yang mereka kemukakan adalah telah berlaku ketidak adilan dalam perbicaraan yang melibatkan bukan Islam dalam Mahkamah Syariah. Oleh itu, mereka merasakan bahawa perlu bagi seorang bukan Islam diterima sebagai peguam di Mahkamah Syariah. Ini perkara yang perlu kita muhasabah.
Apakah kita sudah gagal dalam memanifestasikan keadilan Islam kepada bukan Islam sehingga hujah sebegini timbul? Antara prinsip perundangan sejagat adalah “Justice should not only be done, but should manifestly and undoubtedly be seen to be done”. Ini bermakna keadilan itu mesti ditunjukkan bagaimana. Bukan sekadar dilaksanakan.
Mungkin bukan Islam tidak faham perundangan Islam, maka itu mereka rasa tidak adil. Jadi menjadi tanggung jawab bagi setiap peguam yang berugama Islam di Malaysia ini untuk memberi faham kepada bukan Islam tentang prinsip Perundangan Islam.
Kita mesti berusaha untuk memberi mereka kefahaman yang menyeluruh tentang apa itu sistem perundangan Islam yang sebenar, kerana dengan itu, mereka akan yakin dengan sistem ini. Kerana jika dilihat, kes ini bertolak pada ketidak yakinan mereka kepada sistem ini. Kerana itu mereka mahu wakil mereka sendiri ada di sana.
Wallahua’lam.
[1] Jangan silap baca. Ini hanyalah “grant of leave”, bukan keputusan perbicaraan. Ini adalah satu prosedur dalam sistem perundangan di mana jika anda ingin merayu kes anda, anda perlu terlebih dahulu mendapatkan “leave” dari mahkamah tersebut. Kes anda akan hanya dibicarakan sekiranya anda berjaya mendapat “grant of leave” tersebut.
[2] Mahkamah Malaysia mengamalkan prinsip “binding precedent” di mana keputusan mahkamah yang di atas akan mengikat keputusan mahkamah di bawah. Jadi sekiranya kes ini diputuskan membenarkan bukan Islam menjadi peguam Syariah, maka lain-lain permohonan juga akan diterima.
————————————–
Tambahan: Kemungkinan besar beliau akan gagal kerana dalam “Peguam Syarie Rules 1993″, sudah jelas syarat untuk mejadi peguam syarie mestilah orang itu orang Islam.
10. Qualification of a Peguam Syarie
A person may be admitted to be a Peguam Syarie if he-
(a) (i) is a Muslim….
(ii) is a Muslim….
(iii) is a Muslim….
Jadi walaupun pada Seksyen 59(1) menggunakan perkataan “any person”, ia tetap tertakluk pada Peguam Syarie Rules 1993 sebagaimana disebut oleh Seksyen 59(2) akta yang sama.
Mei 15th
:: buat semua guru dan pensyarah yang pernah mengajarku erti sebuah kehidupan… ::
bukan gurukah itu,
yang mengajar sang peguam,
berkata hingga ia bisa berhujah di mahkamah?
bukan gurukah itu,
yang mengajar sang irsiniur,
mengira hingga ia bisa membina menara ke langit?
bukan gurukah itu,
yang mengajar sang ustaz,
mengaji hingga ia bisa mentafsir al-Quran?
bukan gurukah itu,
yang mengajar sang menteri,
berbakti hingga ia bisa membantu bangsanya?
bukan gurukah itu,
yang mengajar sang seniman,
menulis hingga ia bisa dianugerah seniman negara?
bukan gurukah itu,
yang mengajar sang doktor,
membalut luka hingga ia bisa membelah otak manusia?
bukan gurukah itu,
yang memujuk sang peguam ketika ia menangis di hari pertamanya?
bukan gurukah itu,
yang menemani sang irsiniur ketika ia ingin ke tandas?
bukan gurukah itu,
yang mencuci seluar sang ustaz ketika ia kencing ketakutan?
bukan gurukah itu,
yang memberi wang ketika sang menteri tidak membawa bekal?
bukan gurukah itu,
yang menghantar sang seniman ketika ia ketinggalan bas?
bukan gurukah itu,
yang bersengkang mata menanda kertas sang doktor?
bukan gurukah itu?
Bukit Tok Beng, 15 Mei 2010
Mei 15th
Hari ini katak muncul lagi. Di Wangsa Maju. Alasan sama seperti yang lain, tidak yakin lagi dengan parti yang diwakili. Sungguh mengecewakan. Kerana hal remeh, sanggup mencabul kepercayaan rakyat, lompat meninggalkan parti yang telah menaikkan mereka hingga layak ke Parlimen.
Penulis hingga sekarang masih tidak faham apa sebenarnya yang mereka mahu. Nak kata mereka ini orang miskin, tengok kereta, rumah, mantap. Nak kata mereka ni bodoh, semua nampak berpelajaran. Tapi masih mahu lompat parti.
Jika kita kaji dalam-dalam, apakah mereka yang melompat ini benar-benar layak untuk lompat parti?
Penulis pernah mendengar kisah seorang pak cik tua. Beliau kerja menoreh getah. Setiap hari, getah yang dipungut dibahagi dua. Satu bahagian dijemur di hadapan rumah, satu bahagian lagi dijemur di belakang rumah. Kenapa? Kerana yang dijemur di hadapan rumah, telah diinfaq untuk perjuangan! Sampai begitu sekali hebatnya semangat berjuang. Pak cik ini tua, kalau dilihat pada pekerjaan, sudah tentu tidak berpelajaran tinggi. Tapi kenapa mereka ini, masih tetap istiqamah dalam perjuangan walau susah bagaimanapun?
PAS Terengganu sejak dulu tidak pernah menang Pilihan Raya (kecuali 99). Bukan setakat tak pernah menang, nak dapat 10 kerusi Dewan Undangan Negeri pun susah. Tapi, walau tak pernah menang, tiada terlintas dalam hati mereka untuk berhenti dari berjuang. Berapa ramai dalam kalangan ahli PAS Terengganu yang berkorban harta dan jiwa semata untuk melihat kejayaan PAS menawan Terengganu. Namun sehingga sekarang, masih tiada hasil. Tapi kenapa mereka sanggup untuk terus berjuang walau kemenangan itu jauh panggang dari api?
Setiap kali pilihan raya, kita akan memandang tinggi pada calon. Jika menang, maka faktor paling kuat kita letak adalah kehebatan calon. Begitulah selalunya. Tapi kita lupa, yang berusaha macam nak mati untuk memenangkan calon itu siapa? Bukankah para petugas yang tak bernama itu yang bekerja kuat? Mereka ini makan minum duit sendiri, tak berpangkat, namun ikhlas untuk memenangkan parti. Kenapa mereka tak berpaling tadah sahaja? Kenapa mesti membazir wang, tenaga sedang bila menang nanti mereka tak dipandang pun?
Itu lah beza manusia pejuang dengan manusia katak. Manusia pejuang, walau sekeras mana halangan, walau sejauh mana perjalanan, mereka tak gentar, tak ketar. Mereka berjuang ikhlas demi melihat kejayaan idealisme yang mereka dokong. Mereka tak harap harta. Mereka tak harap pujian. Mereka tak perlu semua itu.
Tapi manusia katak? Tak dipilih sebagai calon, terus merajuk, lompat parti. Di mana keihlasan diri dalam berjuang? Adakah jamaah kuat kerana kita? Adakah jamaah damba kepada kita? Tidak sama sekali! Yang memerlukan jamaah adalah kita! Kita yang mengharap pada jamaah. Tapi kenapa bila datang sedikit ujian, maka kita terus tersungkur di jalan perjuangan ini?
Muhasabahlah diri kita semua. Jika pak cik tua yang miskin boleh istiqamah dalam perjuangan, kenapa kita yang makan pagi petang malam cukup ini tak mampu? Jika melompat parti itu satu kemuliaan, maka pak cik tua itu lah yang paling layak untuk melompat!
Komen Terbaru