Tiada hujan tiada ribut, terpacak satu pentas kecil di hadapan Darul Hikmah. Apa fungsi semua tak tahu. Nak kata ada program, tak masuk akal. Pentas sebesar kuman, program apa nak dijalankan? Pentas terus jadi pasu. Keras tak bergerak. Nak disiram tiada pokok. Kini pentas dah dibuang. Entah ke mana pergi.

Oh, rupa nya pentas tersebut untuk digunakan oleh pelajar untuk mereka melibatkan diri dalam Speaker’s Corner. Sudah lama penulis dengar isu menghidupkan semula Speaker’s Corner ni. Di UM dimulakan bersempena dengan PRK mereka.

Kalau diimbau sejarah, Speaker’s Corner atau Bahasa Melayunya Sudut Pidato, dimulakan ketika era kegemilangan mahasiswa. Waktu itu Speaker’s Corner menjadi kubu buat mahasiswa berhujah menyuarakan pendapat mereka. Nak bercakap pasal apa pun cakap lah. Tiada yang akan larang. Malah Hishamudin Rais, hero gerakan mahasiswa juga pernah bercerita yang beliau dan rakan-rakan pernah mengadakan sudut pidato menghentam ayah sahabat beliau semata kerana kedekut.

Memang bunyi nya seperti bodoh, bukan? Tapi ini lah hujah sinis untuk menggambarkan kepada kita betapa tingginya nilai kebebasan yang dinikmati mahasiswa ketika itu. Mahasiswa bebas menyuarakan ketidak puasan hati. Bukan sahaja ruang diberi, mereka juga tidak dikenakan apa apa tindakan oleh mana mana pihak.

Berbalik pada pentas tadi, rupanya ia tidak hilang. Cuma berpindah tempat. Jika dulu ditempatkan di hadapan Darul Hikmah, tempat paling popular di UIA, kini dengar nya sudah dialihkan berdekatan dengan Bank Muamalat. Wallahua’lam. Penulis belum lihat lagi.

Persoalan sekarang, apakah dengan wujudnya Speaker’s Corner ini maka mahasiswa sudah dianggap bebas? Apa buktinya? Semalam (11 Mac) Timbalan Menteri Pengajian Tinggi memberi kebenaran kepada mahasiswa untuk mengkritik kerajaan. Kalau dilihat dari segi lughah nya memang lah enak didengar. Tapi apa jaminan akan ada praktikalnya?

Mahasiswa kini masih dibelenggu dengan rasa takut dengan AUKU. Mereka cukup bimbang jika apa yang mereka suarakan, akan dijadikan alasan untuk universiti membuang mereka. Bagi penulis perlu ada mahasiswa yang menyahut cabaran menteri ini bagi menguji benar atau tidak jaminan beliau. Jangan cuma cakap cakap kosong bagi mengaut undi mahasiswa pada PRU-13 nanti.

Kalau mahasiswa cuma diberi kuasa untuk bercakap soal makanan tak cukup di kafeteria, lampu rosak di mahallah, penulis rasa baik campak sahaja pentas itu ke Sungai Pisang. Ini hanya menghina idealisme mahasiswa! Beri kebebasan kepada mahasiswa berkata apa sahaja. Jika salah, betulkan dengan hujah.

Bebaskan mahasiswa dari belenggu ketakutan. Biarkan mahasiswa menyuarakan pendapat mereka. Mahasiswa tidak lah terlalu bodoh hingga tidak tahu halal haram dan batas batas adab bersuara.

Berani kerana benar. Kalau pentadbiran universiti dan kerajaan yakin berada di pihak yang benar, kenapa takut dengan suara mahasiswa?

Wallahua’lam…