Nasir lebih rapat dengan Farish Noor, lebih romantis bersama Guevara.

“Aku bosan lah. Bosan dengan usrah-usrah semua ni. Asyik-asyik nak buat usrah. Usrah pulak tu bincang benda sama saja. Bosan!”

Luah Nasir. Nasir pelajar tahun 2 di AIKOL, UIAM. Kuliyyah paling panas di sana. Siapa pegang AIKOL, dia lah yang memegang UIAM. Dan sejak sekian lama, Kelab Cegah Mungkar lah yang memegangnya. Begitu lah hebatnya penangan AIKOL dalam politik kampus UIAM.

“Aku tak faham kenapa aku kena hafal doa ini, doa itu, hafal surah itu, surah ini, buat ritual ini, ritual itu, apa faedah nya untuk orang miskin di kota sana? Apa mereka peduli dengan semua ini? Kita nak candui mereka dengan agama? Agar mereka khayal dan lupa pada kesusahan hidup mereka? Hingga akhirnya mereka redha dengan kesusahan mereka? Persetan semua ini!”

“Kau tengok sendiri budak-budak Cegah Mungkar ni. Baca hadis cepat, tapi minta ulas isu semasa diam membisu. Orang macam ni nak gegar Malaysia? Ptuiih!!”

Marah benar Nasir. Mana tidak nya. Dia baru sahaja ditegur orang kuat Kelab Cegah Mungkar. Semua kerana kelantangannya mempersoal usrah Kelab Cegah Mungkar. Tak progresif katanya. Dengan berani juga Nasir menyalahkan usrah lapuk ini atas kelembapan ahli KCM untuk member reaksi kepada isu semasa.

Tulisan di blog itu pada dasarnya biasa saja. Sudah banyak dibuat orang. Maharaja Zhou menghentam usrah PMI di UM. Rausyanfikir mengkritik usrah Rakan Masjid di UTP. Tapi ia menjadi polemik apabila Nasir turut menamakan beberapa individu yang dianggapnya penyebab kepada kelapukan usrah ini. Setelah seminggu berada di laman maya, tulisan itu akhirnya diguna oleh pihak lawan untuk menghentam KCM juga. Akhirnya, kepimpinan KCM ambil tindakan terhadap Nasir.

Kerana itu lah, Nasir marah benar dengan KCM sekarang ini. Siapa mereka untuk mempersoalkan aku? Dan sasaran pertama, usrah KCM.

Nasir bukan calang mahasiswa. Tajam akal, peka isu semasa, bijak dalam strategi. Boleh dikatakan dia lah antara calon untuk menjadi pelapis dalam KCM. Namun semua bukan mudah buat Nasir. Sejak hari pertama lagi sudah mula pelbagai cabaran buat dirinya.

Hadir dari kalangan pelajar “direct intake”, yang bukan dari CFS (Centre of Foundation Study), Nasir sering dianggap orang luar oleh ahli KCM lain. Lebih lagi mereka yang sudah terlibat dengan KCM sejak dari CFS lagi. Latar belakang Nasir yang berpendidikan sekular juga menambahkan lagi jurang nya dengan ahli KCM lain.

Nasir tidak berkopiah. Nasir tidak berjubah. Nasir tidak pandai Arab. Nasir bukan segalanya yang perlu ada bagi ahli KCM. Malah pada mulanya Nasir sendiri tidak berminat menyertai KCM. Agama. Apa boleh agama buat pada masyarakat? Itu idea Nasir. Namun atas nasihat dari rakan rapat nya, Nasir akur juga dan mula belajar menyertai gerakan mahasiswa Islam.

Agak kekok juga Nasir untuk menyertai usrah bersama rakan-rakan lain yang jelas sekali lebai nya. Hari pertama lagi Nasir sudah resah gelisah tatkala rakan lain begitu lancar membicarakan soal agama. As-Syafie, Syed Qutb, al-Banna, semua menjadi buah mulut mereka. Tapi bagi Nasir, siapa mereka itu? Nasir lebih rapat dengan Farish Noor, lebih romantis bersama Guevara. Hishamuddin Rais amir nya.

Lebih malang buat Nasir, seolah dia disisih oleh ahli KCM dari CFS. Sering juga dia tidak menerima undangan ke usrah dan program KCM. Bila minta pertolongan sahaja yang laju. Semua seolah tidak sedar akan kewujudannya. Sakit juga hati Nasir dengan keadaan begini.

Namun Nasir sedar. Di UIAM mana mungkin sosialis sepertinya mampu hidup. Mana mungkin dia dapat bersuara kalau tidak menjadi ahli gerakan islam. Mahu tak mahu, ini sahaja pilihan buat dirinya. Cemburu juga Nasir dengan rakan-rakan di UKM dan UM. Di sana sosialis duduk sama rendah berdiri sama tinggi. Tapi di sini, jauh panggang dari api. Sabar sahaja pilihan Nasir.

Jika benih baik, dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke hutan menjadi gunung. Begitu lah Nasir. Walaupun dia tidak selebai ahli KCM yang lain, potensi kekuatan dirinya tetap tertonjol. Dan itu lah yang menarik perhatian senior dalam KCM. Malah naqib nya juga yakin bahawa Nasir akan menjadi seorang yang penting dalam dunia politik UIAM kelak. Nasir sudah punya kualiti seorang pejuang. Cuma Islami sahaja yang kurang. Ah, itu bukan masalah. Nasir malah sering disamakan dengan al-Walid di zaman kuffarnya. Kehadirannya dalam perjuangan Islam akan membawa makna yang besar. Maka kerana itu lah walaupun setebal mana pun sekularisma dalam diri Nasir, naqib nya tetap bersabar. Masa akan merubah segalanya dan tongkol besi ini akan diasah menjadi pedang!

Pejam celik pejam celik, berjaya juga Nasir mengharungi tahun pertama bersama KCM. Semakin sayang senior KCM terhadap Nasir. Nasir kuat membaca. Semua jenis ilmu ingin dibacanya. Malah kitab jawa kuno juga dia ingin hadam jika berkesempatan. Dan ini yang kadang-kadang dirisaukan oleh senior KCM nya. Bimbang sesat, kata mereka. Dan Nasir cuma tersenyum. Mereka bukan tahu apa yang aku baca. Masakan aku boleh dikatakan akan sesat. Karut. Bisik hati Nasir.

Walaupun hidup bersama KCM, Nasir tetap setia dengan sosialisnya. Nasir kerap menghadiri diskusi bersama rakan-rakan dari UKM, UM. Bersama di hujung minggu menyertai aktiviti sosial bersama. Cina, India, Melayu, semua bersama Nasir. Dan Nasir gembira dengan keadaan begini. Bagi Nasir agama, kaum, bangsa hanya pemisah umat manusia. Mana mungkin dapat menyatukan manusia. Kerap juga Nasir diperli oleh rakan sesosialisnya gara-gara penyertaan nya ke dalam KCM. Tapi Nasir buat bodoh sahaja. Cuba kau masuk UIA dulu tengok apa jadi. Laung Nasir dalam hati kecilnya.

Kualiti yang ada pada Nasir kadang-kadang membawa fitnah kepada dirinya. Sering “rakan-rakan” nya membawa 1001 cerita tidak elok mengenai dirinya. Pernah seseorang membawa cerita konon-konon Nasir ejen HEP untuk menjahanamkan KCM. Pernah juga akhlak Nasir dipersoal. Semua gara-gara laman sosial Facebook nya yang langsung tidak mencerminkan seorang pejuang Islam. Pejuang Islam dari kaca mata siapa? Dari kaca mata mereka, yang sempit dan kabur.

Namun semakin banyak cerita, semakin sayang pula senior KCM nya kepada Nasir. Sikap bersahaja Nasir dalam menghadapi aneka ragam dunia mahasiswa dikagumi mereka. Kalau aku lah, dah lama aku sekeh budak-budak ni. Luah seorang senior nya. Senior KCM sering husnul zhan kepada Nasir. Malah mereka melayan Nasir sebaik mungkin. Lebih lagi Muhsin, senior KCM yang sekarang sudah bergelar SRC. Muhsin lah yang mula-mula memperkenalkan kepada Nasir mengenai sepak terajang dunia mahasiswa. Dengan latar belakang yang sama sebagai pelajar “direct intake”, Nasir banyak belajar dari Muhsin. Dan Muhsin juga tidak sombong dan lokek ilmu dengan Nasir. Mungkin dia sedar bahawa pelajar “direct intake” memang banyak cabaran. Dan dia sudah merasainya. Dia tidak mahu perkara yang sama berlaku pada Nasir pula.

bersambung…