Artikel ini pernah tersiar lama dahulu. Diangkat kembali ke muka depan kerana pada hemat penulis, sangat relevan dengan apa yang berlaku dalam PAS sekarang. Bersama kita ambil iktibar.

Antara Taat Pemimpin dan Taat Jemaah

Ketaatan kepada kepimpinan merupakan asas penting dalam memastikan kelangsungan sesebuah jemaah. Tanpa ada kepatuhan, si anak buah akan besar kepala, pemimpin tak dihormati, dan akhirnya, berlaku seribu satu fitnah hingga hancur lebur lah sesebuah jemaah. Ada perbezaan antara ketaatan pada jemaah dan ketaatan pada pemimpin. Walau nampak sama, namun ada beza antara keduanya. Ada orang taat pada pemimpin, ada orang taat jemaah. Jarang orang taat kedua-dua nya sekali.

Kenapa ada beza? Kerana orang yang menyertai sesuatu jemaah kerana tertarik pada pemimpin, maka mereka sudah tentu akan taat pada pemimpin itu lebih dari taat nya mereka pada jemaah. Dan orang yang masuk jemaah tanpa perantaraan pemimpin, taat mereka pada jemaah adalah lebih.

Apa beza kedua nya? Taat pada pemimpin bererti menyokong seseorang pemimpin dalam segala tindak tanduknya. Ketaatan ini kadang-kadang boleh menjadi melampau. Hingga ke satu tahap, membelakangi jemaah sendiri. Ini lah yang pernah berlaku kepada UMNO. Lihat saja bagaimana taatnya orang Permatang Pauh kepada DS Anwar Ibrahim. Hingga kan bila UMNO sudah menerajang DS Anwar pun mereka masih setia di belakang beliau. Akhirnya, kubu kuat UMNO yang pada ketika itu sudah kalis dengan asakan pembangkang, tumbang jugak bila Wan Azizah mengambil alih di bawah lambang Parti Keadilan.

Begitulah juga yang terjadi di P.036 Kuala Terengganu baru-baru ini. UMNO tak mampu menolak hakikat bahawa orang Kuala Terengganu taat kepada UMNO di PRU-12 kerana Allahyarham Dato’ Razali. Sebab itu lah UMNO kalah bila calon yang mereka bawa tak mampu menandingi Dato’ Razali. Orang Kuala Terengganu kurang taatnya pada jemaah. Sebab itu mereka tak menjadikan Kuala Terengganu kubu mana-mana parti.

Ketaatan pada pemimpin secara melampau ini kadang-kadang menjadi suatu barah kepada jemaah. Apabila orang bawah lebih taat pada pemimpin daripada jemaah, mereka akan berani menongkah arus bersama pemimpin tersebut. Jika A pegangan pemimpin itu, A lah kata mereka walau jemaah berkehendakan B. Pemimpin yang mempunyai pengaruh yang besar boleh membawa masalah kepada jemaah dalam jangka masa panjang. Tiada siapa di dunia ini boleh menjamin kesetiaan mereka pada sesuatu jemaah. Bila pemimpin berpengaruh ini berlaga dengan jemaah, maka nekadnya dia keluar jemaah akan membawa bersama penyokong-penyokong nya sebagai mana DSAI membawa bersama penyokongnya dalam UMNO hingga hampir melumpuhkan UMNO di PRU-10.

Masalah lebih besar timbul bila pemimpin berpengaruh ini mencari pengaruh pula dalam kalangan pemimpin lain dalam jemaah tersebut. Bila mereka dah ada penyokong dalam majlis tertinggi, timbullah puak-puak dalam kepimpinan. Ini lebih bahaya kerana jika sesuatu berlaku, berlagalah puak-puak ini. Isu inilah yang membawa fitnah Erdogan dalam PAS sekarang. Entah benar entah tidak, hanya masa menentukan.

Sewajarnya, seseorang pemimpin itu perlu sedar bahawa dia tidak patut ada pengaruh yang besar hingga membayangi pemimpin tertinggi. Pengaruh perlu disandar pada jemaah. Bila orang bawah taat pada jemaah, jemaah dapat hidup lebih lama. Pemimpin datang dan pergi, tak ramai yang mampu hidup sampai 100 tahun. Tapi jemaah, ada yang kekal beratus tahun.

Orang bawah perlu diajar untuk taat pada jemaah lebih dari taat kepada mana-mana pemimpin. Keputusan jemaah perlu mereka patuhi walau bercanggah dengan keputusan pemimpin. Kekuatan jemaah perlu dijana dari sokongan akar umbi, bukan sekadar bersandar pada kekuatan mana-mana pemimpin. Bila orang bawah taat pada jemaah, letak saja siapa bertanding, insya-Allah menang! Jika kita sandar kekuatan jemaah pada seorang pemimpin, apa jadi bila pemimpin itu belot? Apa jadi jika pemimpin itu di panggil balik ke pangkuan Ilahi? Susah nak cari pengganti sebagaimana kes Almarhum Dato’ Fadhil Noor dulu. PAS tak mampu mempertahan kedua-dua kerusi beliau semasa Pilihan Raya Kecil yang diadakan dulu.

Orang bawah perlu sedar seorang pemimpin tak mampu membawa perubahan dalam Parlimen atau DUN. Seorang calon bebas tak mungkin mampu membawa usul ke Parlimen tanpa sokongan jemaah lain. Kerana itulah saranan agar rakyat mengundi calon, bukan parti tak lebih dari sekadar saranan tidak cerdik. Dalam keadaan sekarang, ahli Parlimen akan menyokong mana-mana usul parti mereka. Tak mungkin ahli Parlimen UMNO menyokong usul DAP tanpa perkenan MT UMNO. Oleh itu, hentikanlah saranan sebegini selagi mana pemikiran ahli Parlimen kita tidak berubah.

Kesimpulannya, orang bawah mesti ingat bahawa ketaatan mereka mesti pada jemaah, bukan pemimpin. Jangan jadi seperti orang Islam selepas kematian Rasulullah S.A.W. Mereka murtad kerana mereka memberi sokongan hanya pada Nabi, bukan pada Islam. Pendek kata mereka tidak seiringkan taat pada Rasulullah dengan taat pada Islam. Sebab itu lah Sahabat memberi pesan, “Siapa yang menyembah Muhammad, Muhammad telah mati. Siapa yang menyembah Allah, Allah tidak mati.”

Orang atas pula, berilah pesan pada penyokong agar lebihkan sokongan kepada jemaah dan jangan membelakangi arahan jemaah walau pemimpin tak setuju. Tak mungkin majlis syura salah dan pemimpin yang seorang itu betul.

Wallahua’lam.