Pada 14 November yang lepas, penulis berkesempatan untuk merayau di sekitar hutan batu Kuala Lumpur setelah 2 minggu berhempas pulas menduduki peperiksaan akhir. Penulis bersama sahabat baik, Imran, juga pelajar undang-undang namun dari Universiti Malaya. Kami membuat keputusan untuk mencari kelainan dalam eksepedisi kali ini iaitu dengan berjalan kaki sahaja, tidak menaiki bas atau komuter. Kami berjalan dari KL Sentral menuju ke Pasar Seni. Sesat lah juga ke Daya Bumi sedangkan Pasar Seni depan mata sahaja. Ini lah akibat bila semua nak harap komuter. Huhu..

Dalam perjalanan, kami sempat singgah sebentar di sungai Klang. Terpesona dengan keindahan mural yang dihasilkan oleh para seniman tak bernama. Lukisan-lukisan ini sering dianggap kotor oleh penguasa. Bagi yang buta seni, tiada nilai pun lukisan sebegini. Hanya sekadar contengan budak-budak nakal. Bagi mereka seni hanya terletak di Galeri Petronas, Muzium Kesenian Islam. Mana ada “class” seni di tepi sungai yang keruh sebegini.

Lukisan yang dihasilkan tanpa izin dari penguasa ini lebih popular dengan nama “graffiti“. Graffiti menurut wikipedia bermaksud apa-apa contengan seperti lukisan atau tulisan yang ditonjolkan di tempat-tempat awam.Seni ini sering dikaitkan dengan aktiviti vandalisme. Dan penulis pernah terkilan membaca kebebalan seorang wartawan Kosmo! yang mengutuk lukisan-lukisan ini dan mengatakan bahawa ia mencacatkan pemandangan. Benarkah?

Bagi penulis, graffiti yang dihasilkan oleh anak-anak muda ini lebih menarik berbanding dengan dinding yang penuh dengan daki dan lumut. Bukankah graffiti ini membantu mewarnai persekitaran ibu kota? Bukankah ini lebih baik dari membuka tender buat kroni untuk mengindah Sungai Klang? Seni ini dihasilkan tanpa bayaran. Anak muda ini hanya ingin meluahkan apa yang mereka rasakan, bukan sesuka hati ingin menconteng dinding. Cuba fikir logik. Jika anak muda ini ingin mempamerkan hasil karya mereka, bolehkah ia dipamerkan secara percuma di Galeri Petronas? Di PWTC? Mereka tiada duit untuk menyewa ruang pameran. Jadi di dinding ini lah mereka menghasilkan karya agung mereka. Di sini penulis suka untuk berkongsi sedikit sebanyak “hasil” yang penulis dapat sepanjang menyusuri Sungai Klang.

bila cinta bersemi... from subang to bp... (seburuk mereka pun, menulis jawi tahu. wartawan kosmo?)

berbakti dengan kemahiran yang dimiliki...

mengajar moral walau dituduh tak bermoral

penulis, berlatar lukisan yasmin ahmad, pengarah kontroversi