hidup revolusi!

hidup revolusi!

Suatu hari, selepas kelas Perlembagaan.

“Hisyam, awak ada dengar pasal isu revolusi?” tanya Prof. Badrul. Terkenal dengan kelantangan menyuarakan pendapat khususnya dalam isu politik semasa.

“Ya, Prof. Memang pastilah saya pernah dengar isu ni. Dah kecoh satu varsiti tentang isu ni. Sana-sini budak-budak bercerita tentang ni. Tak tahu mana asalnya, tiba-tiba dah bertaburan risalah tentang revolusi.” terang Hisyam.

“Awak tak tahu siapa yang memulakan semua ni?”

“Entahlah Prof. Budak-budak pun pelik. Semua berlaku dengan tiba-tiba.”

“Saya ada sesuatu nak cakap dengan awak. Tapi di sini tak sesuai. Jom, kita keluar.”

“Hal apa Prof?”

(Keduanya keluar dari dewan kuliah)

“Awak tahu, sekarang pihak varsity dah mulakan siasatan tentang isu ni. Dan antara suspek, Kelab Cegah Mungkar.”

“Apa? Tak mungkin lah! Saya duduk dalam majlis tertinggi, tak pernah saya dengar mana-mana AJK sebut hal revolusi ni. Ini semua tuduhan palsu Prof!”

“Itulah yang saya fikir sekarang. Pentadbir, biasalah. Bila timbul isu tentang keselamatan awam macam ni, suspek utama mesti dating dari kelompok agama. Saya dengar selepas ni mereka akan pasang ‘spy’ untuk siasat kegiatan Kelab Cegah Mungkar. Awak perlu hati-hati! Ini bukan hal main-main.”

“Baik Prof. Tapi, dari mana Prof tahu semua ni?”

“Itu awak tak perlu tahu. Saya minta diri dulu.”

(Di Kafe Umar al-Khattab)

“Apa? Mereka nak tuduh Kelab Cegah Mungkar buat semua benda tu?”

“Ya, ini yang aku dengar sendiri dari Prof. Badrul. Kalau dia yang bercakap, mesti ada asasnya. Kita mesti buat sesuatu.”

“Mamat jahanam manalah yang duk sibuk nak Revolusi ni. Menyusahkan orang!”

“Sabar, kita perlu rasional. Jangan ikut nafsu. Malam ni, kita buat mesyuarat tergempar. Maklumkan pada AJK yang lain. Kalau boleh dapatkan Ustaz Asri sekali. Isu ni besar, ada baik dia ada sekali.”

“InsyaAllah…”

(Malam itu ketika mesyuarat)

“Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kepada anda semua kerana terpaksa mengadakan mesyuarat dalam keadaan tergesa-gesa. Tapi, tujuan mesyuarat ini diadakan bukan untuk membincang hal-hal remeh, tapi hal yang besar. Hal yang melibatkan masa depan Kelab Cegah Mungkar sepenuhnya!”

Hisyam memulakan bicara. Hisyam adalah pengerusi Kelab Cegah Mungkar yang agak kontroversi. Tidak semua setuju dengan perlantikan Hisyam. Tapi oleh kerana tugas ini adalah amanah, Hisyam pikul juga walau ada yang sangsi.

“ Seperti yang tuan-tuan sedia maklum, sekarang ini varsiti demam dengan virus Revolusi. Di mana-mana pun orang sibuk bercakap tentang Revolusi. Dan siang tadi, saya telah dimaklumkan oleh Prof. Badrul bahawa pihak varsiti sudah mula menyiasat tentang hal ini. Dan suspek utama tak lain tak bukan adalah Kelab Cegah Mungkar sendiri. Kita dituduh menjadi dalang kepada kekacauan ini!”

Suasana agak kecoh. Masing-masing bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengar. Memang, mereka semua sedia maklum bahawa Kelab Cegah Mungkar adalah kelab paling “lembut” di varsiti. Tapi tuduhan Revolusi ini terlalu besar.

“Dan saya juga diberitahu oleh Prof. Badrul bahawa ada perisik yang dilantik khas oleh varsiti untuk memantau aktiviti Kelab Cegah Mungkar.” Ujar Hisyam lagi.

“Saya tak percaya!” tiba-tiba Hassan mencelah.

“Perkara perisik-perisik ini bagi saya hanya helah untuk memporak-perandakan kita. Cuba tuan-tuan bayangkan. Jika varsiti berjaya yakinkan kita bahawa ada ‘spy’ di kalangan kita, bukankah kita akan jadi ‘paranoid’? Mengesyaki rakan seperjuangan sendiri.Akhirnya, yang rugi Kelab Cegah Mungkar sendiri. Dan kita jangan lupa, varsiti tak pernah berdamai dengan kita. Jangan terperangkap dalam muslihat mereka!” hujah Hassan, Ketua Biro Dakwah.

“Ada betulnya pendapat saudara Hassan tu. Perkara ini rumit, kita jangan gopoh. Pendapat saya, biarlah kita tunggu dan lihat dulu perkembangan sehari-dua ini. Dan pada masa yang sama, cuba elakkan dari melakukan aktiviti yang mencurigakan. Ingat, mereka sudah lama hendak ‘membaham’ kita. Tunggu peluang sahaja.” ujar Ustaz Asri, penasihat Kelab Cegah Mungkar.

Mesyuarat berakhir dengan penuh kekecewaan, kejutan, kerisauan. Hisyam selaku Pengerusi benar-benar terkena dengan ujian ini. Baru dia tahu langit itu tinggi. Dan hujah Hassan tadi juga kerap mengganggu fikirannya. Hassan bukan calang orang. Paling tsiqah di varsiti. Hadis 40 dihafal dan diamal. Kalau lah bukan kerana Hassan tidak hafal 40 teknik mengurus yang baik, sudah tentu Hisyam tak berpeluang untuk duduk di kerusi empuk Kelab Cegah Mungkar.

Sudah sekian lama Kelab Cegah Mungkar berlayar di samudera tanpa kocakan ombak. Namun sekarang bukan sekadar ombak, tapi Tsunami yang akan menggoncang Kelab Cegah Mungkar!