Fahmi Reza dan Student Power: Apa Cerita?
Setelah dua kali diharamkan, akhirnya Fahmi Reza berjaya juga memecah tembok kemandulan intelektual dengan mengadakan sesi syarahan awam Student Power di Universiti Islam Antarabangsa. Sebagai antara individu yang duduk dari minit pertama sampai minit terakhir, ada beberapa perkara yang buat penulis berfikir.
Pertama, mengenai budaya Student Power. Satu perkara yang paling menarik tentang Student Power kendalian Fahmi Reza adalah Fahmi sudah mula berjaya meng’cool’kan terma Student Power. Sebelum ni Student Power, politik, hak mahasiswa, etc dianggap isu skema. Ramai yang tak minat sebab mereka tak rasa benda-benda ni cool. Jadi cabaran gerakan mahasiswa sekarang adalah untuk menjadikan perjuangan mereka itu satu yang cool, stylo, chic, bukan skema.
Perjuangan mahasiswa adalah perjuangan anak muda. Perjuangan remaja yang kebanyakannya masih belum puas untuk merasai keseronokan dunia. Jadi, pendekatan yang digunakan dalam perjuangan harus berbeza dengan pendekatan yang digunakan oleh NGO, parti politik, dan persatuan luar kampus yang lain. Gerakan mahasiswa harus menyelidiki apa yang digemari mahasiswa, apa budaya mereka, dan masukkan unsur Student Power.
Kita tidak boleh memaksa mereka menerima cara kita. Kita yang harus belajar untuk menghormati cara mereka. Setuju atau tidak itu nombor dua.
Satu perkara lagi adalah tentang “student unity”. Kalau diperhatikan, kehebatan mahasiswa era 60-an bukan kerana mereka ada tokoh yang hebat. Mungkin Khong dan Hamid boleh dianggap katalis dalam kebangkitan mereka, namun segalanya tak mungkin ada tanpa kesatuan dalam kalangan pelajar.
Student Power memerlukan penyatuan yang teguh dalam kalangan mahasiswa. Solidariti adalah perkara yang wajib. Jika mahasiswa masih berfikir kau, kau, aku, aku, maka usah bermimpi mahu berStudent Power. Student Power akan menjadi hak kelompok, bukan hak mahasiswa. Semua mahasiswa perlukan hak yang sama, jadi untuk berbalah adalah satu perkara yang merugikan.
Seperkara lagi, tentang kepentingan menyelongkar kembali sejarah. Ramai yang mendapat manafaat apabila Fahmi sanggup mengumpul kembali bahan-bahan sejarah dulu kala yang sangat ‘priceless’. Antaranya, video Ungku Aziz berdepan Student Power. Bayangkan seorang mahasiswa boleh mengangkat hailer dan berhujah di hadapan muka Ungku Aziz. Ini satu perkara yang memerlukan keberanian.
Pengumpulan semula bahan sejarah adalah penting. Adalah sia-sia jika para pejuang mahasiswa menjadikan sejarah perjuangan mereka sekadar lagenda yang mungkin betul mungkin salah. Nak dikata salah, mereka pejuang. Nak dikata betul, mana buktinya?
Dan akhir sekali, tentang unsur Sosialis dalam kempen Student Power. Jujur penulis katakan bahawa sepanjang 2 jam 30 minit Fahmi membebel, tiada kedengaran beliau berkempen tentang kehebatan Sosialisme. Malah isu Sosialis hanya timbul apabila mahasiswa menubuhkan Kelab Sosialis. Itupun hanya sebentar saja diutarakan.
Sudah jadi kebetulan, Student Power era 60-an ditunjangi oleh golongan Sosialis. Apa boleh buat? Ingin sekat terus Fahmi semata kerana wujud unsur Sosialis? Ini perbuatan bodoh, bertentangan dengan budaya ilmu.
Ramai ahli gerakan mahasiswa Islam yang menyuarakan kebimbangan mereka tentang wujudnya unsur Sosialis ini. Apa yang penulis boleh katakan, gerakan mahasiswa Islam harus menggunakan masa mereka untuk turut membongkar sejarah perjuangan aliran Islam, bukan membazir masa menyerang Fahmi. Gerakan mahasiswa Islam kaya dengna sejarah mereka yang tersendiri. Namun tiada usaha serius dilakukan untuk mempopularkan sejarah ini.
Kesimpulannya, untuk meniru bulat-bulat pendekatan yang digunakan oleh mahasiswa 60-an memang mustahil. Apa yang kita boleh buat adalah menjadikan mereka sebagai inspirasi kepada kita untuk turut memperjuangkan Student Power. Pendekatan sudah tentu berbeza kerana kita sekarang di zaman Facebook, Twitter, bukan lagi zaman Vietnam War.
Wallahua’lam.

ada beza mengapa mahasiswa 60-an tampak berani, sebab mereka sudah bekerja dan merasai pahit jerih kehidupan, tambah pulak awal2 merdeka, kedudukan ekonomi negara tidak sebaik sekarang…mereka yang dah bekerja, sah2 tau ape masalah yang dihadapi oleh rakyat…
berbeza dengan mahasiswa hari ini, mereka fresh2 daripada sekolah, langsung tiada pengalaman bekerja, dalam kedudukan ekonomi dan politik lebih baik berbanding dulu (dalam konteks, kerajaan nak memulakan langkah sebagai kerajaan)…ini juga perlu diberikan perhatian dan dinilai dengan baik…so kena check latar sejarah disebalik kebangkitan STUDENT pada masa itu…