"Aku nelayan mengetuk dinding dewan terdengar geletar suara bahasa terseksa, terjerit sama kealpaan purba."
1:40 – Melayu Yang Tidak Tahu Kerisnya Tajam Bisa Membelah Langit
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan angka 1:40. Apa 1:40? Ini bukan Ali Baba dan 40 penyamun. Tapi ini nisbah seorang melayu untuk 40 orang bukan melayu yang mendaftar sebagai pemilih. Mendaftar sebagai seorang yang mempunyai hak untuk menyahkan Najib dari Parlimen Pekan, berkemampuan untuk menendang Anwar dari Parlimen Permatang Pauh.
Penulis langsung tidak pelik dengan angka ini. Kerana memang itulah realitinya. Orang melayu memang bangang dalam menilai kuasa mereka. Orang melayu, yang miskin khususnya, tidak tahu bahawa mereka lebih berkuasa dari wakil rakyat, lebih hebat dari JKKK. Mereka tidak tahu bahawa Yang Berhormat, yang datang menebeng muka setiap kali pilihan raya itu, mengemis undi mereka. Mereka tak sedar bahawa mereka yang menentukan siapa di Putrajaya. Yang berlaku, mereka merasa bahawa mereka berhutang budi pada kerajaan. Memilih UMNO adalah kewajipan. Suatu perkara yang sangat bodoh bagi sebuah negara yang sudah lebih 50 tahun merdeka.
Orang melayu, seperti nenek moyang mereka, sudah terbiasa hidup dikawal oleh orang atasan. Jika dulu, kita dikawal oleh sistem Feudal kesultanan Melayu, sekarang kita sendiri secara bahalolnya, meletakkan diri dikawal oleh JKKK dan UMNO. Malah sekarang ini, JKKK itu lebih hebat dari Sultan Mahmud Mangkat Dijulang pula. Manakan tidak hebat jika hendak dapat pinjaman pun perlu dapat persetujuan JKKK terlebih dahulu? Manakan tidak hebat jika segalanya perlu lalu JKKK dahulu?
Keadaan minda orang melayu ini yang rela dijajah oleh orang lain, menyebabkan mereka tiada merasa hebatnya diri mereka. Mereka tiada keyakinan bahawa mereka mampu melantik kerajaan sesuka hati mereka. Mungkin kurangnya pendidikan tentang pilihan raya menyebabkan mereka menjadi agak bodoh sebegini. Di dalam sebuah sistem demokrasi, kerajaan itu dipilih oleh rakyat. Bukan kerajaan yang memilih rakyat. Kerana itu ada ungkapan, “the people should not be afraid of their government. it’s the government that should be afraid of its people”.
Ya, kerajaan sepatutnya takut kepada rakyat, hormat kepada rakyat kerana mereka memerintah atas kehendak rakyat. Rakyatlah yang meletakkan mereka di Putrajaya.
Tapi orang melayu masih belum sedar kuasa ini. Mereka takut untuk menukar kerajaan kerana mereka takut disusahkan oleh kerajaan sekarang iaitu UMNO. Banyak sudah kedengaran ugutan dari pemimpin UMNO tentang susahnya hidup jika UMNO ditumbangkan. Banyak sudah kedengaran fitnah tentang kekacauan yang akan berlaku jika UMNO mampus. Ini semua dusta yang hanya dipercayai oleh orang yang bodoh sahaja.
Di negara lain yang subur demokrasinya, rakyat bebas menukar kerajaan tanpa ada rasa takut dalam diri mereka. Lihat sahaja lah England. Mudah sahaja Gordon Brown disepak keluar setelah gagal membawa perubahan kepada rakyatnya. Inilah kuasa rakyat. Rakyat yang ramai sepatutnya tidak takut kepada 222 orang ahli Parlimen. Sebaliknya 222 itu yang perlu takut kepada rakyat. Jika mereka tak diundi oleh rakyat, tak merasalah mereka duduk di Dewan Rakyat.
Memang sukar untuk meyakinkan rakyat tentang kuasa mereka ini. Ayat yang biasa kita dengar, “molek doh weh.. dok ape lah lagu ni pong…”. Ya, memang sekarang ini kalau nak duduk sahaja cari makan di kampung tidak ada masalah. Tapi, dalam masa yang sama, kita ditipu dengan pelbagai skandal yang menghancurkan negara. Apa gunanya? Hidup aman, tapi dalam keadaan ditipu?
Ketiadaan kesedaran dikalangan masyarakat melayu tentang kuasa memilih mereka juga menyebabkan mereka tidak sedar bahawa satu undi juga boleh membawa kesan yang sangat besar dalam sesebuah pilihan raya. Lihat saja Pilihan Raya Umum 2004 di Kelantan dahulu. Ada kawasan yang dimenangi dengan majoriti satu undi sahaja. Ya, satu, 1, se, so, one. Bukan 10, bukan 100, tapi 1. Hanya kerana ada seorang manusia yang merasa bahawa undinya akan membawa perubahan yang besar, maka ada pemenang di kawasan tersebut.
Kerana itu, perlu disedarkan masyarakat melayu ini bahawa setiap undi mereka, sangat bermakna. Tiada beza pun undi seorang nelayan yang buta huruf dengan profesor yang bertaraf PhD. Semua mempunyai satu undi sahaja. Tapi walau satu undi, ia mampu membawa perubahan yang besar.
Wallahua’lam.
| Print article | Oleh penulis pada 30 Jun 2010 jam 07:27, dalam Pendapat, Politik, Semasa. Ikuti maklum balas kiriman ini melalui RSS 2.0. You can leave a response or trackback from your own site. |








about 2 months ago
agree..u r right !!!