"Aku nelayan mengetuk dinding dewan terdengar geletar suara bahasa terseksa, terjerit sama kealpaan purba."
Archive for year 2010
Munajat
Sep 7th
Mardhiah Hayati:
MUNAJAT
Kalau di dalam sunyi
di akhir salat isya’
adakah kau dengar pula,
do’a hamba?
Tuhan, yang kau bisikkan di hati ini
membuat aku memeluk sudah
tiang yang berdiri megah
bisikan terus, O Tuhan!
dan tangan ini
akan menguatkan pegangan …………….
Tuhan, jalan yang kau bentangkan
bagiku masih kelam
benderangkan sinarMu, O Tuhan!
hingga akan nampak
indahnya, lurusnya jalan ……………………..
Tuhan, di dunia dan akhirat
aku ingin mengabdi
pada api Islam abadi
pimpin aku!
berkati perjuanganku!
Tuhan, aku ingin maju
menerjang rintangan engkar
di dadaku biar menggema
Allahu Akbar!
Allahu Akbar!
Teruntuk Ayah dan Bundaku tercinta
DI AKHIR SALAT ISYA
5 DISEMBER 1976
DJAKARTA
Sumber: Buya Hamka (Dirayu Suara Azan)
Golongan Akademik Seterunya Golongan Politik?
Ogo 29th
Keadilan itu umpama sebiji buah yang sedang masak ranum, tinggi di atas pokok. Manisnya menjadi idaman semua. Nikmatnya membawa kebaikan kepada seluruh alam. Namun tingginya di puncak menyukarkan insan yang ingin kepadanya.
Orang akademik, selaku golongan yang tahu, perlu menunjukkan kedudukan buah tersebut. Dan politik pula, perlu menjolok buah tersebut seperti yang ditunjuk oleh orang akademik. Dengan ini maka nikmat buah tersebut akan dapat dirasai baik golongan akademik, mahupun golongan politik.
Adapun jika golongan akademik dan golongan politik itu berseteru, maka buruk lah padahnya. Buah yang dicitai semua, tidak akan memberi faedah apa pun bagi golongan akademik dan golongan politik.
Golongan akademik hanya mampu melihat, bermimpi akan manisnya buah tersebut. Manakala golongan politik pula, akan terus buta, menjolok tanpa arah tuju, akhirnya buah kekal tinggi di atas, yang menjolok pulang hampa, yang bermimpi, hanya mampu melihat.
Memang mudah bagi golongan akademik untuk menunjuk di mana buah itu. Kerana mereka cuma menggunakan mata, mulut, telinga sahaja. Galah tiada bersama mereka. Maka mereka tidak disibukkan dengan bagaimana mahu memegang galah yang panjang lagi berat itu.
Bagi golongan akademik pula, oleh kerana galah itu ada pada tangan mereka, maka kecenderungan untuk mereka berbuat sesuka hati itu sangat tinggi. Mereka boleh buat apa saja kerana yang mengawal galah itu mereka. Namun oleh kerana mereka sudah menumpukan tenaga untuk mengawal galah yang panjang lagi berat itu, maka tumpuan mereka, penglihatan mereka pada buah itu, agak kabur.
Maka di sini lah peri pentingnya gabungan antara dua golongan ini. Golongan akademik, dengan ilmu yang mereka ada, dengan masa yang mereka habiskan di perpustakaan, dewan seminat, dan sebagainya, perlu merancang jalan menuju kepada keadilan buat seluruh alam. Namun begitu usah lah sesuka memberi cadangan tanpa melihat pada realiti semasa. Jadi lah idealistik tanpa meninggalkan realiti. Fahami juga bagaimana cabaran yang dihadapi oleh orang politik. Kerana ilmu setinggi gunung sekalipun, teori yang ditulis dengan tinta tujuh lautan sekalipun, tak berguna jika hanya di dalam kitab atau di dalam dada. Ia perlu dipraktikkan. Dan di sini lah kebergantungan orang akademik pada orang politik.
Orang politik pula, dalam keghairahan dalam mencari sokongan rakyat, perlu lah kepada satu pelan tindakan yang betul, tidak menyimpang dari norma kehidupan seharian. Mereka punya kuasa, namun tidak semestinya mereka punya idea. Lihat saja Bung Karno. Hebat dengan kuasa politik, namun setelah Belanda dinyahkan, Bung nyata gagal membangunkan Indonesia sebagaimana yang dicitakan. Maka keghairahan berkuasa ini harus dipandu dengan ilmu. Maka bergantunglah pada golongan akademik. Kerana mereka itu lebih tahu. Teori yang mereka kemukakan, jika boleh dilaksanakan, maka laksanakanlah. Usah membawa akal sendiri tanpa panduan ilmu yang betul, kelak binasa semua.
Maka dapat disimpulkan bagaimana tidak mungkin bisa ada perseteruan antara golongan akademik dengan golongan politik. Kerana sesungguhnya kedua nya saling bergantungan antara satu sama lain. Yang bijak menunjuk jalan, yang berkuasa menggerakkan.
Wallahua’lam.
Bersatulah Pelacur-Pelacur Kota Jakarta
Ogo 24th

Pelacur-pelacur Kota Jakarta
Dari kelas tinggi dan kelas rendah
Telah diganyang
Telah haru-biru
Mereka kecut
Keder
Terhina dan tersipu-sipu
Sesalkan mana yang mesti kausesalkan
Tapi jangan kau lewat putus asa
Dan kaurelakan dirimu dibikin korban
Wahai pelacur-pelacur kota Jakarta
Sekarang bangkitlah
Sanggul kembali rambutmu
Karena setelah menyesal
Datanglah kini giliranmu
Bukan untuk membela diri melulu
Tapi untuk lancarkan serangan
Karena
Sesalkan mana yang mesti kau sesalkan
Tapi jangan kaurela dibikin korban
Sarinah
Katakan kepada mereka
Bagaimana kau dipanggil ke kantor menteri
Bagaimana ia bicara panjang lebar kepadamu
Tentang perjuangan nusa bangsa
Dan tiba-tiba tanpa ujung pangkal
Ia sebut kau inspirasi revolusi
Sambil ia buka kutangmu
Dan kau Dasima
Khabarkan pada rakyat
Bagaimana para pemimpin revolusi
Secara bergiliran memelukmu
Bicara tentang kemakmuran rakyat dan api revolusi
Sambil celananya basah
Dan tubuhnya lemas
Terkapai disampingmu
Ototnya keburu tak berdaya
Politisi dan pegawai tinggi
Adalah caluk yang rapi
Kongres-kongres dan konferensi
Tak pernah berjalan tanpa kalian
Kalian tak pernah bisa bilang ‘tidak’
Lantaran kelaparan yang menakutkan
Kemiskinan yang mengekang
Dan telah lama sia-sia cari kerja
Ijazah sekolah tanpa guna
Para kepala jawatan
Akan membuka kesempatan
Kalau kau membuka kesempatan
Kalau kau membuka paha
Sedang diluar pemerintahan
Perusahaan-perusahaan macet
Lapangan kerja tak ada
Revolusi para pemimpin
Adalah revolusi dewa-dewa
Mereka berjuang untuk syurga
Dan tidak untuk bumi
Revolusi dewa-dewa
Tak pernah menghasilkan
Lebih banyak lapangan kerja
Bagi rakyatnya
Kalian adalah sebahagian kaum penganggur yang mereka ciptakan
Namun
Sesalkan mana yang kau kausesalkan
Tapi jangan kau lewat putus asa
Dan kau rela dibikin korban
Pelacur-pelacur kota Jakarta
Berhentilah tersipu-sipu
Ketika kubaca di koran
Bagaimana badut-badut mengganyang kalian
Menuduh kalian sumber bencana negara
Aku jadi murka
Kalian adalah temanku
Ini tak bisa dibiarkan
Astaga
Mulut-mulut badut
Mulut-mulut yang latah bahkan seks mereka politikkan
Saudari-saudariku
Membubarkan kalian
Tidak semudah membubarkan partai politik
Mereka harus beri kalian kerja
Mereka harus pulihkan darjat kalian
Mereka harus ikut memikul kesalahan
Saudari-saudariku. Bersatulah
Ambillah galah
Kibarkan kutang-kutangmu dihujungnya
Araklah keliling kota
Sebagai panji yang telah mereka nodai
Kinilah giliranmu menuntut
Katakanlah kepada mereka
Menganjurkan mengganyang pelacuran
Tanpa menganjurkan
Mengahwini para bekas pelacur
Adalah omong kosong
Pelacur-pelacur kota Jakarta
Saudari-saudariku
Jangan melulur keder pada lelaki
Dengan mudah
Kalian bisa telanjangi kaum palsu
Naikkan tarifmu dua kali
Dan mereka akan klabakan
Mogoklah satu bulan
Dan mereka akan puyeng
Lalu mereka akan berzina
Dengan isteri saudaranya.
WS Rendra
Sumber
Patriotik Kah Aku?
Ogo 23rd
Merdeka datang lagi. Di saat ini lah, setiap warga Malaysia berlumba-lumba memacakkan bendera Jalur Gemilang sebanyak yang mungkin. Di saat ini lah, setiap universiti bersaing untuk membentuk Jalur Gemilang terbesar dengan tempurung. Semua kerana apa? Kerana patriotisme, kata mereka. Semangat betul kita demi patriotisme.
Apa itu patriotisme?
Menurut kamus, patriotisme bererti cinta akan negara.
Cinta itu luas maksudnya. Tiada definisi yang khusus dalam menerangkan apa itu cinta.
Hari ini cinta akan negara diukur dengan berapa banyak bendera yang digantung di pagar rumah. Berapa kaki bendera yang dililit di pagar sekolah. Berapa ribu kaki persegi bendera yang dihampar di padang taman perumahan.
Bersungguhnya cinta akan negara menurut teori bendera ini, hingga sebuah negeri di Malaysia telah menetapkan syarat menaikkan bendera sebagai salah satu kewajipan sebelum lesen perniagaan disambung. Begitulah patriotiknya mereka, menurut teori bendera.
Teori bendera ini menyimpulkan bahawa seolah-olah hanya yang kaya yang patriotik. Yang kaya, yang bisa beli lebih banyak bendera untuk dikibar demi ibu pertiwi. Yang miskin, yang hanya mampu membeli bendera 30 sen yang ada manisan itu seolah tiada cinta akan negara langsung. Begitu lah hinanya yang miskin. Pengkhianat. Sudah lah tidak bayar cukai. Tidak cinta akan negara pula.
Tapi betulkah cinta akan negara itu sudah boleh dinilai dari banyaknya bendera yang berkibar? Sudah cukup dengan menghamparkan Jalur Gemilang raksasa?
Kalau semudah itu, maka munafiqlah kita semua!
Patriotisme, atau cinta akan negara, seandai sudah boleh dibuktikan dengan mengibar bendera, akan menjadi sesuatu yang tiada nilai langsung. Sesiapa saja boleh membuktikan yang ia cinta akan negara dengan mengibar bendera sebanyak yang mungkin. Hatta penjenayah juga boleh buat begitu.
Jelas sekali cinta akan negara itu tidak sekadar pada bendera yang berkibaran. Ia lebih dari itu.
Patriotisme seharusnya dinilai secara batin, bukan sekadar zahir. Menzahirkan sesuatu yang zahir memang mudah. Mahu menzahirkan yang batin itu yang sukar.
Semangat cinta akan negara seharusnya dinilai melalui bagaimana kita sayang akan masa depan negara ini. Bagaimana cintanya kita kepada prinsip kenegaraan hingga kita sanggup berjuang mempertahankannya demi masa depan anak cucu kita.
Kita tidak perlu membazir wang membeli beratus bendera untuk dikibar. Itu mudah. Siapa saja boleh melakukannya.
Yang sepatutnya kita buat, adalah dengan tidak bersekutu dengan para pengkhianat negara. Pengkhianat yang pagi petang kerjanya hanya mencari akal bagaimana mahu mengikis wang negara masuk ke dalam kantung sendiri.
Pengkhianat sebegini merupakan barah bagi negara. Dengan adanya pengkhianat sebegini, yang rakus merobek Perlembagaan Persekutuan, merupakan ancaman terbesar negara kita. Mereka lah yang akan menghanyutkan negara kita di Laut Cina Selatan.
Semangat patriotisme seharusnya dibuktikan dengan kebencian terhadap para pengkhianat ini.
Setiap warga, tidak kira kaya, miskin, hamba, tuan, mampu berbuat demikian. Tiada wang yang perlu dikeluarkan. Cukup dengan tidak menyokong mereka.
Ingat, kemerdekaan bukan sekadar kemerdekaan dari penjajahan asing, tapi juga penjajahan dari kalangan kaum sendiri. Selagi mana ada penindasan, penipuan, perompakan, pencabulan, hatta dari anak bangsa sendiri, selagi itu lah tiada kemerdekaan.
Maka amat wajar sekiranya cinta akan negara itu disadur dengan semangat untuk mempertahankan negara dari golongan yang menghancurkan negara ini. Hatta mereka juga sebangsa, sedarah, serumpun dengan kita.
Anda tidak perlu membuktikan kecintaan anda pada negara dengan memberi ratusan Jalur Gemilang. Tidak. Itu cinta materialistik. Cukup saja anda memastikan agar negara ini tidak terus dirogol oleh para pengkhianat!
Wallahua’lam.
Malaysia Negara Demokrasi
Ogo 17th
Datuk Harussani bikin kontroversi lagi. Kali ini, beliau mendakwa wujudnya parti yang mahu mengangkat perlembagaan baru menggantikan Perlembagaan Persekutuan sedia ada.
Jika Datuk Mufti berbicara tentang agama, maka saya “surrender” awal-awal lagi. Kerana beliau memang ahli. Tapi, dalam soal kenegaraan ini, saya tak berapa nak “surrender” kerana setahu saya Datuk Mufti bukan pakar dalam perkara ini.
Sebelum Datuk Mufti memomokkan rakyat Malaysia mengenai idea perlembagaan baru ini, perlu lah Datuk Mufti berfikir sejenak, Malaysia ini negara apa? Demokrasi? Komunis? Diktator? Monarki?
Kefahaman tentang jenis negara ini akan membantu kita menilai isu perlembagaan baru ini.
Malaysia negara demokrasi. Demokrasi memberi hak kepada rakyat untuk memilih. Apa yang rakyat mahu, itu yang mereka dapat. Ini bermakna hala tuju negara ditentukan oleh rakyat, dengan melantik Parti yang menawarkan manifesto terbaik. Jika Parti A mahu menubuhkan negara Nazi, dan menang pilihan raya, ini bermakna rakyat mahu negara Nazi. Tidak timbul isu tubuh perlembagaan baru. Ini hak milik rakyat sebagai rakyat di negara demokrasi. Kalau tak nak bagi orang memilih, isytihar darurat, habis cerita.
Sekiranya ada parti yang mahu mengangkat perlembagaan baru, maka mereka tak perlu takut. Hebohkan saja, biar rakyat menilai. Maka apabila tiba pilihan raya, jadikan sebagai manifesto. Biar rakyat yang tentukan. Kita negara demokrasi. Suara majoriti adalah pemenang. Suka atau tidak, ini sistem yang telah kita pilih.
Jadi, jika Parti Nazi berjaya bentuk kerajaan setelah menang pilihan raya, itu bermakna mereka paling ramai penyokong. Apa mereka mahu buat, itu sudah dipersetujui awal awal oleh rakyat. Idea sudah mereka bentang dalam manifesto, tunggu kuasa saja.
Ini lah demokrasi.
Perlembagaan kita bukan perlembagaan yang tetap, mutlaq, tak mampu diubah lagi. Malah sudah berpuluh-puluh pindaan dibuat ke atas perlembagaan ini. Perlembagaan kita perlu seiring dengan zaman. Peruntukan itu boleh saja dibuang, ditambah. Semangat perlembagaan (spirits of the constitution) itu yang perlu kita jaga. Tapi yang ini pun sudah lama dicabul oleh pihak-pihak tertentu yang punya autoriti.
Jika Datuk Mufti faham apa itu demokrasi, tentu Datuk Mufti akan berfikir dua tiga kali sebelum bersuara tentang isu ini.
Wallahua’lam.
PAS: Krisis Identiti?
Ogo 14th
Sejarah politik Malaysia telah membuktikan bahawa PAS merupakan salah satu parti yang berjaya menongkah arus untuk mengekal kewujudannya. Walau pelbagai rintangan ditimpakan ke atasnya, PAS telah berjaya untuk kekal relevan.
Walau bagaimanapun, politik negara telah mengalami perubahan mendadak selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum 2008. PAS, bersama DAP dan PKR, telah mewujudkan satu pakatan yang rapuh bernama Pakatan Rakyat dalam misi menumbangkan hegemoni politik UMNO.
Dan hasilnya, UMNO hampir ditumbangkan oleh tsunami rakyat. Namun begitu, di sebalik rahmat ini, telah timbul pula dugaan yang maha berat kepada PAS. PAS, parti yang bertunjangkan Islam, kelihatan seperti mengalami krisis identiti.
Islam tidak tertakluk kepada mana mana bangsa. Ia adalah hak semua bangsa manusia. Namun di Malaysia, Melayu dan Islam itu diguna bersama. Melayu Islam itu satu entiti yang sama menurut Perlembagaan Persekutuan. Maka hal ini menimbulkan masalah kepada PAS.
PAS, seperti sedia maklum, matlamatnya mahu menubuhkan negara Islam. PAS mahu sebuah pemerintahan yang memartabatkan syariat Allah tertegak di negara Malaysia ini. Ini lah matlamat utama penubuhan PAS.
Oleh kerana PAS itu memperjuangkan Islam, maka ahlinya wajib beragama Islam. Dan beragama Islam bererti Melayu. Tidak Islam jika tidak Melayu, itu sifir mudahnya.
PRU 2008 membuktikan bahawa bukan Melayu kini merupakan kuasa yang mampu untuk menentukan hala tuju negara. Peralihan undi masyarakat India dan Cina telah menumbangkan UMNO BN di Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah.
Jadi situasi ini telah menimbulkan dilema kepada PAS.
Mahu bergerak atas nama apa? Melayu Islam? Maka orang bukan Melayu akan lari. Atas nama Kerajaan Islam? Maka orang bukan Islam akan lari. Atas nama “Islam untuk semua”? Maka orang Melayu agak sukar menerimanya.
Ada tiga pilihan buat PAS. Pertama, bergerak atas nama Melayu sebagaimana zaman Datok Asri dulu. Kedua, bergerak atas nama negara Islam sebagaimana zaman kebangkitan ulamak dulu. Ketiga, bergerak atas nama Pakatan Rakyat sebagaimana sekarang.
Jika PAS memilih pilihan pertama, maka PAS perlu lah bersedia meniru retorik semangat Melayu UMNO. Pilihan ini akan menyebabkan ketirisan undi dalam kalangan penyokong PAS yang benci akan UMNO dan golongan muda yang alergik dengan “Ketuanan Melayu”. Tapi ini mungkin paling mudah dilakukan kerana situasi sekarang, PAS masih tak mampu menambat hati orang bukan Melayu. Mudah dilakukan tidak bermakna memberi untung. Situasi hari ini, UMNO cukup dibenci oleh bukan Melayu. Maka jika PAS mengambil keputusan untuk menjadi klon UMNO, maka itu umpama menempah maut. Orang bukan Melayu akan menganggap PAS dan UMNO itu sama saja. Dan hasilnya PAS bakal berkubur sebagaimana UMNO.
Jika memilih yang kedua, maka PAS perlu jadikan dokumen negara Islam sebagai manifesto. PAS perlu menjadikan negara Islam yang syumul, sebagai modal kempen tak kira dalam kalangan orang Melayu, atau orang bukan Melayu. Langkah ini akan menyebabkan kehilangan undi yang sangat besar dari kalangan bukan Melayu. PAS harus lah berusaha menerangkan kepada mereka apa itu negara Islam. Proses nya mungkin akan mengambil masa bertahun-tahun. Khususnya dalam menerangkan apa itu Negara Islam. Islamophobia akan menjadi batu penghalang bagi menjayakan kempen negara Islam ini. PAS juga akan dicop radikal dan ekstrimis.
Jika memilih yang ketiga, bermakna juga PAS mahu menggugurkan semangat Melayu dari dirinya. Bermakna bergerak PAS bukan lagi kerana Melayu, tapi lebih kepada Malaysia. Islam untuk semua, tak kira Melayu atau bukan Melayu. Cara ini boleh dianggap terbaik untuk masa sekarang bagi kawasan majoriti bukan Melayu atau sama rata. Namun di negeri “malay belt”, menggugurkan semangat Melayu bererti membunuh diri. Orang Melayu, tak kira PAS atau UMNO, tetap sensitif jika isu perkauman dibangkitkan. Jadi, PAS berisiko besar untuk kehilangan undi dalam kalangan Melayu. Cara ini hanya relevan jika pengundi hari ini sudah matang dan tidak lagi terperangkap dalam mainan politik perkauman cara lama. Melihat situasi orang Melayu hari ini, usah bermimpi lah…
Kesimpulannya, apa pun pilihan yang diambil PAS, akan ada halangannya. PAS tidak boleh sentiasa “play safe”. Harus berani ambil risiko. Jangan lihat matlamat jangka pendek sahaja, lihat lah matlamat jangka panjang, iaitu penubuhan negara Islam. Maka di atas bahu pimpinan PAS lah terserah tanggungjawab membawa PAS ke mana yang mereka rasakan betul.
Wallahua’lam…
Cahaya & Kegelapan
Ogo 8th
Saya tidak berapa dapat menerima jika ada pihak yang mengharamkan buku, filem, novel, apa sahaja yang boleh menyebarkan idea atas nama “mengelirukan”. Saya langsung tak faham kenapa kita mesti takut kepada “kekeliruan”. Kebenaran itu satu perkara yang pasti. Seberapa banyak kekeliruan yang ada pun, tak kan mampu untuk menghapuskan kebenaran.
Kebenaran itu umpama cahaya dan kekeliruan itu pula umpama kegelapan. Adakah kegelapan itu muncul seperti mana cahaya? Adakah kegelapan itu bergerak dari satu tempat ke satu tempat? Adakah gelap itu boleh diwujudkan seperti mana cahaya?
Tidak, kegelapan itu, wujudnya bergantung pada cahaya. Jika ada cahaya, kegelapan tidak akan ada. Apabila cahaya itu hilang, maka ketika itu lah kegelapan akan muncul.
Kegelapan tidak boleh berada bersama dengan cahaya. Kegelapan hanya ada apabila tiada cahaya yang menerangi.
Jadi, kenapa takut kepada kekeliruan? Orang akan keliru, jika kebenaran itu tiada. Atau yang benar itu ada, tapi takut kepada kekeliruan. Entah mengapa tak tahu lah.
Banyak pihak yang suka untuk menggunakan pendekatan “HARAM” dalam menghapuskan kekeliruan. Bukankah ini menunjukkan bahawa kita sendiri tidak yakin dengan kebenaran itu?
Perkara yang benar akan tertegak pada akhirnya, walau bagaimana hebat pun ia ditekan. Jadi kenapa mesti takut apabila ada yang mencabar kebenaran? Pertahankan lah kebenaran itu dalam menghapuskan kekeliruan sebagaimana cahaya menghapuskan kegelapan.
Menggunakan “liquid paper” untuk memadamkan sesuatu akan menyebabkan orang lain tertanya-tanya, apa di sebalik “liquid paper” itu. Lawan dakwat dengan dakwat. Orang akan memilih mana yang benar. Tidak mungkin sesuatu yang benar, dapat ditandingi oleh kekeliruan.
Masalah sekarang, bagaimana kita menyampaikan kebenaran itu? Kita selalu hidup dalam keadaan selesa, hingga tiada masa untuk memperbaiki cara kita menyampaikan kebenaran. Maka apabila ada yang mencabar kebenaran itu, kita guna pendekatan “HARAM”. Ini salah!
Syeikh Ahmed Deedat, bagaimana beliau menegakkan kebenaran? Dengan debat! Kenapa beliau berani berdebat di khalayak ramai, secara langsung? Kerana beliau yakin dengan kebenaran ISLAM. Dan sesungguhnya kebenaran itu sama sekali tak akan dapat dipadam walau bagaimana hebat pun tekanan yang diberikan.
Firman Allah:
“mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan Yang demikian).” aS – Saff : 8
Ingat lah, kegelapan tidak mungkin dapat ada sekiranya cahaya itu ada. Apabila tiada cahaya, maka ketika itu lah kegelapan akan menyelubungi.
“Setiap yang benar
betapa ditekan
tetap menjalar,
tanpa dibaja
kan tetap mekar,
tanpa udara pun
kan tetap segar.”
A. Samad Said (Kebenaran, 1973)
wallahua’lam.
Suara dari Dinding Dewan
Jul 27th
Oleh: A. Samad Said
Dewan Sastera
Julai 1997
Bahasamu suara resah dan batin rimba
berkali diyakinkan wira bangsa.
Kebingungan empat dekad merdeka.
Angkasa, samudera, saham dan jentera-
gunung-ganang ilmu tak terlidah bangsamu,
dikata yakin wira bangsa.
Lalu terkuak gerbang pustaka, bahasaku
menjadi pengembara turun melata ke lurah
garang sesekali hanya demi pilihan raya.
Kalau ditanya pintu dan jendela,
lantai, genting dan anak tangga
(kalau takhta bahasa itu masih ada);
kalau jujur dihujah sejarah dengan warkah
dan watikah (kalau sejarah benar ada,
juga masih dipercaya); pintu dan jendela,
lantai dan genting, juga anak tangga,
tetap juga bersepi, termengah,
meniup bara menjadi api mimpi
kerlip kebingungan empat dekad ini.
Bahasa yang akan terus berkata
(detak nafas yang tak wajar kalah)
bahasa itu ada dalam dewan ini-
Tulen. Letih. Genting.
Bahasa itu akan terus berkata
tentang lara dan luka bangsa.
Luka itu ada dalam dewan ini-
Ikhlas. Pedih. Gering.
Aku nelayan mengetuk dinding dewan
terdengar geletar suara bahasa terseksa,
terjerit sama kealpaan purba.
Tapi, benarkan sesekali aku berduka,
kau tahu, kau kenal-
nelayan yang terlalu mengasihi bangsa-
benarkan ia sengsara demi bahasa.
Dan jangan dimarah jika dia
merundingi ular dan katak,
badak dan biawak;
jika dia kembali menyelongkar gua
mentafsir khazanah Hang Tuah.
Juga jangan tersentak jika yang
tersua hanya himpunan tulang wira
bersuara tak berbahasa,
berbahasa tak bertakhta.
Dan jika lampu tersorot, pentas
terbuka, dan pemimpin tulen tiba-tiba
tiada, jangan dimarah jika aku
merujuk semula kepada ular dan katak,
kepada badak dan biawak-
suara warga resah dari belantara bahasa.
Bahasa terkadang sungai keruh,
bukit gondol, mengkarung lelah,
elang sugul. Dan ketika wira tiba
-pagi jerih, malam letih-
bahasa hanya layar yang rabak
atau kelambu yang terlalu hapak. Dan
di sisi gelang kaki
(ketika hiasan)
di bawah tudung saji
(ketika santapan)
bahasa-gambus retak, juga nasi kerak.
Bahasa wajarnya mahligai raja, hikayat
rahsia, suara setinggan, tengkar calon,
saham anugerah dan dana menteri.
Bahasa selalunya impian awal, khayalan akhir.
Sekali janji, sekali nafi;
sekali pancang, sekali pincang.
Nelayan yang terlalu mengasihi bahasa
kini benar-benar kara digugah samudera.
Lidah tercalur terlalu lama
nelayan kehilangan peta kata-
dalam dingin dan kencang angin
bendera yang dijulang
jika masih di tiang
ia kuncup ia bimbang.
Tanjak yang segak
jika masih di kepala
ia basah ia resah.
Bahasa masih impian awal, khayalan akhir,
sekali janji, sekali nafi;
sekali pancang, sekali pincang.
Mungkin ini mimpi juga
di atas saham mewah
di tengah ladang golfa-
wabah keharuan dekad merdeka.
Suara dari dinding dewan
sayup, tapi nyata.
Dari renyai abjad
ke gerimis kata-suara itu silap mata:
Kita tanam tunggul
mercup keris, berubah menjadi ular,
berkisar menjadi istana, beransur
menjadi buaya, bergegas menjadi
biawak, terjelir menjadi lidah,
dan sedetik menjadi wira.
Sedetik saja.
Dan oleh sumpah silap mata:
Wira kembali menjadi lidah,
terjelma biawak, teriras buaya,
terbangun istana, terjalar ular,
terhunus keris sebelum menjadi
tunggul semula.
Empat dekad sudah.
Suara dari dinding dewan
sayup, tapi nyata.
Lalu, aku sayu dan aku pilu;
lalu, aku ragu dan aku malu,
watikah rasmi dari luar
disokong badai jampi liar.
Lidah yang diluhuri maruah
dikelar sendiri, mengapa?
Kerana kita membeli harta
dengan seni dan bahasa?
Atau kita membeli ilmu
yang hanya mencerna harta?
Aku terlalu resah dan tua
untuk menghadami siasah-
laju kaki dari roda
lebat saham dari hikmah.
Mungkin ini hanya mimpi.
Kita akan menjadi pengembara
bahasa jati penghalaunya.
Benarkan sesekali aku berduka
nelayan yang terlalu mengasihi bangsa,
benarkan lukanya didera samudera.
Dan usah mencarinya
sebelum dan sesudah pilihan raya-
ia telah tergelongsor jauh ke lurah
jaring kebingungan tenat bahasa.
Empat dekad bahtera bangga
anak cucu wajar menduga
mereka khusyuk atas sejadah
depan al-Quran mereka bertanya:
Buah ranum pada tangkai
bahasa gugur dari hati-
sekali janji, sekali nafi;
sekali pancang, sekali pincang,
iktibar apakah semua ini?
23-25 Mei, 20-22 Jun 1996
Catatan:
Antara puisi yang paling sering dibaca, dan setiap kali mendeklamasinya, setiap kali itu pula aku terasa dilukai. Puisi luka ini kemudian disusuli “Orang Tua dari Sejarah” yang ditulis dalam abad yang lain.
bila rumi menari
Jul 10th
bila rumi menari,
waktu pun terhenti,
burung menjunam bumi,
semua terpegun kalimat sakti..
16 April 2010. Dalam LRT.












Komen Terbaru