"Aku nelayan mengetuk dinding dewan terdengar geletar suara bahasa terseksa, terjerit sama kealpaan purba."
Archive for Jun, 2009
Korban
Jun 26th
Ketika terjadi peperangan hebat di antara balatentera Mesir dengan balatentera Mahdi di Sudan, yang menyebabkan akhirnya negeri Sudan menjadi hak Mesir dan Inggeris, waktu itulah terjadinya cerita yang hebat ini.
Tengah malam yang gelap-gelita, pada waktu segenap seldadu Mesir tengah tidur nyenyak, dan hanya penjaga malam saja yang masih bangun, dan melangkah dengan mundar-mandir di keliling perkhemahan itu, tiba-tiba datanglah kaum Darwish, iaitu pengikut Mahdi itu, menyelinap di dalam gelap menyerbu ke dalam benteng-benteng yang banyak itu, menyembelih seldadu-seldadu yang tengah tidur nyenyak itu, tidak berapa orang yang terlepas sejak dari kapten sampai kepada seldadu bawahan, disembelih sehingga tempat itu penuh oleh darah yang laksana banjir layaknya. Mana yang tinggal hidup diikati dan diseret bagai menyeret kerbau ke rumah potong. Hanya sekali-sekali terdengar pekik dan rintih, pekik menunggu kematiannya pula. Sebelum fajar menyingsing di sebelah timur, pekerjaan ngeri itu telah selesai mereka kerjakan. Mereka keluar dari tempat itu dengan sorak yang menyeramkan bulu badan.
Orang-orang tangkapan yang masih hidup itu diseret ke sebuah bukit yang agak tinggi. Bukit itu adalah laksana kubur bagi orang yang hidup, di sana ada gua tempat menyimpan orang-orang tawanan. Sebelum matahari terbenam, mereka telah sampai ke sana. Pintu gua itu amat kecil, dan gelap, masuk ke dalamnya mesti dengan membungkuk, setelah 50 langkah ke dalamnya, perjalanan di dalam gua itu sudah mesti ditukar dengan menungkup dan merangkak. Beberapa meter kemudian barulah bertemu dengan terali besi, yang menjadi pintu dari satu penjara yang seram dan kejam. Orang yang masuk ke sana, sukar yang terlepas dari kematian, mati kerana makanan yang tidak sempurna, sebab hanya sekerat roti kering dan seteguk air bercampur pasir buat sehari, atau mati ketakutan atau kengerian, atau mati lantaran sakit dan tak dapat bernafas!
Udara hanya masuk sedikit saja dari atas, dari celah-celah dinding batu-batu itu. Orang-orang tawanan itu dimasukkan ke dalam, habis perkara! Tiga hari kemudian sampailah khabar yang ngeri itu ke Khurtum. Ketika itu Khurtum telah lama takluk, dan di sanalah labuhan dari tentera Mesir. Demi bila General Mesir sampai ke tempat itu didapati khemah-khemah dan langau-langau hijau yang telah berkerumun di perut-perut seldadu-seldadu yang bergelimpangan.
Seorang sarjan masuk ke dalam benteng itu dan memberi hormat seraya berkata: “Apakah seldadu-seldadu paduka tuan izinkan masuk ke dalam?”
“Jangan,” jawab General Mesir itu. Takut kalau-kalau hati mereka menjadi lemah melihat bahaya yang ngeri dan kejam ini.
Disuruhnya hitung jumlah bangkai itu, disuruhnya bandingkan dengan daftar seldadu yang ditempatkan di dusun itu. 600 seldadu di dusun. 300 mati dengan kematian yang sangat ngeri itu, dan yang 300 lagi tertawan!
Bukan main dukacitanya General melihat nasib anak buahnya. “Baru sekali ini – ya Ilahi, saya merasai ketakutan selama hidupku – Wajib yang 300 lagi itu aku jemput dan bela, aku bela, sampai kepada titis darah yang penghabisan!”
Dipanggilnya seorang leftenan, disuruhnya mengatur barisan dan mengomando. Maka mereka teruskanlah perjalanan, menurutkan jejak kaki dan bekas-bekas darah yang selalu bertemu di tengah-tengah jalan. Belum berapa lama kemudian, sampailah ke bukit yang dituju, hendak melepaskan tawanan-tawanan itu dari penjaranya, di bawah pimpinan General yang berani itu. Sebelum naik ke bukit, dikumpulkannya seldadu itu dan diberinya perkataan dan pidato yang bersemangat, semangat membalaskan dendam dan menuntut bela. Setelah mereka sampai dan mereka kelilingi bukit itu, bertemulah sebuah pintu kecil yang gelap sangat. Mukanya berubah sedikit,tetapi tidak ketara, setelah dilihatnya bagaimana gelapnya pintu yang akan dimasuki.
“Bawa ke mari seorang muda yang gagah, yang tidak gentar menghadapi gelap!”
Dari dalam barisan itu tampillah ke muka seorang muda yang gagah dan tangkas, tinggi badannya dan cerdas, di mukanya terbayang keberanian dan keteguhan hati. Dia tegak memberi hormat dengan secara militer di hadapan General, dengan senyuman yang mungil dan alamat bersedia, sanggup berkorban untuk saudara-saudaranya yang tertawan, dan untuk Mesir!
Bahunya dipegang oleh General, dia diberi pelita dan disuruh masuk lebih dahulu.
Dengan langkah yang tetap dia masuk……………….
Telah sesaat, telah dua saat dan General menunggu dengan siap di muka pintu gua.
Dengan bernafsu General bertanya:
“Adakah yang engkau lihat?”
Dari tempat yang jauh sekali terdengar jawapan seldadu muda itu:
“Tidak ada yang saya lihat, hanya yang saya dengar rintihan………..”
“Majulah hai pemuda yang gagah berani, maju; bintang kehormatan yang lebih tinggi menunggu pulangmu”.
Dia maju juga, maka sampailah dia ke tempat yang mesti dimasuki dengan merangkak itu. Baru saja dia hendak merangkak, dia dilompati oleh seorang Darwish hitam yang menjaga di sana. Lampu padam, mereka bergelut hebat sekali, badan seldadu muda itu telah penuh luka-luka. Paling akhir ditumbuknya Darwish itu, kena matanya sehingga jatuh pengsan. Suara perkelahian itu kedengaran antara ada dengan tidak ke muka gua.
“Saya mendengar langkah orang rebut dari dalam, itulah orang-orang tawanan itu, yang telah dipimpin oleh pahlawan muda kita keluar. Mereka terlepas…… terlepas….. mesti terlepas……. Alhamdulillah!“
Dengan diam-diam seldadu yang gagah berani itu menarik pisau bayonet yang tersisip di pinggangnya, hendak menikam Darwish itu. Tetapi Darwish itu tak ketemu lagi. Rupanya dia telah pergi ke tepi gua, digoncangnya sebuah kayu yang tersisip di tepi gua itu, sebuah batu yang sangat besar meluncur ke bawah kepala si Darwish pecah dan remuk ditimpanya, menggulung terus badan si seldadu kepalanya retak pula, terus menggulung ke muka gua dan gua itu tertutuplah selama-lamanya………
“Hai……… apa yang kudengar…………. bukit kedengaran runtuh,” kata General dengan muka yang sangat pucat.
Dia bersorak ke dalam gua! “Pahlawanku ………………orang gagahku, apakah yang terjadi? Tidakkah dengar bukit runtuh? Adakah terdengar suara-suara orang tawanan itu? Bolehkah mereka lepas?”
Dia tidak sanggup menjawab lagi, tulang belulangnya telah remuk.
“Dengan nama Allah! Terangkanlah kepadaku, apakah yang engkau dengar? Hai pahlawanku………!”
“Ada saya dengar saudara-saudara yang tertawan itu bersuara ……jauh ………..sekali, mereka bernyanyi: ‘Hiduplah Mesir!’ HI ….. DUP ….. LAH ….. MESIR ……. “
Ditunggu, ditunggu, satu suarapun tidak kedengaran lagi.
Sampai sekarang kuburan buat selama-lamanya itu, yang 301 seldadu yang gagah perkasa, yang dimukanya terbaring pahlawan muda sebagai penjaga, masih diperingati oleh balatentera Mesir di Sudan, apalagi setelah kemerdekaan Mesir dikembalikan, dan seldadunya telah kembali ke Sudan.
Nota: Dipetik dari buku Lembaga Hikmat, karya Buya Hamka terbitan Pustaka Dini (link)

Manusia Tak Pernah Akan Puas
Jun 21st
Dulu selepas SPM, saya sangat berhajat untuk menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menerusi program Asasi Undang-undang. Berhajatnya saya kepada program ini hanya Allah saja lah yang tahu. Bayangkan, dalam borang UPU yang perlu diisi, 5 slot saya isi dengan program ini. Malah dalam kepala saya hanya program inilah yang saya mahu.
Bermula dari mengisi borang UPU tak lama selepas keputusan SPM, hinggalah ke tarikh keputusan UPU diumumkan, saya rasa sudah pelbagai perkara yang saya lakukan. Siang malam saya berdoa agar Allah memperkenan hajat saya. Saya bersedekah dengan niat Allah memperkenan permintaan saya. Ya Allah betapa berhajatnya saya kepada pertolongan Allah ketika itu.
Setiap kali sembahyang jumaat, ketika khatib duduk di antara khutbah, tiada doa lain yang saya pohon selain dari Allah memperkenan hajat saya untuk menyambung pelajaran ke UIAM. Saya bangun malam, saya solat hajat walaupun sebelum itu tak pernah saya melakukan ini semua.
Namun apabila keputusan diumumkan, saya tersentak apabila permohonan saya gagal dan saya hanya layak untuk mengikuti program Asasi Undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Betapa hancur leburnya harapan saya ketika menatap skrin yang memaparkan destinasi saya selepas itu. Hampir sahaja saya menyumpah seranah orang UPU. Mujurlah ibu ada di tepi maka saya tak berani membuat perkara yang bodoh.
Marahnya saya ketika itu, saya langsung tak melakukan sujud syukur kerana saya fikir buat apa sujud syukur jika Allah tidak memberikan apa yang saya nak. Ya Allah betapa angkuhnya saya. Saya terus mengeluh, marah dalam diam dengan keputusan itu. Saya juga berhenti berdoa kepada Allah selepas sembahyang. Ya Allah betapa sombongnya saya ketika itu.
Dengan hati yang berat, saya cuba untuk menerima keputusan ini. Selama 1 tahun, saya mengikuti program ini. Allah itu maha mengetahui. Ia tahu apa yang baik bagi hamba-Nya. Setelah sekian lama, saya mula menghargai pemberian Allah ini. Saya merasa begitu bersyukur dihumbankan oleh Allah ke bumi UiTM itu. Di situ lah pelbagai perkara baru saya pelajari.
Salah satu kegemaran saya adalah berdiskusi di internet. Dan saya sering juga membuka forum berkaitan UIAM walaupun saya sudah akur bahawa tempat saya bukan di sana. Agak terkilan juga saya apabila membaca beberapa komen di sana. Antaranya;
“Kenapa lah aku dapat asasi law. Bukan aku minat pun.”
“Alamak! Dapat asasi undang-undang. Mati la aku macam ni.”
Saya terkilan membaca komen sebegini kerana tidakkah mereka sebenarnya begitu bertuah kerana terpilih untuk menyertai program tersebut? Tidakkah mereka tahu berapa ramai insan seperti saya yang tidak dipilih oleh Allah?
Maka timbul keinsafan dalam diri saya sendiri. Ketika saya terpilih untuk ke UiTM, saya memberontak dalam diam. Saya menjauhkan diri dari Allah kerana tidak suka dengan ketentuan Allah. Akhirnya saya sedar bahawa Allah itu lebih tahu dari saya. Allah tahu dan Dia memberikan yang terbaik buat hamba-Nya. Jika saya tidak dihantar ke UiTM, sudah tentu saya akan kerugian pelbagai pengalaman berharga.
Kerana itulah saya yakin bahawa manusia tak pernah akan merasa puas. Walau apa jua nikmat yang diberi, mereka tetap akan meminta lebih. Biarlah ini menjadi peringatan buat kita semua. Nikmat yang Allah berikan kepada kita mungkin kita merasa tidak berguna pada kita hari ini. Namun bila tiba hari mendatang, tahu lah kita bahawa sebaik-baik perancang itu adalah Allah…
“Ya Allah, ampunkan lah segala kesilapan ku ya Allah…”
Nota: Alhamdulillah… Setelah 2 tahun, akhirnya Allah memperkenan doa saya dan saya bakal mengikuti ijazah sarjana muda undang-undang di UIAM. Doakan kejayaan saya…
Cerpen Tak Bertajuk (Bahagian 1)
Jun 17th
Apa yang ingin diceritakan ini pernah diceritakan kepada saya oleh seseorang. Namun sifat manusia, senang lupa apa yang tidak diamal. Maka dek kerana hebatnya pengajaran dari kisah ini, ingin saya tuliskan kembali kisah tersebut di sini. Kisah ini ada dalam kitab tetapi saya tidak pasti kitab apa. Dan saya juga pernah membaca kisah ini di dalam majalah Apo. Mungkin pembaca boleh memberi penjelasan kepada saya.
Oleh kerana saya hanya ingat-ingat lupa akan kisah ini, maka segala watak, latar masyarakat, latar tempat dan masa, semua akan saya ilustrasikan dengan mengikut akal saya dan bukan mengikut mana-mana kitab. Hanya idea asal cerita sahaja yang dijamin tepat. Sekiranya ada kesilapan pada kisah ini harap pembaca dapat perbetulkan agar kita sentiasa di jalan yang benar.
Kisah ini bermula di sebuah negeri yang aman makmur. Negeri itu letaknya di tepi sebuah sungai yang luas. Airnya jernih, penuh isinya dengan hidupan. Kelilingnya dipagari dengan deretan gunung yang gagah berdiri memaksi bumi. Laksana pagar, banjaran ini memelihara negeri ini dari segala ancaman. Rakyat nya mewah, hasil mahsul negara melimpah, rajanya perkasa dan armadanya gagah. Itulah dia Tirjan. Dan menjadi kebiasaan bagi mana-mana negeri yang terletak di tepi sungai, kerja utama rakyatnya tertumpu pada mencari hasil-hasil sungai. Tak kurang juga hasil cukai dari saudagar yang berdagang hasil hutan.
Maka dicelah-celah kemegahan Tirjan, terselit seorang insan kerdil bernama Hismir. Seperti penduduk lain, Hismir juga mencari sesuap nasi dengan mencari hasil-hasil sungai. Hismir bukanlah penduduk asal di situ. Dia merupakan pelarian dari negeri Shirmiz. Peperangan, kebuluran dan bencana alam memaksa Hismir keluar meninggalkan tanah air tercinta. Bukanlah niat Hismir ingin membelakangi tanah air sendiri demi mengejar kemewahan dunia. Namun apalah yang boleh dibina dari runtuhan Shirmiz yang lebur dilanggar Kirsan?
Bagi Hismir, cinta kepada tanah air kekal di hati. Tapi demi meneruskan hidup, Shirmiz harus ditinggalkan. Dan tiadalah tempat yang lebih baik untuk dituju selain syurga dunia, Tirjan. Bagi Hismir, tiada yang senang sejak ia menjejakkan kami ke bumi Tirjan. Perkhabaran tentang kemegahan Tirjan memang benar ada dan wujud di depan matanya. Namun, semuanya bukan milik seorang pelarian seperti Hismir. Penduduk Tirjan mewah dengan harta namun akhlak mereka langsung tak mencermin suruhan al-Ghaniyy.
Dengan peluh, keringat, dan air mata, Hismir membina kekuatan jasmani dan rohani. Biarlah Shirmiz lebur namun semangatnya tetap menjaga Hismir. Hismir bukanlah anak yang senang berputus asa. Ingin hidup di dalam masyarakat Tirjan umpama berumah di tepi laut. Andai tak ada berani di hati, tak usah bermimpi. Maka Hismir berusaha mencari kekayaan kerana dengan itu sahaja dia akan dihormati.
Dan dalam masyarakat Tirjan yang lengkap segala itu juga wujud satu golongan yang menyendiri. Golongan ini umpama mayat hidup. Hidup mereka langsung tak memberi faedah kepada penduduk Tirjan. Mereka ini hidup di lorong-lorong gelap yang hancing. Lorong-lorong inilah yang digelar lembah kehidupan. Dan penghuninya merupakan mereka yang telah patah hatinya dalam kembara mengharungi hidup. Di sinilah berkumpulnya para ahli ratap. Setiap masa, mereka meratap menyesali takdir yang menimpa mereka. Ada antara mereka yang dahulunya kaya, memegang jawatan besar di Tirjan. Namun pusingan hidup yang tak siapa dapat menduga melemparkan mereka jauh ke dasar lembah kehidupan.
Di sinilah, di dalam lembah kehidupan ini, yang dipenuhi dengan ratap tangis, raung kecewa, mendekam seorang insan yang sudah hilang daya untuk hidup. Namanya hebat namun sayang akal dan jiwa nya tidak. Dia lah Kisrah. Sudah bertahun Kisrah menghambakan diri kepada kesedihan. Jiwanya patah, hatinya lebur, semangatnya terbang ditiup angin. Bagi Kisrah tiadalah apa-apa makna panjang umurnya melainkan setiap hari yang datang menambah lagi kesengsaraan di hatinya.
Namun nasib insan bukanlah milik mutlak untuk diatur oleh diri sendiri. Insan tak tahu apa yang menanti di hadapannya. Dan begitulah juga dengan Kisrah. Ada sesuatu yang menantinya yang tidak ia tahu. Dan memang ia tidak akan tahu kerana semuanya akan berlaku dengan tiba-tiba.
Begitulah dua insan yang menguni bumi Tirjan. Menjalani hidup dengan cara masing-maisng. Tapi ada seorang lagi insan yang juga menjadikan Tirjan itu buminya. Insan yang cinta kepada Tirjan lebih dari segalanya. Sanggup mati demi Tirjan. Bergelar insan itu dengan nama Sulu. Berbeza dengan nasib dua insan yang kita baca sebelum ini, Sulu nyata lebih bernasib baik. Sulu telah mengecapi kemewahan sejak pertama kali ia melihat cahaya. Ayahnya pembesar Tirjan. Seumur hidup ia dilimpahi dengan harta kekayaan. Apa saja dihajati pasti datang. Umpama penghuni syurga lagaknya. Dan kemewahan itulah yang menjerut leher Sulu. Berfoya-foya itu umpama pekerjaan tetap bagi Sulu. Siang malam ia memperjudi harta ayahnya di medan judi. Kalah menang bukanlah soal bagi Sulu. Yang penting gembira!
Bersambung….
Bukan Hanya Pada Keropok
Jun 14th
Terengganu merupakan negeri yang terletak di Pantai Timur Malaysia. Pekerjaan utama masyarakat Terengganu dulu kala adalah sebagai nelayan. Dan profesion ini telah mempengaruhi diet orang Terengganu. Hasilnya mereka gemar makan ikan dan makanan laut lain. Dan kerana kegemaran ini lahirlah resepi keropok lekor.
Sewaktu belajar di UiTM Shah Alam, penulis sering diminta oleh rakan-rakan untuk membawa keropok lekor Terengganu ketika cuti. Memang beginilah nasib budak-budak Terengganu. Bila cuti saja, mereka akan jadi ejen keropok lekor. Di sana keropok lekor Terengganu memang diminati. Walaupun ada gerai yang menjual keropok lekor, namun ia tak berapa mampu untuk menarik perhatian pelanggan.
Bila penulis perhatikan, rupanya rasa keropok di Terengganu dan di tempat lain tak lah jauh sangat bezanya. Lebih kurang saja. Semuanya buat dari ikan. Namun ada perkara lain yang membuat keropok lekor Terenganu begitu digilai. Dan dari apa yang penulis lihat, ianya tak lain adalah kerana sos keropok itu.
Bandingkan sos keropok yang dibuat di Terengganu dan tempat lain. Berbeza betul. Di Terengganu, sos nya sangat pekat dan rasa ladanya begitu asli. Warnanya pun merah kegelapan melambangkan bahan utamanya iaitu cili. Kepekatan sos ini menyumbang kepada kelazatan keropok itu.
Berbanding dengan sos yang dihasilkan di tempat lain, jelas keadaannya yang tidak pekat, dan warnanya pun seperti air. Bahkan rasanya pun tidak begitu asli. Lebih kurang seperti sos yang diberi bersama dengan ayam di pasar-pasar malam. Kerana itulah tidak berapa puas makan keropok dengan sos sebegini. Rasanya pun tak berapa sedap dan seolah-olah seperti sos cili yang dicampur dengan air yang banyak.
Inilah sebenarnya rahsia kehebatan keropok Terengganu. Bahkan bukan hanya keropok, malahan juga ikan celuk tepung, jemput-jemput, dan juga goreng pisang. Semua makanan ini enak apabila dihidang bersama sos Terengganu. Jadi kepada peniaga yang ingin jualan laris, cubalah hidang keropok lekor anda bersama sos Terengganu. InsyaAllah, perniagaan keropok anda akan maju.
Berita Tentang Keadaan Syeikh Fathi Yakan
Jun 13th

Berita kematian
Ini adalah berita selepas zuhur hari sabtu 13/6 yg disiarkan di aljazeera.net, qudspress.com, ikhwan-jor.com dan lain-lain. Beritanya adalah seperti berikut:
Pada pagi sabtu, Syeikh Dr Fathi Yakan telah meninggal dunia di hospital di Lubnan setelah mana dimasukkan ke hospital beberapa hari yang lepas kerana menghadapi masalah kesihatan yang teruk. Beliau telah menghembuskan nafasnya terakhir ketika mencapai umur 76 tahun di hospital otel deo.
Berita penafian
Berita ini kemudia dinafikan oleh Jabhah Islami yang diketuai oleh Dr Fathi yakan dan disiarkan dalam alarabiya.com dan berita goggle. Beritanya adalah seperti berikut:
Pejabat Dr fathi yakan telah melaporkan kematian Dr Fathi Yakan. Namun berita ini dinafikan oleh pihak Jabhah Islami yang menyatakan Dr Fathi Yakan dalam keadaan amat kritikal. Pihak Hospital enggan memberi ulasan tentang ini.
Sumber terdekat memberitahu bahwa Dr Fathi dalam keadaan “mati katil”. Jantungnya bersambung dengan alat melalui tabung uji. Kesalahan berita disebabkan kengganan untuk mencabut alat ini disaat-saat akhir.
Dalam Hal ini mufti Tarablas berkata “Tidak ada seorang ulama pun yang memberi fatwa tentang keharusan mencabut tabung uji ini dari pesakit.
Terbaru
Dalam ruangan perkembangan terkini di halaman al-jazeerah telah melaporkan bahwa keluarga Dr Fathi yakan menafikan kewafatannya dan menyatakan bahawa beliau dalam keadaan sangat tenat.
Terbaru 2 (updated)
Pihak Hospital telah menyatakan bahwa terkena serangan angin ahmar pada otaknya sehingga menyebabkan beliau telah mati klinikal (clinical death). Namun pihak perubatan dan pihak keluarga enggan mencabut alat bantuan hayat dari tubuh beliau.
sementara itu pihak HAMAS telah memberikan ucapan takziah, ia adalah seperti berikut:
بقلوب مؤمنة بقضاء الله وقدره تتقدم حركة حماس من الشعب اللبناني والحركة الإسلامية والأمة العربية والإسلامية بأصدق مشاعر التعزية الأخوية وبخالص المواساة القلبية بوفاة المفكر الكبير والداعية الإسلامي المجاهد الشيخ الدكتور فتحي يكن.
Latar belakang Fathi Yakan
Fathi Yakan dilahirkan di Tarablas pada tahun 1933 dan telah mendapat ijazah kedoktoran dalam pengajian Islam dan Bahasa Arab. Beliau telah terlibat dengan kerja-kerja Islam sejak tahun 50an dan telah menubuhkan Jamaah Islam pada awal 60an. Beliau telah menjawat ketua umum di dalam Jamaah Islam sehinggalah pada tahun 1992.
Pada tahun tersebut beliau telah bertanding dan telah memenangi kerusi parlimen. Beliau kekal sehinggalah pada tahun 1996. Di tahun-tahun kebelakangan ini beliau telah mengetuai jabhah Islami. Beliau telah mengambil peranan penting untuk menghentikan peperangan Mukhayyam Narul Barid di utara Lubnan diantara Tentera Lubnan dan Jamaah Fathul Islami pd tahun 2007.
Beliau telah banyak mengarang buku diantaranya maza ya’ni intiami lil Islam, al-Mutasiqituna fala toriq Da’wah, kaifu nadwu lil Islam dan lain-lain yang melebihi 35 buah buku.
MOGA-MOGA ALLAH MEMANJANGKAN UMUR DR FATHI YAKAN DAN TERUS DAPAT BERJUANG MEMBELA ISLAM
Rujukan: Laman-laman web yang disebut dlm artikel dan lain-lain.
http://akhisalman.blogspot.com/2009/06/berita-tentang-keadaan-fathi-yakan.html
Rakyat Bersuara?
Jun 13th
Ini adalah hasil bancian dari portal berita berBahasa Melayu, mStar.com. Lihat sahaja. Biasanya yang peka dengan bancian sebegini adalah golongan yang celik minda. Golongan “radikal”, “minda tertutup” di kampung tak mungkin berminat nak undi. Tapi lihat sajalah. Di laman begini pun kalah…
Oxford ajar UiTM cara layan pelajar yang dibicarakan
Jun 12th
Tindakan Universiti Oxford yang memberikan ijazah Doktor Falsafah kepada Abdul Razak Baginda baru-baru ini wajar diambil pengajaran oleh Universiti Teknologi Mara serta Universiti lain di Malaysia.
Razak mengemukakan disertasi doktoratnya pada September 2006 tetapi universiti menangguhkannya kerana penangkapannya dua bulan kemudian berhubung kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Selepas dibebaskan pada 31 Oktober tahun lepas, beliau memohon untuk menyambung pengajiannya dan pihak Oxford menerimanya permohonan itu dan akhirnya memberikan anugerah ijazah Doktor Falsafah (DPhil) selepas beliau menyelesaikan disertasi beliau.
Dalam kes beliau, Oxford tidak mengantung beliau walaupun mengetahui bahawa beliau sedang didakwa di mahkamah atas tuduhan bersubahat membunuh Altantuya. Oxford membenarkan permohonan penangguhan pengajian beliau sehinggalah kes berkenaan selesai atau beliau dibebaskan.
Perkara ini jelas berbeza dengan kes seorang mahasiswa UiTM, Helman Sanuddin yang didakwa dimahkamah kerana dituduh menyertai satu perhimpunan membantah akta ISA pada 8 Jun 2001, di Masjid Negara.
Selepas di dakwa dimahkamah, beliau yang ketika itu berada di semester keenam Ijazah Sarjana Muda Pengajian Maklumat terus digantung oleh UiTM tanpa sebarang perbicaraan tatatertib. Pengantungan automatik beliau dibuat berdasarkan Seksyen 14(1) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174) yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip keadilan sejagat.
Pada 22 April 2005, Hakim Mahkamah Majistret, Mohd Khairi Haron membebaskan beliau dari tuduhan berkenaan. Helman telah memohon untuk menyambung pengajianya, namun beliau akhirnya dibuang oleh UiTM melalui peraturan 2.5.5.2 dibawah kuasa Peraturan Akademik UiTM yang diluluskan Senat pada tahun 2003.
Melalui peraturan itu, UiTM mendakwa bahawa beliau gagal menghabiskan pengajian pada tempoh pengajian maksimum yang ditetapkan dan alasan itu sebenarnya bertentangan dengan Seksyen 14(1) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174) yang mana beliau sebenarnya digantung oleh UiTM dan bukannya sengaja untuk melengahkan pengajian atau tidak mahu menyambung pelajaran.
Kes beliau sekarang sedang di rujuk di Mahkamah Tinggi Rayuan Kuala Lumpur dan keputusannya akan didengar pada 7 Julai ini di Mahkamah Tinggi Rayuan 4, Kuala Lumpur.
Kes Helman ini adalah antara beberapa contoh kes yang dilalui oleh Mahasiswa dinegara ini tetapi dianggap sebagai isu terpencil oleh pihak Kerajaan hingga kini.
Jelas disitu, bahawa sistem pendidikkan Malaysia masih mengamalkan sikap yang menindas hak pelajar untuk mendapatkan pendidikan. Sewajarnya pihak Kerajaan dan Universiti berfikir bagaimana untuk memberikan pendidikan kepada semua rakyat bukannya menghalang mereka untuk berjaya.
Kes Razak yang dituduh bersubahat membunuh adalah jauh lebih berat berbanding kes Helman yang dituduh menyertai perhimpunan tanpa permit. Jadi dalam hal ini pihak UiTM wajar mencontohi Oxford yang membenarkan pelajarnya meneruskan pengajian tanpa menjadikan masalah peribadi mereka sebagai alasan untuk menghalang kejayaan mereka dalam pendidikan.
UiTM dan Universiti lain perlu mengubah dasarnya dan polisi pendidikannya agar setaraf dengan Universiti-universiti terbaik dunia. Jika tidak, Institusi pendidikan di Malaysia akan dilihat ketinggalan jauh kebelakang.
Pas mendesak agar Akta 174 dan Akta AUKU dikaji semula dan membenarkan mana-mana pelajar yang masih dituduh di Mahkamah dan belum dibuktikan bersalah untuk meneruskan pengajian. Universiti seharusnya membenarkan kebebasan bersuara dan menghormati hak pelajarnya untuk terus berjaya dalam bidang akademik dan menyumbang pada masyarakat.
Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan Pas Pusat
http://idrisahmad.wordpress.com/2009/06/12/oxford-ajar-uitm-cara-layan-pelajar-yang-dibicarakan/
Sebelum Kerajaan Perpaduan…
Jun 11th
Sebelum membentuk kerajaan perpaduan, setiap pemimpin harus mengisytiharkan aset masing-masing. Setiap pemimpin juga harus membersihkan nama masing-masing di mahkamah khususnya bagi yang dibayangi dengan pelbagai kontroversi.
Ingin bersatu tidak salah. Rakyat yang akan mendapat faedah. Dengan kerajaan perpaduan maka tiada lagi masalah pilih kasih dalam lantikan jawatan dan pembahagian bantuan. Kerana semua wakil bekerja untuk kerajaan yang satu.
Tapi sebelum itu bersihkan dulu diri masing-masing. Kerajaan perpaduan mesti didirikan atas asas yang suci bersih. Pemimpin pembangkang, kerajaan harus bersedia dihukum atau disiasat atas sebarang kesalahan.
Walau bagaimanapun, gabungan PAS dengan UMNO adalah amat penulis tentang. UMNO, atas nama UMNO, telah mengkhianati PAS berkali-kali. Penulis lebih suka jika pemimpin UMNO bersedia keluar dari lubang tahi UMNO dan berdiri atas nama parti baru, kemudian baru dibentuk kerajaan perpaduan yang disertai bukan sahaja PAS dan parti baru itu, malah disertai juga oleh DAP, PKR, MIC, MCA, dan siapa sahaja yang ikhlas berjuang dan sudah bersih rekodnya dari sebarang salah laku.
Jangan kita menganggap kerajaan perpaduan itu semata-mata kerajaan PAS-UMNO. Tapi ingat bahawa kerajaan perpaduan itu adalah gabungan semua parti politik. Ini Unity Government, bukan Malay Unity Government.
Memang UMNO itu jahat, keji dan kotor. Tapi pemimpin UMNO bukan semua jahat. Ada yang bersih dan ikhlas berjuang untuk rakyat. Mungkin mereka melihat bersama UMNO lebih baik demi membantu rakyat. Pemimpin ini lah yang kita ingin tarik menyertai kerajaan perpaduan.
Wallahua’lam.









Komen Terbaru