Archive for April, 2009

PERSEMBAHAN (Khas buat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS)

Tiada satu dalam seribu
Wahai Maulana Tok Guru
Engkau anugerah dari Tuhan yang satu
Kepada ummat manusia di segenap penjuru
Panjanglah umurmu dan sehatkan badanmu
Untuk meneruskan tunjuk ajar kepada pengikutmu

Dalam usiamu yang belum masuk tua
Baktimu telah terbukti ke merata dusun dan kota
Semoga Allah lanjutkan usiamu ya Maulana
Supaya bertambah luas dan ramai jamaah kita
Untuk menegakkan kalimah Allah
Untuk melaksanakan Sunnah Rasulullah
Seperti yang Engkau ajarkan kepada Ummah
Dengan permulaan Bismillah
Dan kegemaran Alhamdulillah
Selalu syukur Alhamdulillah

Belum kami jumpa ulama yang begitu mempersona
Ulama yang dengan kejujuran beramal dengan ilmunya
Mengikat hati, jiwa dan rohani para pendengarnya
Menjadikan setiap insan segera jadi anggota jamaahnya
Yang tidak mudah terungkai untuk berkecai lagi
Malahan semakin teguh, kuat dan tiada terpunggah
Suaramu lantang menyeru ke jalan yang benar
Gerak-gerimu menarik ummat ke arah kuat beribadat
Dan jamaah kita ini semakin ramai dan that

Wahai Tok Guru
Tambahlah lagi ilmumu
Perbanyaklah lagi amalmu
Allah semoga selalu melindungimu
Dengan memberikan kesehatan yang wajar
Supaya Tok Guru boleh terus mengajar
Dan kami anggota jamaah yang ramai ini
Berikrar dan berjanji dengan lidah dan hati
Akan terus insaf, sedar dan memperbaiki diri
Juga akan mengajak dan mempelawa saudara dan saudari
Yang masih di luar Barisan jamaah kita yang terpuji
Agar mereka bersama kita di jalan yang benar ini
Melalui liku dunia ke padang akhirat yang pasti

-Siti Faridah, Bertaubat di Masjid Rusila-

Tuan Guru

Tuan Guru

Cerpen: Dalam Hiruk-Pikuk Takbir

“Allahu Akbar!”

Bergema takbir di segenap penjuru alam. Langit yang gelap bagaikan bercahaya pada malam itu. Purnama bersinar penuh menyuluh kegelapan bumi. Bulan, bintang bahkan kegelapan malam berserta penghuni langit dan bumi menjadi saksi pada malam itu. Malam yang penuh sejarah. Malam yang merubah segala!

Hassan yang turut menjadi saksi malam itu tersenyum kegirangan melihat para penyokong berarak meraikan kejayaan besar Parti Islam dalam pilihan raya. Sebaik sahaja keputusan tidak rasmi tersebar, rakyat berbilang bangsa, agama serta latar belakang turun membanjiri pusat pengumuman pemenang pilihan raya.

Bukan di kawasan Hassan sahaja mengalami keghairahan begitu. Di kawasan lain juga begitu. Jalan-jalan utama di seluruh negara disimbahi dengan warna kebanggan Parti Islam, iaitu merah.

Walaupun segenap penghuni telah menduga keputusan pilihan raya kali ini, para pimpinan Parti Islam tetap terkejut dan terpana tatkala kemenangan jelas di depan mata.

“Tahniah YB!”

Sapa seorang petugas di pusat pengumpulan undi.

“Segala puji bagi Allah. Jawatan ini adalah ujian, bukan nikmat.”

Balas Hassan penuh tawadhu’.

Hassan termenung seketika dalam kegembiraan penyokong dan petugas Parti Islam. Ingatannya berputar kembali kepada 10 tahun dahulu. Satu dekad yang telah menjadi roda yang meluncurkan Parti Islam ke puncak kejayaan. Dekad itu lah yang telah membawa Parti Islam ke kedudukan yang dinikmati malam itu.

Hassan terkenang, 10 tahun dahulu dia memegang jawatan Ketua Pemuda Parti Islam. Jawatan itu diterimanya dengan berat hati memandangkan dia hanyalah ahli yang baru setahun menyertai Parti Islam. Bukan sedikit suara yang menghentam mantan Ketua Pemuda, Karim yang seakan kacang lupakan kulit apabila lebih menyokong Hassan dari calon dari kawasannya sendiri.

Pelantikan Hassan itu membawa bencana buat Parti Islam. Pengaruh kuat sayap Pemuda Parti Islam telah sekian lama mendominasi Parti Islam. Masalah kepimpinan Pemuda turut sama mengheret Parti Islam ke kancah yang tak berkesudahan.

Hassan benar-benar teruji dengan pelbagai tuduhan yang dilempar.

“Kaki ampu”

“Kuli Presiden”

Dan macam-macam lagi kututkan dilontarkan kepada Hassan semasa dia mula-mula dilantik. Lebih memburukkan lagi keadaan, pada pilihan raya tahun itu, Parti Islam kalah teruk. Hanya 4 orang wakil Parti Islam di Parlimen.

Kesalahan diletakkan di bahu Hassan. Hassan dituduh gagal untuk memimpin sayap pemuda. Hampir sahaja Hassan dijatuhkan dalam pemilihan parti. Tapi dek kerana sokongan akar umbi yang kuat, Hassan berjaya mengekalkan kedudukan.

Bukanlah Hassan hendak sangat kerusi tersebut. Namun amanah yang diberikan oleh akar umbi bagi Hassan lebih berharga dari sokongan pimpinan Pemuda setiap negeri. Bagi Hassan, biarlah Presiden sekalipun membenci, asal sahaja dia diterima akar umbi.

Untuk memulihkan keyakinan pimpinan terhadapnya, Hassan yang diamanahkan untuk mengetuai pasukan “post-mortem” kekalahan teruk Parti Islam bekerja dengan bersungguh-sungguh.

 Setelah berbulan-bulan kajian, mesyuarat, debat dan “survey”, akhirnya Hassan membuat kesimpulan bahawa Parti Islam belum bersedia untuk bertanding dalam pilihan raya.

Parti Islam lebih mementingkan kepimpinan, kurang perhatian pada kepentingan akar umbi. Dalam banyak hal, kekuatan pemimpin sering diangkat menjulang melangit. Pengaruh pemimpin diguna sepenuhnya untuk melobi undi. Memang, kualiti pemimpin juga penting. Namun, kelekaan dalam membina kekuatan akar umbi adalah kesilapan besar dan akan meruntuhkan pengaruh mana-mana pemimpin.

Malah kekuatan pemimpin juga hanya mampu meraih sokongan kepada pemimpin, bukan pada parti. Hasilnya, pemimpin yang pergi akan membawa bersama para penyokong mereka. Inilah yang berlaku apabila 3 pimpinan utama Parti Islam berpaling tadah.

Maka Hassan mula melancarkan gerak kerja terbaru susulan “post-mortem” tersebut. Gerak kerja ini adalah bagi mendapatkan kekuatan di peringkat akar umbi.

Usrah, tamrin, majlis penerangan, di galakkan semula. Menggunakan pengaruhnya sebagai ketua pemuda, Hassan berjaya mempengaruhi pimpinan untuk merombak semula lajnah tarbiyah secara besar-besaran.

Pemilihan ahli parti juga diketatkan. Hanya yang benar-benar layak dan komited sahaja yang akan diterima untuk menjadi ahli Parti Islam. Ahli-ahli diwajibkan untuk menyertai tamrin, usrah dan kuliyah. Tiada pengecualian baik ahli biasa mahupun pimpinan. Jika gagal untuk mengikuti program yang ditetapkan, surat tunjuk sebab menanti.

Bagi Hassan, Parti Islam mestilah diikat dengan akar yang kukuh yang akan memegang Parti Islam serta menghalangnya dari tumbang. Pucuk yang sehijau manapun tak mampu untuk berdiri dengan sendiri tanpa sokongan dari akar. Dengan sebab itulah Hassan mahu pendokong Parti Islam untuk memahami prinsip perjuangan Parti Islam dengan sepenuhnya. Biarlah ahli tak ramai, yang penting mereka berkualiti.

Di samping itu, majlis penerangan isu-isu semasa juga diadakan di setiap DUN. Tidak seperti dulu di mana hanya DUN tertentu sahaja dipilih, sekarang Hassan ingin semua DUN menerima layanan yang sama. Maklumat disampaikan dengan pantas oleh pimpinan tempatan. Tidak perlu menjemput pimpinan tertinggi. Kebolehan pimpinan tempatan menghurai isu semasa akan dijadikan serampang dua mata. Rakyat bukan sahaja dapat menerima penjelasan mengenai isu-isu semasa, mereka juga dapat mengenali pimpinan mereka. Hassan tidak mahu hanya pimpinan tertinggi sahaja yang dikenali. Biarlah ahli mengenali semua pemimpin Parti Islam, tak kira yang kecil atau besar.

Setelah 4 tahun berlalu, nampak perbezaan ketara dalam Parti Islam. Kekuatan akar umbi membayangi kekuatan pemimpin. Sudah beberapa kerat pimpinan yang merajuk keluar parti, namun Parti Islam tetap teguh berdiri.

Setelah penggal pemerintahan hampir tamat, Perdana Menteri akhirnya mengumumkan pembubaran Parlimen. Maka riuh-rendahlah serata Negara mengenai isu pilihan raya. Dari mak cik tukang sapu sampailah kepada ahli-ahli korporat. Semua berbicara tentang pilihan raya. Namun begitu, keghairahan mereka tak dihiraukan Hassan. Hassan bakal melakukan satu lagi kejutan. Dalam ceramah umum mengenai pembubaran parlimen, Hassan mengucapkan sesuatu yang membingungkan para pendengar.

“Apakah tuan-puan fikir usaha kita selama ini semata-mata demi untuk mendapat kemenangan pada pilihan raya ini? Adakah kemenangan pilihan raya kali ini begitu besar bagi tuan-puan? Lebih besar dari usaha penat lelah kita 4 tahun ini? Tidakkah tuan-puan mengimpikan kemenangan yang lebih? Ingat tuan-puan, kemenangan kali ini bukan kayu ukur sebenar…”

Maka sebaik ucapan dibuat, timbullah seribu satu spekulasi mengenai ucapan Hassan.

“Parti Islam Tak Masuk Bertanding”

Itu muka depan akhbar perdana. Maka resah gelisah lah penyokong Parti Islam membaca berita yang entah betul entah salah. Lebih meresahkan, timbul kenyataan dari pimpinan yang bebal, memberi kenyataan bersandar pada berita akhbar. Mereka lupa, seharusnya kenyataan akhbar itu diabaikan. Tanya terus kepada Hassan, minta penjelasan, baru beri kenyataan. Ini tidak. Mereka membaca berita yang ditulis oleh orang luar parti, yang sering bersikap konfrontasi terhadap Parti Islam dan terus menganggap nya sebagai betul 100% dari mulut Hassan.

Maka huru-haralah Parti Islam dalam riuh-pikuk membuat persedian pilihan raya. Selepas hingar-bingar selama 2 minggu, maka tersebarlah berita rasmi dari Pejabat Setiausaha Parti Islam,

“Setelah mesyuarat majlis tertinggi diadakan, setelah meneliti segala hujah dari ahli majlis tertinggi, Parti Islam dengan ini mengumumkan bahawa Parti Islam tidak akan mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum yang akan diadakan nanti.”

Kecoh!

Seluruh negara kecoh!

Tiada siapa pun samada kalangan pendokong Parti Islam mahupun pihak lawan yang menjangkakan keputusan yang sungguh pahit untuk ditelan itu.

“Mana mungkin Parti Islam tak bertanding sedangkan kita telah berusaha keras?”

Ini yang sering meniti di bibir pendokong-pendokong Parti Islam. Bagi mereka, pilihan raya ini adalah medan terbaik untuk menguji segala penat lelah mereka berusrah, bertamrin, berkempen sepanjang 4 tahun. Rupanya segalanya sia-sia.

Kesalahan sekali diletakkan di bahu Hassan. Hassan dituduh mengkhianati Parti Islam!

Namun Hassan tenang. Kematangan mengajar Hassan erti kesabaran. Maka dianjur satu majlis penerangan peringkat kebangsaan. Dengan tenang walau kedatangannya disambut dengan “boo” dari pendokong, Hassan mengingatkan para pendokong Parti Islam,

“Apakah tuan-puan fikir di negara kita ini hanya orang Islam yang ada? Adakah tuan-puan fikir 45% bukan Islam di negara kita ini adalah sampah? Patung? Yang tak bernyawa, tak berakal? Apabila kita berjaya memulihkan semangat perjuangan Islam di dada para pejuang sekalian, adakah kita juga telah berjaya mendapatkan sokongan dari orang-orang bukan Islam? “

“Tuan-puan sekalian, ingatlah bahawa kita baru sahaja melepasi halangan pertama, masih ada satu lagi halangan yang menghalang laluan kita untuk mengambil alih pemerintahan negara. Kita harus mendapatkan pula sokongan penduduk bukan Islam! Orang-orang bukan Islam masih buta mengenai prinsip perjuangan kita. Kita sering menyalahkan mereka apabila mereka mengecam prinsip perjuangan Islam kita. Namun pernah kah kita terfikir, mereka berbuat demikian atas sebab kejahilan mereka? Kita memaksa mereka menerima Hudud tanpa ada usaha untuk menerangkan apa itu Hudud!”

“Saya tak mahu Parti Islam masuk pilihan raya, menang semua undi orang Islam dan kalah semua undi orang bukan Islam. Kita mahu Islam memerintah semua manusia di negara ini, bukan sekadar orang Islam. Kerajaan Islam Madinah disertai pelbagai agama, bukan hanya Islam! Kita tak mahu peristiwa perbalahan agama berulang!”

“Oleh kerana itulah, Parti Islam tidak menyertai pilihan raya ini. Kerana kita mahu menghapuskan dahulu benteng yang menghalang kita daripada orang bukan Islam. Biar mereka juga faham dan menerima prinsip perjuangan kita. Kita tak mahu menjadi wakil orang Islam sahaja. Kita mahu menjadi wakil untuk semua.”

“Ingatlah tuan-puan, tugas kita adalah untuk berdakwah kepada yang Muslim, mahupun kepada yang bukan Muslim. Oleh itu, marilah sama-sama kita muhasabah kembali, adakah kita masih menganggap keadilan Islam itu hanya untuk orang Islam semata-mata? Lupakah kita hak-hak orang bukan Islam?”

“Ingatlah, ingatlah….”

Sunyi!

Majlis sunyi sepi tatkala Hassan menghabiskan ucapannya. Kedengaran sedu-sedan tangisan para pendokong Islam yang menge”boo” Hassan tadi. Mereka sedar kesilapan mereka. Mereka akhirnya faham apa yang dimaksudkan Hassan dengan penarikan Parti Islam.

Maka dengan penarikan Parti Islam, Parti Kebangsaan menang besar dan membentuk kerajaan persekutuan. Dalam pada itu juga, Parti Islam mula mengatur langkah.

Matlamat mereka sekarang adalah bagi menawan hati kaum bukan Islam kepada kemuliaan perjuangan Parti Islam yang berteraskan prinsip-prinsip Islam.

Usaha dakwah rancak dijalankan. Risalah-risalah kecil diedarkan kepada golongan bukan Muslim di seluruh negara. Alternatif kepada sistem sedia ada menurut Islam dibentangkan di hadapan mereka. Parti Islam mengingatkan mereka bahawa dalam kepincangan sistem ekonomi sekarang, Islam ada menyediakan penyelesaiannya.

Walau bermula hambar dengan jumlah pendengar di majlis-majlis dakwah sering kosong, akhirnya program-program yang dijalankan mula membuahkan hasil. Parti Islam mula diterima bukan Islam!

Kemuliaan budi para pendokong Parti Islam yang istiqamah mengikuti tarbiyah menarik hati bukan Islam untuk mendekati Parti Islam. Hasilnya, Parti Islam tidak lagi dianggap sebagai parti ekstremis. Mereka mula membanjiri majlis-majlis yang dianjurkan oleh Parti Islam.

Kepandaian pimpinan Parti Islam dalam mengatur strategi dakwah juga berjaya menambat hati golongan bukan Islam. Pimpinan sedar, mereka harus membentang apa itu Islam dahulu baru mengajak mereka menyertai perjuangan Parti Islam.

Kemuncak nya, golongan bukan Islam yang menyokong perjuangan Parti Islam tapi belum mendapat hidayah untuk memeluk Islam, membuka kelab penyokong yang terdiri daripada masyarakat bukan Islam. Pimpinan Parti Islam menyambut baik usaha murni mereka dan mereka dilayan sebagaimana ahli-ahli Parti Islam dan ini menambah lagi kecintaan golongan bukan Islam kepada agama Islam kerana mereka sedar dalam Islam tiada kasta dan juga darjat. Semua sama.

Selepas sepenggal berlalu, maka tibalah detik penentuan. Segala mehnah, tribulasi, ranjau sepanjang perjuangan 10 tahun bakal diuji. Maka pembubaran parlimen disambut baik oleh Parti Islam.

“Kami bersedia!”

Kata Hassan penuh bersemangat. Maka segala gerak kerja dirancang rapi. Para pendokong Parti Islam bekerja sepenuh hati mereka demi memenangkan calon Parti Islam. Segala isu yang ditimbulkan oleh pihak lawan berjaya dijawab oleh para pimpinan yang sudah terlatih tanpa mengharap kepada pimpinan tertinggi yang popular. Lebih manis lagi, golongan bukan Islam juga turut membantu dalam memenangkan calon Parti Islam.

Maka selepas tamat tempoh berkempen dan selesai sahaja pengiraan undi, keputusan diumumkan oleh pegawai bertugas,

“Parti Islam akan membentuk kerajaan persekutuan.”

“Allahu Akbar!”

Lamunan Hassan dikejutkan dengan tepukan dari rakan seperjuangan, Yusuf.

“Kalaulah kami dapat meramal masa depan, tentu kami tidak bersangka buruk kepada saudara. Maafkan kami.”

Hassan sekadar tersenyum. Baginya kita hanya merancang, hanya Allah jualah yang menentukan.

Dan kalimah Allahu Akbar terus bergema memenuhi segenap penjuru semesta. Bermulalah episod baru politik negara. Negara akan disajikan dengan pemerintahan Islam yang syumul. Moga negara akan dilimpah dengan segala kerahmatan dan kemuliaan dari Allah SWT.

 

Wallahua’lam…

Nasihat Kepada Pengejar Jawatan Pemimpin

Menjadi pemimpin bukan mudah. Tapi zaman sekarang semua orang kemaruk untuk jadi pemimpin. Hayatilah kisah ini untuk menilai layakkah kita untuk meminta-minta jawatan pemimpin.

—————–

Dari hal keadilan, ketakwaan dan kemuliaan budi baginda Umar bin Abdul Aziz, tidaklah perlu lagi diterangkan panjang lebar. Kisahnya panjang lebar telah dikarang oleh ulama-ulama. Sesungguhpun dia telah mencapai kedudukan yang semulia itu, belumlah dia kenyang dari petunjuk ulama dan pimpinan seorang yang arif. Pada suatu hari berkirim suratlah baginda kepada ulama Tabi’in yang masyhur, Hasan Basri, bertanya kepada beliau dari hal sifat-sifat Imam (raja) yang adil. Maka telah menjawab Hasan Basri demikian bunyinya:

“Ketahuilah hai Amirul Mukminin, bahawasanya Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah menjadikan raja yang adil laksana tongkat tua yang teguh condong yang akan menauri, lemah yang akan membila. Dia menjadi tujuan dari segala orang yang ragu, memperbaiki segala yang rosak, menguatkan segala yang lemah, tempat mengadu bagi tiap-tiap yang teraniaya, tempat kembali dari tiap-tiap yang sengsara.”

“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, ialah laksana seorang pengembala yang hati rahim kepada binatang pengembalaannya; dibawanya ke padang yang berumput subur, dijaganya jangan jatuh ke lurah yang curam, dijaganya dan dipeliharanya jangan ditangkap binatang buas, dipeliharanya jangan ditimpa dahaga dan kepanasan.”

“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, laksana seorang ayah yang cinta akan anak-anaknya, diasuhnya semasa anak itu kecil, diajarnya setelah anak itu besar, dituntunnya di dalam mencari penghidupan, dikumpulkannya harta bersusah payah, untuk anaknya itu jika si ayah mati.”

“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, laksana seorang ibu yang pengasih, dikandungnya anaknya dalam perutnya dengan susah payah, diasuhnya setelah anak itu lahir. Tidak tidur matanya malam, jika anaknya bangun, dia termenung jika dilihatnya anaknya duka, disusukannya; puas disusukan digendungnya. Mukanya berseri-seri jika si anak sihat, mukanya muram jika si anak sakit.”

“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, ialah laksana seorang yang berdiri di antara Allah dengan hamba-Nya, didengarnya Maha Tuhan dengan tenang, setelah itu diterangkannya bagaimana wajah-Nya kepada mereka. Dibimbingnya tangan umat supaya sama-sama ke hadrat Rabbi, memohonkan kurnia-Nya.”

“Oleh sebab itu ya Amirul Mukminin, janganlah paduka sebagai budak yang dipercayakan oleh penghulunya kepadanya menyimpan hartanya dan memelihara kaum kerabatnya, lantas budak itu khianat akan amanat, dimusnahkannya harta benda itu dan disia-siakannya petaruh.”

“Kemudian itu ingatlah ya Amirul Mukminin akan maut dan apa yang akan kejadian sesudah mati. Ingatlah bahwa persedian paduka agaknya sedikit, orang yang akan menolong paduka tidak ada. Bersiaplah untuk menghadapi mati, dan untuk menghadapi zaman sesudah mati.”

“Ketahuilah pula ya Amirul Mukminin, bahawa paduka akan tinggal dalam sebuah rumah yang tidak serupa dengan rumah yang paduka diami sekarang. Lama sekali paduka akan mengeluh di sana, dan tidaklah seorang juga yang akan menemuinya, hanya tinggal seorang diri dalam kesunyian. Oleh sebab itu berkemaslah dari sekarang dan bersiaplah. Kerana perkemasan dan persiapan yang disediakan lebih dahulu, itulah hanya yang akan menolong di sana kelak, iaitu pada waktu lari padanya manusia daripada saudaranya dan ibunya daripada ayahnya dan isterinya, daripada anaknya sekalipun.”

“Ingatlah ya Amirul Mukminin, ingatlah dengan hati-hati, akan suatu masa kelak yang akan dibongkar segala isi kubur, akan dikupas segala isi dada, segala rahsia pada hari itu akan terbuka. Semuanya tertulis dalam kitab, baik besar mahupun kecil semuanya dihitung.”

“Maka sekarang ya Amirul Mukminin, ingatlah dengan saksama, sebelum ajal sampai janji mendatang, sebelum hukum putus angan berhenti: Jangan paduka menghukum atas hamba Allah dengan kebodohan, jangan paduka bawa mereka ke jalan aniaya, jangan diangkat orang-orang yang takbur menjadi pegawai, memerintah orang yang lemah. Sebab mereka menjatuhkan perintah dengan sesuka hati dan semahu-mahunya saja. Kelak padukalah yang akan menanggungjawab atas dosa mereka, dan yang bertali dengan itu, dikumpulkan dengan dosa paduka sendiri. Janganlah paduka terpedaya oleh tipuan orang-orang yang menelah nikmat kesusahan paduka. Mereka makan segala yang enak-enak di dunia, supaya paduka menelan segala kesusahan di akhirat.”

“Jangan paduka berbesar hati lantaran mempunyai kekuatan pada diri ini, tetapi fikirkanlah kekuatan untuk dari jiwa yang akan dicabut, pada waktu mana seluruh badan paduka diikat oleh rantai kematian, atau berdiri di hadapan Allah, dikelilingi oleh sekalian Malaikat. Nabi-nabi dan Rasul-rasul. Pada waktu mana seluruh wajah makhluk, menghadap kepada Yang Hidup dan Yang Kekal!”

“Adapun patik sendiri ya Amirul Mukminin, meskipun nasihat patik ini tidak sebagus nasihat-nasihat orang-orang yang lebih muda daripada patik pada zaman dahulu, namun patik amat cinta kepada tuanku dan amat ikhlas. Oleh sebab itu pandanglah isi surat patik ini, laksana ubat yang diberikan oleh seorang kecintaan kepada kecintaannya yang sakit. Meskipun agaknya pahit, moga-moga di dalam kepahitan itu ada tersimpan kesihatan dan afiat.”

“Wassalamu alaika ya Amirul Mukminin, warahmatullahi wabarakatuh!”

—————

Imam Yang Adil (Dipetik dari Lembaga Hikmat, karya Hamka)

PAS TERENGGANU: Jasanya dilupakan.

Orang selalu membicarakan PAS Terengganu bersifat keras dan radikal. Penulis menulis bukan kerana penulis orang Terengganu tetapi berdasarkan sejarah dan ilmu antropologi penduduk Terengganu.

Saya cukup memahami tradisi lelaki Terengganu. Sukar untuk mesra tetapi mudah tersenyum dan kelakar jika sudah mesra, pemanas, ucapan kasar, pendiam, pemalu, segan tonjol diri dan sedikit kekampungan. Secara tak langsung sifat ini juga mempengaruhi pimpinan PAS Terengganu. Lihat kehidupan TG Harun taib dan TG Haji Hadi.

Walaupun orang kerap mengutuk PAS Terengganu ekoran tumbangnya Kerajaan PAS Terengganu. Penulis mengakui banyak kelemahan PAS Terengganu ketika itu. Sebenarnya PAS Terengganu banyak membantu kebangkitan orde kepimpinan ulama dalam PAS yang menumbangkan Dato Asri.

Pimpinan Dewan Pemuda di bawah pimpinan Mustafa Ali dan pemuda PAS Terengganu seperti Abu Bakar Chik, Husin Ismail (pengerusi Yayasan Amal,) dan pemidato muda berpengaruh TG Haji Hadi menjadi teras utama menumbangkan Dato Asri. Mustafa Ali sanggup mengorbankan jawatan Setiusaha Parlimen Kementerian Perusahaan (kalau tak salah) demi PAS. Kalau profesional PAS Klon dalam Kerajaan Pusat Raja Bercakap, sanggupkah mereka melepaskan jawatan mereka demi wa’la dan baiah pimpinan PAS?. Belum pasti lagi. Mungkin mereka lebih setia kepada raja bercakap daripada TG mereka.

Wan Mutalib pula antara profesional awal yang terlibat dalam PAS manakala TG Harun Taib sanggup pulang sewaktu proses menyiapkan Phd demi jemaah PAS. Jika mereka tidak terlibat dengan PAS, mungkin wan Mutalib mempunyai syarikat guaman sehebat Zaid Ibrahim and Co. Manakala TG Harun Taib menjadi pensyarah kanan universiti.

Saya melihat PAS Terengganu dalam proses transisi. Orang kuat PAS Terengganu dijangka mengundur diri ialah abu bakar chik, wan mutalib dan akhirnya Cikgu Pa sendiri. Tokoh bakal dijadikan pimpinan baru ialah Syed Azman, Muyidin dan yahya ali bakal membantu TG Haron Taib.

Jika pimpinan PAS Terengganu ingin mendominasi secara total dalam PAS ketika itu, mereka boleh lakukan. Mereka mempunyai tokoh populis yang boleh dinobatkan ialah TG Haji hadi. Pengaruh Musthafa Ali dan Abu Bakar Chik cukup kuat dalam dewan pemuda. Dalam Dewan Ulama, kehadiran TG Haron Taib mula berpengaruh. Ketua Dewan Ulama, TG Nik Aziz tidak popular dan ‘semaksum’ sekarang. Teras ulama dan pemuda memang pro TG Haji Hadi. Tetapi TG Haji Hadi tidak mengidamkan kuasa kerana menghormati orang senior seperti TG Nik Aziz, Tg Fadzil Nor, TG Yahya Othman, TG Yusof Rawa dan lain-lain pimpinan ‘tua’.

TG Haji Hadi ketika itu lebih popular daripada TG Yusof Rawa, TG Fadzil Nor dan TG Nik Aziz sendiri. Tahun 1980an dikenali zaman kaset yang popular dengan fenomena haji hadi yang bergegar pidato agamanya. Bekas pelajar agama pintar ini tidak mengejar kuasa, hanya menjadi exco dewan pemuda sebelum dilantik Naib Presiden PAS. Jika Ustaz Nakhaie tidak berundur daripada PAS, mungkin TG Haji Hadi masih sebagai Timbalan Presiden (TG Fadzil mengharapkan ustaz nakhaie mengantikan beliau).

Jangan kita merendahkan PAS Terengganu, jasanya dalam PAS Pusat terutamanya dalam proses kebangkitan orde kepimpinan ulama sangat banyak. PAS TERENGGANU, KELANTAN dan KEDAH adalah teras PAS Malaysia. Sendiri mesti ingat.

13/8/08