"Aku nelayan mengetuk dinding dewan terdengar geletar suara bahasa terseksa, terjerit sama kealpaan purba."
Archive for year 2009
Projek Sejarah Gerakan Mahasiswa UIAM
Dis 28th
Alhamdulillah, penulis telah diberi ilham dari Allah untuk menulis mengenai sejarah gerakan mahasiswa di UIAM.Projek kecil ini akan tertumpu pada gerakan-gerakan mahasiswa di UIAM sekitar tahun 1999 hingga 2009. Tempoh 10 tahun ini bagi penulis agak ideal kerana 1999 merupakan tahun yang agak panas dalam politik tanah air dan kampus-kampus juga tak terkecuali dari bahang ini. Tambahan pula keterbatasan yang pelbagai menghalang untuk menggali sejarah gerakan mahasiswa dari awal pembukaan UIAM yakni 26 tahun sudah. Namun jika kata dipermudah Allah dalam mencari segala maklumat, mungkin skop penulisan ini akan diperluas dan bukan sekadar 10 tahun kebelakang sahaja.
Penulis berharap agar dapat menceritakan semula perjalanan gerakan mahasiswa di UIAM tak kira jalur pemikiran dan ideologi mereka. Penulis akan berusaha untuk berlaku adil dalam menceritakan sejarah yang sudah berlalu demi kebaikan semua.
Justeru penulis amat memerlukan sumbangan idea atau maklumat dari rakan-rakan dalam menjayakan projek kecil ini. Sebarang maklumat atau cetusan idea boleh disalurkan melalui ruangan komen di blog ini, di ruangan shoutbox, e-mail penulis: fuad(dot)syazwan(at)gmail(dot)com. Atau lebih baik, sms kan ke nombor 013-3151740.
Segala kerjasama dari rakan-rakan amat penulis hargai. Semoga Allah mempermudah perjalanan projek ini demi manfaat kita bersama.
Wallahua’lam…
from facebook with love
Dis 26th
berikut beberapa idea yang penulis berjaya fikirkan tapi tak mampu kembangkan dek kerana kurang ilham. idea ini asalnya dicurahkan di facebook. sekarang penulis lanjutkan pula di sini.
1. tidak layak bagi seorang mahasiswa untuk menjatuhkan martabat intelek nya dengan mengikat diri nya dengan ideologi mana-mana parti politik atau pertubuhan. sekarang bukan masanya untuk menjadi nasionalis, kapitalis, zionis, liberalis. sekarang zaman mencabar, menduga, mencari identiti diri. bergerak atas nama mahasiswa, bangkit dengan ilmu dan darah.
2. hadharah malaysia memerlukan orang melayu yang cekap dalam pentadbiran, orang india yang cekap dalam perundangan, dan juga orang cina yang cekap dalam ekonomi. kita umpama batu-batu yang membina sebuah tembok. memang, tembok tak akan roboh kalau 1 batu hilang. tapi melalui lubang itu lah musuh boleh menceroboh masuk. fikir-fikir kan.
3. Kita boleh mengajar anak-anak kita lebih menghargai sejarah jika kita kurangkan penekanan terhadap persoalan apa, siapa dan bila. Sebaliknya, lebihkan penekanan kepada persoalan mengapa dan jika tidak bagaimana.
4. apa guna doktrin pengasingan kuasa apabila kabinet (eksekutif) dilantik dari kalangan ahli parlimen (legislatif) dan ketua hakim (kehakiman) dipilih atas nasihat dari perdana menteri (eksekutif)?
5. revolusi ’98 gagal kerana kita ditipu dengan pilihan raya ’99.
6. the problem with democracy is you got elected because of your popularity. so even if you are stupid, idiot, rude, shallow minded, it doesn’t matter. as long as you got more votes.
7. dengan bertambah nya bilangan pelajar “straight A” setiap tahun, adakah ini bermakna negara kita sedang menuju ke arah masa depan yang gemilang? atau kita sekadar melahirkan generasi kakak tua?
8. siapa yang takut kepada tuhannya, seluruh dunia akan tunduk kepadanya. siapa yang takut kepada kerajaannya, seluruh dunia akan meludah kepadanya.
sekian. wallahua’lam.
Melahirkan Generasi Kritis Melalui Subjek Sejarah
Dis 20th
Melahirkan generasi yang kritis sangat penting bagi sesebuah negara. Amat malang sekirannya sesebuah negara itu hanya mampu untuk melahirkan generasi kakak tua yang bijak (?) menghafal namun bodoh dalam menganalisis, mengkritik, mempersoal apa yang dihafal. Menghafal perkara yang mudah. Beruk juga boleh menghafal. Tikus apatah lagi. Apakah cukup bagi manusia untuk menjadi seperti beruk atau tikus? Tidak. Itu memang pasti. Jadi yang membezakan manusia dan beruk adalah kemampuan untuk mengkritik, menganalisis, mempersoal segala maklumat yang disumbat ke dalam kepala.
Jelas sekali hari ini sistem pendidikan kita lebih banyak melahirkan beruk dan tikus daripada melahirkan manusia. Kita ramai pelajar yang mendapat “straight A’s” namun gagal memahami sesuatu isu dengan berkesan. Kita kaya dengan kakak tua yang mampu menulis kembali apa yang tercatat dalam buku teks ke atas sekeping kertas. Ini semua hanya lah pencetus kepada kejatuhan Hadharah Malaysia yang dicintai.
Melahirkan generasi yang kritis adalah idaman setiap tamadun. Tanpa generasi yang kritis, mana mungkin penambahbaikan dapat dicapai. Kita tidak perlu kepada tukang ampu, tukang kipas yang mengiyakan segala idea, cadangan, buah fikiran. Tapi yang kita ingin kan adalah mereka yang akan mencari kekurangan kepada buah fikiran, idea, cadangan tersebut dan membantu kita memperbaik lagi idea tersebut.
Melalui tukang kritik lah kita dapat membaiki sesuatu. Kerana sesuatu yang perlu dibaiki adalah sesuatu yang ada kekurangan. Kekurangan hanya dapat dilihat oleh mereka yang kritis, tak mampu golongan pengampu untuk melihat kekurangan orang yang diampu.
Persoalan sekarang, bagaimana melahirkan golongan yang kritis?
Adalah menjadi satu kemestian bagi pelajar di sekolah untuk mengambil mata pelajaran Sejarah. Mata pelajaran sejarah adalah sangat penting dan berguna bagi para pelajar kerana memalui sejarah lah kita mampu untuk belajar dari kesilapan datuk nenek kita dahulu. Namun, adakah cukup sekadar tahu siapa yang menjajah, bila kapitan cina datang, apa yang dijarah oleh Belanda? Segala persoalan siapa, apa, bila adalah perkara yang boleh dihafal. Sesiapa pun boleh menghafal. Yang penting bagi kita adalah untuk mengajar kepada para pelajar, mengapa perkara itu berlaku. Mengapa, bukan siapa. Mengapa, bukan bila. Mengapa, bukan apa.
Melalui persoalan mengapa lah kita dapat mengetahui dengan jelas sesuatu perkara berlaku dan wujud dalam lipatan sejarah. Antara sebab wujudnya sindrom bosan dan benci akan sejarah dalam kalangan para pelajar adalah penekanan yang berlebihan terhadap fakta-fakta yang perlu dihafal. Nama tokoh, tempat kejadian, tahun peristiwa, semua membosankan para pelajar. Justeru, persoalan mengapa tentulah lebih menarik untuk pelajar kerana mereka tidak ditekankan untuk menghafal sebaliknya mereka lebih ditekankan untuk mengetahui kenapa sesuatu peristiwa itu berlaku.
Memang, penting juga untuk kita mengetahui nama, bila, apa. Namun, usah lah ditekankan sangat. Tak tahu siapa Tok Janggut tidak mengapa asalkan tahu mengapa orang Kelantan menentang British. Tak tahu bila perjanjian Pangkor ditandatangani tidak mengapa asalkan tahu mengapa ia ditandatangani.
Pelajar kita mesti diajar untuk menyelami maksud yang tersirat dalam sejarah kita. Mereka perlu ditekankan untuk mengambil tahu mengapa seseorang tokoh itu membuat sesuatu. Bukan sekadar tahu apa yang tokoh itu buat.
Setelah selesai penguasaan pelajar dalam mengapa sesuatu itu berlaku, kita perlu menekankan pula persoalan apa yang mungkin berlaku jika ianya tidak berlaku sebagaimana sejarah. Apa yang akan berlaku sekiranya British Military Administration tidak datang setelah Jepun menyerah kalah? Apa yang akan berlaku sekiranya Tunku Abdul Rahman membenarkan Parti Komunis Malaya menyertai politik? Persoalan ini dapat melahirkan pemikiran di luar kotak. Kemahiran berfikir untuk jangka masa panjang akan mampu untuk dipupuk.
Ini kerana apabila pelajar sudah benar-benar menguasi kemahiran ini, sudah tentu mereka akan mewujudkan dahulu persoalan mengapa mereka melakukan sesuatu dan apa berlaku jika mereka tidak melakukannya. Kemahiran “plan B” juga akan terbentuk sedikit demi sedikit.
Persoalan sebegini sudah tentulah lebih menarik dan dapat meluaskan lagi fikiran para pelajar. Jika sistem lama yang berteraskan bila, apa, siapa, para pelajar akan ditutup dalam kotak sejarah yang sudah berlaku dan tak mampu untuk diubah lagi. Tapi dengan sistem mengapa, pelajar dapat mebuat andaian dan meluaskan lagi fikiran mereka dengan mengaitkan sesuatu isu dengan isu yang lain.
Pengaplikasian sejarah dalam kehidupan juga akan lebih bermakna dengan pendekatan persoalan ini. Apa yang kita boleh aplikasikan dengan sekadar mengetahui nama tokoh, bila jambatan dibom dan sebagainya? Mengetahui maksud yang tersirat di sebalik sejarah itu lah yang akan menjadikan sejarah lebih bernilai.
Dengan adanya konsep mengapa ini, pelajar dapat mempersoal, mengkritik tindakan seseorang tokoh. Mereka dapat mengadakan perbincangan, diskusi ilmiah mengenai sesuatu peristiwa. Mereka akan mampu untuk memberikan pendapat mereka mengenai aksi seseorang tokoh. Apa yang berlaku jika tokoh itu buat begini, bukan begitu? Kenapa dia tidak ikut kata penasihat? Jika ikut sudah tentu jadi begini, bukan begitu. Ini lebih baik dan bakal melahirkan generasi yang mampu berfikir di luar kotak sejarah, bukan sekadar kakak tua yang terkurung dalam kotak sejarah.
Dari segi peperiksaan pula, para penggubal soalan perlu menyediakan satu soalan khusus untuk memberi ruang bagi para pelajar menzahirkan idea dan pendapat mereka mengenai sesuatu isu. Soalan sebegini tidak mampu dijawab sekadar dengan membaca buku teks. Sebaliknya kemahiran berfikir sangat penting kerana soalan sebegini memerlukan idea baru, bukan sekadar mengulang kembali cerita lama.
Soalan ini perlu dijadikan soalan wajib dan para pelajar perlu “score” soalan ini bagi membolehkan mereka mendapat A atau lulus dalam mata pelajaran tersebut. Jangan jadikan soalan ini soalan pilihan kerana sudah tentu para pelajar tidak mahu menjawabnya.
Kebebasan intelektual perlu diberikan kepada para pelajar dalam menjawab soalan ini. Biarkan mereka mengkritik, menggodam, menghentam tindakan seseorang tokoh asalkan ianya bersifat membina, bukan kritik, godam, hentam yang membabi buta. Persoalan mengapa yang dibincangkan tadi akan menyediakan para pelajar dalam menjawab soalan ini.
Bersikap kritikal bukan sikap yang buruk. Bahkan ianya sikap yang mulia kerana melalui kritikan lah kita dapat membaiki diri, keluarga, masyarakat dan negara. Justeru itu penting bagi kita menyediakan masyarakat yang bersikap kritikal dalam membina Hadharah Malaysia yang kita idamkan.
Wallahua’lam.
krisis PAS: nak taat Tok Guru Haji Hadi atau Tok Guru Nik Aziz?
Dis 10th
Artikel ini pernah tersiar lama dahulu. Diangkat kembali ke muka depan kerana pada hemat penulis, sangat relevan dengan apa yang berlaku dalam PAS sekarang. Bersama kita ambil iktibar.
Antara Taat Pemimpin dan Taat Jemaah
Ketaatan kepada kepimpinan merupakan asas penting dalam memastikan kelangsungan sesebuah jemaah. Tanpa ada kepatuhan, si anak buah akan besar kepala, pemimpin tak dihormati, dan akhirnya, berlaku seribu satu fitnah hingga hancur lebur lah sesebuah jemaah. Ada perbezaan antara ketaatan pada jemaah dan ketaatan pada pemimpin. Walau nampak sama, namun ada beza antara keduanya. Ada orang taat pada pemimpin, ada orang taat jemaah. Jarang orang taat kedua-dua nya sekali.
Kenapa ada beza? Kerana orang yang menyertai sesuatu jemaah kerana tertarik pada pemimpin, maka mereka sudah tentu akan taat pada pemimpin itu lebih dari taat nya mereka pada jemaah. Dan orang yang masuk jemaah tanpa perantaraan pemimpin, taat mereka pada jemaah adalah lebih.
Apa beza kedua nya? Taat pada pemimpin bererti menyokong seseorang pemimpin dalam segala tindak tanduknya. Ketaatan ini kadang-kadang boleh menjadi melampau. Hingga ke satu tahap, membelakangi jemaah sendiri. Ini lah yang pernah berlaku kepada UMNO. Lihat saja bagaimana taatnya orang Permatang Pauh kepada DS Anwar Ibrahim. Hingga kan bila UMNO sudah menerajang DS Anwar pun mereka masih setia di belakang beliau. Akhirnya, kubu kuat UMNO yang pada ketika itu sudah kalis dengan asakan pembangkang, tumbang jugak bila Wan Azizah mengambil alih di bawah lambang Parti Keadilan.
Begitulah juga yang terjadi di P.036 Kuala Terengganu baru-baru ini. UMNO tak mampu menolak hakikat bahawa orang Kuala Terengganu taat kepada UMNO di PRU-12 kerana Allahyarham Dato’ Razali. Sebab itu lah UMNO kalah bila calon yang mereka bawa tak mampu menandingi Dato’ Razali. Orang Kuala Terengganu kurang taatnya pada jemaah. Sebab itu mereka tak menjadikan Kuala Terengganu kubu mana-mana parti.
Ketaatan pada pemimpin secara melampau ini kadang-kadang menjadi suatu barah kepada jemaah. Apabila orang bawah lebih taat pada pemimpin daripada jemaah, mereka akan berani menongkah arus bersama pemimpin tersebut. Jika A pegangan pemimpin itu, A lah kata mereka walau jemaah berkehendakan B. Pemimpin yang mempunyai pengaruh yang besar boleh membawa masalah kepada jemaah dalam jangka masa panjang. Tiada siapa di dunia ini boleh menjamin kesetiaan mereka pada sesuatu jemaah. Bila pemimpin berpengaruh ini berlaga dengan jemaah, maka nekadnya dia keluar jemaah akan membawa bersama penyokong-penyokong nya sebagai mana DSAI membawa bersama penyokongnya dalam UMNO hingga hampir melumpuhkan UMNO di PRU-10.
Masalah lebih besar timbul bila pemimpin berpengaruh ini mencari pengaruh pula dalam kalangan pemimpin lain dalam jemaah tersebut. Bila mereka dah ada penyokong dalam majlis tertinggi, timbullah puak-puak dalam kepimpinan. Ini lebih bahaya kerana jika sesuatu berlaku, berlagalah puak-puak ini. Isu inilah yang membawa fitnah Erdogan dalam PAS sekarang. Entah benar entah tidak, hanya masa menentukan.
Sewajarnya, seseorang pemimpin itu perlu sedar bahawa dia tidak patut ada pengaruh yang besar hingga membayangi pemimpin tertinggi. Pengaruh perlu disandar pada jemaah. Bila orang bawah taat pada jemaah, jemaah dapat hidup lebih lama. Pemimpin datang dan pergi, tak ramai yang mampu hidup sampai 100 tahun. Tapi jemaah, ada yang kekal beratus tahun.
Orang bawah perlu diajar untuk taat pada jemaah lebih dari taat kepada mana-mana pemimpin. Keputusan jemaah perlu mereka patuhi walau bercanggah dengan keputusan pemimpin. Kekuatan jemaah perlu dijana dari sokongan akar umbi, bukan sekadar bersandar pada kekuatan mana-mana pemimpin. Bila orang bawah taat pada jemaah, letak saja siapa bertanding, insya-Allah menang! Jika kita sandar kekuatan jemaah pada seorang pemimpin, apa jadi bila pemimpin itu belot? Apa jadi jika pemimpin itu di panggil balik ke pangkuan Ilahi? Susah nak cari pengganti sebagaimana kes Almarhum Dato’ Fadhil Noor dulu. PAS tak mampu mempertahan kedua-dua kerusi beliau semasa Pilihan Raya Kecil yang diadakan dulu.
Orang bawah perlu sedar seorang pemimpin tak mampu membawa perubahan dalam Parlimen atau DUN. Seorang calon bebas tak mungkin mampu membawa usul ke Parlimen tanpa sokongan jemaah lain. Kerana itulah saranan agar rakyat mengundi calon, bukan parti tak lebih dari sekadar saranan tidak cerdik. Dalam keadaan sekarang, ahli Parlimen akan menyokong mana-mana usul parti mereka. Tak mungkin ahli Parlimen UMNO menyokong usul DAP tanpa perkenan MT UMNO. Oleh itu, hentikanlah saranan sebegini selagi mana pemikiran ahli Parlimen kita tidak berubah.
Kesimpulannya, orang bawah mesti ingat bahawa ketaatan mereka mesti pada jemaah, bukan pemimpin. Jangan jadi seperti orang Islam selepas kematian Rasulullah S.A.W. Mereka murtad kerana mereka memberi sokongan hanya pada Nabi, bukan pada Islam. Pendek kata mereka tidak seiringkan taat pada Rasulullah dengan taat pada Islam. Sebab itu lah Sahabat memberi pesan, “Siapa yang menyembah Muhammad, Muhammad telah mati. Siapa yang menyembah Allah, Allah tidak mati.”
Orang atas pula, berilah pesan pada penyokong agar lebihkan sokongan kepada jemaah dan jangan membelakangi arahan jemaah walau pemimpin tak setuju. Tak mungkin majlis syura salah dan pemimpin yang seorang itu betul.
Wallahua’lam.
siapa orang kita?
Dis 1st
Artis: Kembara
Pencipta: M. Nasir
Album: Lagu-Lagu Dari Filem Kembara Seniman Jalanan
manakah teman temanku
yang sama berjuang dahulu
hilang sudah.. hilang sudah..
kebendaan menggelapkan
lupa dengan perjuangan
lupa sudah.. lupa sudah..
manakah semangat dulu
atau hanya helahmu..
hanya palsu.. hanya palsu
siapa !!!!
siapa orang kita..
mana !!!!
mana orang kita
hela !! hela !! hela !! hela !!
nafasku hela..
kita harus bertemu,
buat rencana baru..
kita satu !!!!
hela !! hela !! hela !! hela !!
p/s: lirik di ambil dari: http://bloghijat.blogspot.com/2008/12/siapa-orang-kita.html
kata Bertrand Russell
Nov 27th
Bertrand Russell: “Be isolated, be ignored, be attacked, be in doubt, be frightened, but do not be silenced.”
menyusuri keindahan sungai klang
Nov 21st
Pada 14 November yang lepas, penulis berkesempatan untuk merayau di sekitar hutan batu Kuala Lumpur setelah 2 minggu berhempas pulas menduduki peperiksaan akhir. Penulis bersama sahabat baik, Imran, juga pelajar undang-undang namun dari Universiti Malaya. Kami membuat keputusan untuk mencari kelainan dalam eksepedisi kali ini iaitu dengan berjalan kaki sahaja, tidak menaiki bas atau komuter. Kami berjalan dari KL Sentral menuju ke Pasar Seni. Sesat lah juga ke Daya Bumi sedangkan Pasar Seni depan mata sahaja. Ini lah akibat bila semua nak harap komuter. Huhu..
Dalam perjalanan, kami sempat singgah sebentar di sungai Klang. Terpesona dengan keindahan mural yang dihasilkan oleh para seniman tak bernama. Lukisan-lukisan ini sering dianggap kotor oleh penguasa. Bagi yang buta seni, tiada nilai pun lukisan sebegini. Hanya sekadar contengan budak-budak nakal. Bagi mereka seni hanya terletak di Galeri Petronas, Muzium Kesenian Islam. Mana ada “class” seni di tepi sungai yang keruh sebegini.
Lukisan yang dihasilkan tanpa izin dari penguasa ini lebih popular dengan nama “graffiti“. Graffiti menurut wikipedia bermaksud apa-apa contengan seperti lukisan atau tulisan yang ditonjolkan di tempat-tempat awam.Seni ini sering dikaitkan dengan aktiviti vandalisme. Dan penulis pernah terkilan membaca kebebalan seorang wartawan Kosmo! yang mengutuk lukisan-lukisan ini dan mengatakan bahawa ia mencacatkan pemandangan. Benarkah?
Bagi penulis, graffiti yang dihasilkan oleh anak-anak muda ini lebih menarik berbanding dengan dinding yang penuh dengan daki dan lumut. Bukankah graffiti ini membantu mewarnai persekitaran ibu kota? Bukankah ini lebih baik dari membuka tender buat kroni untuk mengindah Sungai Klang? Seni ini dihasilkan tanpa bayaran. Anak muda ini hanya ingin meluahkan apa yang mereka rasakan, bukan sesuka hati ingin menconteng dinding. Cuba fikir logik. Jika anak muda ini ingin mempamerkan hasil karya mereka, bolehkah ia dipamerkan secara percuma di Galeri Petronas? Di PWTC? Mereka tiada duit untuk menyewa ruang pameran. Jadi di dinding ini lah mereka menghasilkan karya agung mereka. Di sini penulis suka untuk berkongsi sedikit sebanyak “hasil” yang penulis dapat sepanjang menyusuri Sungai Klang.
bila cinta bersemi... from subang to bp... (seburuk mereka pun, menulis jawi tahu. wartawan kosmo?)
berbakti dengan kemahiran yang dimiliki...
Atas Nama Cinta, Revolusi Ini Akan Berjalan
Nov 13th

Demi cinta lah semut merah Mao berjalan beribu batu meredah bumi China untuk menghidupkan revolusi...
“Boleh aku tanya kau sesuatu?”
“Ya, tanya lah.”
“Kenapa kau buat semua ni?”
“Semua ni? Maksud mu?”
“Ya, semua ni. Revolusi. Kau sanggup bersusah demi revolusi. Siang malam kau bekerja menghidupkan revolusi. Kau habiskan masa mu menyeru kepada revolusi. Kau habiskan biasiswa untuk revolusi. Kau sanggup tidur di jalanan untuk revolusi. Kenapa?”
“(tersenyum) Cinta.”
“Cinta?”
“Ya, cinta. Itu lah satunya sebab aku melakukan semua ini. Cinta ku pada bangsa ku. Cinta ku pada keluarga ku. Cinta ku pada diri ku. Cinta ku pada masyarakat ku. Cinta ku pada anak-anak kecil itu. Cinta ku pada rakyat. Semua kerana cinta. Aku cintakan semua itu. Dan demi cinta itu lah, aku rela berkorban. Aku tak sanggup membiar kecintaan ku hidup dalam kesusahan, penderitaan, penindasan. Aku mahu mereka bebas. Aku mahu mereka gembira. Aku mahu mereka bahagia. Bahagia, gembira, bebas hidup di bumi Ilahi. Bukan kah Ernesto pernah berkata revolusioner itu berjuang atas nama cinta? Dan kerana itu lah aku tak berjuang melainkan atas kecintaan ku.”
“Aku kagum dengan mu…”
“Tak layak untuk aku kau kagumi. Kau lupa? Betapa ramai pejuang sebelum ku yang dikagumi, dipuja, didokong oleh penyokong mereka. Tapi akhirnya, mereka juga hanyut. Jika dibandingkan aku dengan mereka, mereka lebih hebat, lebih menonjol, lebih berpengaruh. Tapi akhir nya, mereka juga tersungkur di jalan ini. Dan aku bimbang, kau kagumi aku kerana siapa aku hari ini. Andai esok aku juga tersungkur seperti mereka, kau akan membenci aku, membenci orang yang berjuang seperti ku.”
“Tidak, aku tak mungkin akan membenci mu.”
“Jangan kata begitu. Hidup ini berputar pada perjuangan. Dua insan saja dalam dunia ini. Pejuang dan pengkhianat. Jika hari ini aku pejuang, maka aku kau kagumi, aku mahu kau benci aku, andai esok aku menjadi pengkhianat!”
“Aku harap kau akan terus terbang dengan sayap revolusi…”
“Mudah-mudahan…”
Cinta. Demi cinta lah semut merah Mao berjalan beribu batu meredah bumi China untuk menghidupkan revolusi. Kerana cinta lah Guevara tidur di celah-celah pohon di hutan Cuba demi revolusi. Atas nama cinta lah anak-anak muda berhujan peluru di Tiananmen. Semuanya kerana cinta. Cinta yang menghidupkan hati yang mati. Cinta yang menyedarkan hati yang tidur. Cinta yang mendengar untuk si pekak. Cinta yang melihat untuk si buta. Cinta yang bercakap untuk si bisu. Semua hidup kerana cinta. Alam benderang kerana cinta. Bulan bersinar kerana cinta…
“Kau tahu, Sari? Dulu aku pernah bermimpi. Mimpi di waktu kecil ku. Mimpi yang membuka jalan kehidupan ku. Mimpi yang merubah segala.”
“Apa mimpi mu?”
“Aku bermimpi sedang berjalan sendirian. Alam gelap gelita. Satu cahaya pun tak kelihatan. Tiada siapa di situ. Hanya aku. Sunyi sepi. Hanya debaran jantung ku yang kedengaran. Aku menangis. Meraung memanggil mereka yang aku sayangi. Tapi tiada yang menyahut. Tiba-tiba aku terpandang nun jauh di kaki langit, sebutir bintang gemerlapan. Tatkala ala mini gelap gelita, tatkala matahari entah ke mana, bila mana bulan hilang dari pandangan, sebutir bintang itu tetap bersinar. Seolah ia memanggil ku. Aku ingin memetik nya. Aku melompat. Melompat. Melompat. Namun ia semakin jauh. Jauh dan terus jauh dari ku. Aku terjaga dalam basah peluh. Pagi nya aku menceritakan semua nya kepada ibu ku. Aku memberitahu nya betapa bodoh nya aku ingin memetik bintang yang nun jauh di langit. Aku menyebut kembali kisah mat jenin yang pernah aku dengar dari nya. Aku mentertawakan mimpi ku sendiri. Namun ibu ku tak turut ketawa. Ia memegang bahu ku. Mata nya tepat memandang ke anak mata ku. Aku kaget. Tiba-tiba aku berdebar. Kami diam seketika. Kemudian ibu ku menyatakan sesuatu. Kau tahu apa kata nya?”
“Apa?”
“Mat jenin kah kamu kalau kamu berkata kamu ingin memetik bintang di langit? Bintang yang menerangi hidup mu? Yang setia menerangi gelap malam mu? Tidak sayang. Itu bukan angan mat jenin. Itu azam perwira! Ingat sayang, tidak ada satu pun mimpi yang ada dalam dunia ini yang tidak boleh jadi kenyataan! Kejar lah sayang bintang itu. Lompat lah sedaya mu hingga bintang itu mampu kau gapai. Mampu kau kucup. Kau semat di dada mu. Jangan sekali kau menyerah kalah. Selagi mana bintang itu tidak kau miliki, jangan lah kau berhenti melompat untuk menggapai nya…”
Hidup Revolusi! (Bahg. 2)
Nov 6th
Suatu hari, selepas kelas Perlembagaan.
“Hisyam, awak ada dengar pasal isu revolusi?” tanya Prof. Badrul. Terkenal dengan kelantangan menyuarakan pendapat khususnya dalam isu politik semasa.
“Ya, Prof. Memang pastilah saya pernah dengar isu ni. Dah kecoh satu varsiti tentang isu ni. Sana-sini budak-budak bercerita tentang ni. Tak tahu mana asalnya, tiba-tiba dah bertaburan risalah tentang revolusi.” terang Hisyam.
“Awak tak tahu siapa yang memulakan semua ni?”
“Entahlah Prof. Budak-budak pun pelik. Semua berlaku dengan tiba-tiba.”
“Saya ada sesuatu nak cakap dengan awak. Tapi di sini tak sesuai. Jom, kita keluar.”
“Hal apa Prof?”
(Keduanya keluar dari dewan kuliah)
“Awak tahu, sekarang pihak varsity dah mulakan siasatan tentang isu ni. Dan antara suspek, Kelab Cegah Mungkar.”
“Apa? Tak mungkin lah! Saya duduk dalam majlis tertinggi, tak pernah saya dengar mana-mana AJK sebut hal revolusi ni. Ini semua tuduhan palsu Prof!”
“Itulah yang saya fikir sekarang. Pentadbir, biasalah. Bila timbul isu tentang keselamatan awam macam ni, suspek utama mesti dating dari kelompok agama. Saya dengar selepas ni mereka akan pasang ‘spy’ untuk siasat kegiatan Kelab Cegah Mungkar. Awak perlu hati-hati! Ini bukan hal main-main.”
“Baik Prof. Tapi, dari mana Prof tahu semua ni?”
“Itu awak tak perlu tahu. Saya minta diri dulu.”
(Di Kafe Umar al-Khattab)
“Apa? Mereka nak tuduh Kelab Cegah Mungkar buat semua benda tu?”
“Ya, ini yang aku dengar sendiri dari Prof. Badrul. Kalau dia yang bercakap, mesti ada asasnya. Kita mesti buat sesuatu.”
“Mamat jahanam manalah yang duk sibuk nak Revolusi ni. Menyusahkan orang!”
“Sabar, kita perlu rasional. Jangan ikut nafsu. Malam ni, kita buat mesyuarat tergempar. Maklumkan pada AJK yang lain. Kalau boleh dapatkan Ustaz Asri sekali. Isu ni besar, ada baik dia ada sekali.”
“InsyaAllah…”
(Malam itu ketika mesyuarat)
“Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kepada anda semua kerana terpaksa mengadakan mesyuarat dalam keadaan tergesa-gesa. Tapi, tujuan mesyuarat ini diadakan bukan untuk membincang hal-hal remeh, tapi hal yang besar. Hal yang melibatkan masa depan Kelab Cegah Mungkar sepenuhnya!”
Hisyam memulakan bicara. Hisyam adalah pengerusi Kelab Cegah Mungkar yang agak kontroversi. Tidak semua setuju dengan perlantikan Hisyam. Tapi oleh kerana tugas ini adalah amanah, Hisyam pikul juga walau ada yang sangsi.
“ Seperti yang tuan-tuan sedia maklum, sekarang ini varsiti demam dengan virus Revolusi. Di mana-mana pun orang sibuk bercakap tentang Revolusi. Dan siang tadi, saya telah dimaklumkan oleh Prof. Badrul bahawa pihak varsiti sudah mula menyiasat tentang hal ini. Dan suspek utama tak lain tak bukan adalah Kelab Cegah Mungkar sendiri. Kita dituduh menjadi dalang kepada kekacauan ini!”
Suasana agak kecoh. Masing-masing bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengar. Memang, mereka semua sedia maklum bahawa Kelab Cegah Mungkar adalah kelab paling “lembut” di varsiti. Tapi tuduhan Revolusi ini terlalu besar.
“Dan saya juga diberitahu oleh Prof. Badrul bahawa ada perisik yang dilantik khas oleh varsiti untuk memantau aktiviti Kelab Cegah Mungkar.” Ujar Hisyam lagi.
“Saya tak percaya!” tiba-tiba Hassan mencelah.
“Perkara perisik-perisik ini bagi saya hanya helah untuk memporak-perandakan kita. Cuba tuan-tuan bayangkan. Jika varsiti berjaya yakinkan kita bahawa ada ‘spy’ di kalangan kita, bukankah kita akan jadi ‘paranoid’? Mengesyaki rakan seperjuangan sendiri.Akhirnya, yang rugi Kelab Cegah Mungkar sendiri. Dan kita jangan lupa, varsiti tak pernah berdamai dengan kita. Jangan terperangkap dalam muslihat mereka!” hujah Hassan, Ketua Biro Dakwah.
“Ada betulnya pendapat saudara Hassan tu. Perkara ini rumit, kita jangan gopoh. Pendapat saya, biarlah kita tunggu dan lihat dulu perkembangan sehari-dua ini. Dan pada masa yang sama, cuba elakkan dari melakukan aktiviti yang mencurigakan. Ingat, mereka sudah lama hendak ‘membaham’ kita. Tunggu peluang sahaja.” ujar Ustaz Asri, penasihat Kelab Cegah Mungkar.
Mesyuarat berakhir dengan penuh kekecewaan, kejutan, kerisauan. Hisyam selaku Pengerusi benar-benar terkena dengan ujian ini. Baru dia tahu langit itu tinggi. Dan hujah Hassan tadi juga kerap mengganggu fikirannya. Hassan bukan calang orang. Paling tsiqah di varsiti. Hadis 40 dihafal dan diamal. Kalau lah bukan kerana Hassan tidak hafal 40 teknik mengurus yang baik, sudah tentu Hisyam tak berpeluang untuk duduk di kerusi empuk Kelab Cegah Mungkar.
Sudah sekian lama Kelab Cegah Mungkar berlayar di samudera tanpa kocakan ombak. Namun sekarang bukan sekadar ombak, tapi Tsunami yang akan menggoncang Kelab Cegah Mungkar!
Hidup Revolusi! (Bahg. 1)
Nov 1st
[2013]
Suatu petang di ibu kota….
“Hidup Revolusi! Hidup Revolusi!”
“Sahabat ku sekalian! Ketahuilah oleh kalian bahawa hari ini, saat ini, kita bertemu di dalam satu perkumpulan, dengan satu tekad, satu keazaman, satu kekuatan!”
“Ingat lah, hari ini kita akan bersatu meruntuh kezaliman mereka! Mereka boleh bedil kita dengan meriam-meriam itu! Mereka boleh lemaskan kita dengan tear gas itu! Mereka boleh banjirkan ibu kota ini dengan water cannon itu! Tapi ingatlah! Mereka tak mungkin dapat meluntur semangat revolusi kita!”
“Hari ini, setelah kesabaran kita susun setingkat demi setingkat. Kita susun dengan batu bata masa. Dan sekarang, tiada lagi batu bata yang dapat kita susun untuk membina tembok kesabaran itu. Sabar kita sudah sampai ke puncak! Hari ini kita akan berdepan dengan mereka!”
“Kalau sahabat masih ragu-ragu, putarlah ingatan kalian kepada apa yang berlaku di Semanggi! Ingatlah apa yang berlaku di Trisakti! Ingatlah apa yang berlaku di Tiananmen! Ingatlah Iran! Ingatlah Poland!”
“Kalau mereka yang sebelum kita boleh menghancur kezaliman yang lebih hebat, menunmbang empayar yang rakus, kenapa kita tidak boleh?!”
“Sudah masanya! Hari ini, KITA BERDEPAN MATA BERTEMU MATA! KITA MENANG, ATAU HANCUR SELAMANYA!”
“HIDUP REVOLUSI! HIDUP REVOLUSI!”
(4 tahun sebelum itu, di perpustakaan)
“Aku tak setuju dengan idea mu tentang revolusi.”
“Apa aku peduli tentang pendapatmu? Revolusi tidak memerlukan persetujuanmu. Bila tiba masa kau juga akan terlibat, suka atau tidak. Revolusi itu umpama sebuah keretapi yang meluncur laju di sebatang lorong sempit. Dan kita, umpama berdiri di tengah lorong sempit itu. Samada kau lompat ke atas keretapi itu, atau bersedialah untuk ke kubur mu. Aku tahu, orang seperti kau tidak minat dengan revolusi. Kau lebih senang, selesa dengan peti undi. Parti Purnama suka orang seperti mu. Tapi aku? Aku sudah hilang percaya pada peti undi. Jika dulu Parti Purnama hamper menang, kau lihat hari ini. Orang sudah makin meninggalkan Parti Purnama. Ini belum sampai 2 tahun! Apakah kemenangan besar Parti Purnama itu, kau yakin akan bertambah? Usah bermimpi sahabat. Barisan Kebangsaan sudah reinkarnasi. Rakyat sudah melupakan kebejatan mereka. Dan mimpi mu untuk melihat mereka dan dasar mereka hancur, hanya tinggal mimpi!”
“Jadi kau yakin idea mu akan berhasil?”
“Untuk revolusi, aku serah 100% kepercayaan dan keyakinan ku!”
“Aaah… Aku malas hendak layan insan seperti mu. Revolusi, revolusi, revolusi. Mudah kau bercakap. Buktikan!”
“Kau akan menyesal sahabat. Kau tunggu sahaja saat revolusi mengetuk pintu rumah mu!”
(Dialog seterusnya berlaku menerusi khidmat pesananan ringkas “SMS”)
- Apa pendapat mu jika aku ditangkap?
- Apa?!
- Apa pendapat mu. Kau faham soalan aku.
- Jangan kau mengarut!
- Aku serius.
- Tangkap kerana apa?
- Revolusi.
- Revolusi???
- Ya, revolusi. Semua orang tahu bahawa rejim Barisan Kebangsaan penuh dengan korupsi. Tapi, hanya sedikit yang dapat dicapai dengan peti undi. Rakyat perlukan perubahan dengan segera. Dan jawapannya hanya revolusi.
- Kau gila? Revolusi dengan ke jalan raya, membuat kacau?
- Turun ke jalan raya lebih baik dari peti undi.
- Aku tak setuju dengan mu. Bagaimana kau akan memobilasi rakyat untuk turun ke jalan raya menyokong mu?
- Aku akan yakinkan mereka betapa bodohnya mereka menaruh harapan pada peti undi. Mereka akan aku yakinkan dengan revolusi.
- Kau memang sudah gila. Apa kau fikir pihak berkuasa akan hanya membiarkan kau melaksanakan kerja gila ini?
- Sudah tentu tidak. Dan aku sudah bersedia untuk menghadapi apa pun. Revolusi itu umpama bom. Bom yang akan menghancurkan kezaliman. Dan mesti ada yang harus berkorban demi untuk meletupkan bom itu.
- Kau sanggup berkorban demi orang lain?
- Ya. Biar aku terkorban, asal kejayaan revolusi ini dapat dirasai semua. 13 mahasiswa diganyang ketika revolusi. Dan kau lihat, Indonesia sekarang merasa manisnya buah revolusi yang tumbuh dengan siraman darah mahasiswa. 13 orang terkorban tak mengapa asal 26 juta rakyat kita berbahagia.
- Tak bolehkah kau menunggu pilihan raya sahaja?
- Tunggu? Aku sudah cukup sabar dengan peti undi. Dan aku tidak akan bazirkan lagi masaku dengan menunggu datangnya perubahan itu. Buah revolusi yang aku citakan ini tidak akan gugur dengan sendiri. Kita HARUS menjoloknya hingga gugur!
- ;-(
- Satu hari nanti kau akan mengerti. Revolusi itu sudah berjalan. Kau harus bersedia.
- …….
(Di surau, sesi usrah)
“Cuba adik-adik, sahabat-sahabat fikir. Kita berjuang, berkempen, mengundi berpuluh-puluh tahun lamanya. Tapi, di mana hasilnya? Kasino di Genting tetap memutarkan roulette nya. Blackjack dealer terus melemparkan kad. Carlsberg terus bercahaya megah di Shah Alam. Kalian masih percaya dengan peti undi?”
Soal nya kepada anak usrah. Baginya, anak usrah ini sangat berharga untuk revolusi. Kalau pun bukan sebagai aktor utama, cukuplah jika mereka bersedia mendokongnya apabila tiba masanya.
“Betul juga pendapat abang itu. Tapi bang, kalau bukan dengan pilihan raya, nak ubah kerajaan dengan apa lagi?
Soal anak usrahnya kembali.
“(Tersenyum) Kalian pernah dengar REVOLUSI?”
“REVOLUSI???” terpinga-pinga anak usrahnya seolah tidak menjangka perkataan ini yang akan keluar dari naqib kesayangan.
“Ya. Dan sebagai buah tangan usrah kita hari ini, kalian fikir-fikir lah dalam-dalam tentang kalimat ini.”
Dan dia keluar meninggalkan anak usrahnya dengan satu kepuasan. Langkah pertama sedang berjalan!
[2013]
“TANGAN YANG MAHU MENGGAPAI REVOLUSI MESTI BERSALUT DARAH, AIR MATA, KERINGAT RAKYAT!”
“REVOLUTION IS COMING…”
“REVOLUSI SUDAH HAMPIR”
“HIDUP REVOLUSI!”
Begitulah sebahagian daripada contengan yang kian galak muncul di mana-mana di sekitar varsiti. Entah tangan mana yang gatal menulisnya, tiada siapa yang tahu. Sedar-sedar sudah merata-rata kewujudannya.
Begitu juga di papan-papan kenyataan, sudah muncul risalah-risalah yang ditampal menceritakan perihal revolusi. Bahasanya cukup hebat. Siapa yang membaca pasti terpesona.
Isu ini memeningkan pihak berkuasa varsiti. Bukan setakat isu vandalisme, tapi ini isu keselamatan negara. Seolah sudah muncul gerakan bawah tanah yang bekerja untuk menggerakkan revolusi. Mengguling kerajaan dengan kekerasan. Dan ini bukan isu remeh. Baru-baru ini sahaja seluruh dewan utama ditabur dengan kertas kecil bertulis “revolusi semakin hampir”.
Revolusi apa? Angkara Siapa? Pening dibuatnya.
AKHBAR: KEGIATAN BAWAH TANAH DI KALANGAN PELAJAR MEMBIMBANGKAN – PM
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri hari ini menyuarakan kebimbangan beliau tentang wujudnya anasir yang tidak baik di kalangan pelajar. Anasir ini disyaki cuba untuk menggulingkan kerajaan dengan menggunakan kekerasan. “Kita akan siasat. Ini perkara serius, bukan main-main.” Beliau ditemui setelah merasmikan majlis rumah terbukan di kediaman rasminya. – Bernama
Bersambung…..










Komen Terbaru