Ilmiah

Yang bijak menunjuk jalan, yang berkuasa menggerakkan.

Golongan Akademik Seterunya Golongan Politik?

Keadilan itu umpama sebiji buah yang sedang masak ranum, tinggi di atas pokok. Manisnya menjadi idaman semua. Nikmatnya membawa kebaikan kepada seluruh alam. Namun tingginya di puncak menyukarkan insan yang ingin kepadanya.

Orang akademik, selaku golongan yang tahu, perlu menunjukkan kedudukan buah tersebut. Dan politik pula, perlu menjolok buah tersebut seperti yang ditunjuk oleh orang akademik. Dengan ini maka nikmat buah tersebut akan dapat dirasai baik golongan akademik, mahupun golongan politik.

Adapun jika golongan akademik dan golongan politik itu berseteru, maka buruk lah padahnya. Buah yang dicitai semua, tidak akan memberi faedah apa pun bagi golongan akademik dan golongan politik.

Golongan akademik hanya mampu melihat, bermimpi akan manisnya buah tersebut. Manakala golongan politik pula, akan terus buta, menjolok tanpa arah tuju, akhirnya buah kekal tinggi di atas, yang menjolok pulang hampa, yang bermimpi, hanya mampu melihat.

Memang mudah bagi golongan akademik untuk menunjuk di mana buah itu. Kerana mereka cuma menggunakan mata, mulut, telinga sahaja. Galah tiada bersama mereka. Maka mereka tidak disibukkan dengan bagaimana mahu memegang galah yang panjang lagi berat itu.

Bagi golongan akademik pula, oleh kerana galah itu ada pada tangan mereka, maka kecenderungan untuk mereka berbuat sesuka hati itu sangat tinggi. Mereka boleh buat apa saja kerana yang mengawal galah itu mereka. Namun oleh kerana mereka sudah menumpukan tenaga untuk mengawal galah yang panjang lagi berat itu, maka tumpuan mereka, penglihatan mereka pada buah itu, agak kabur.

Maka di sini lah peri pentingnya gabungan antara dua golongan ini. Golongan akademik, dengan ilmu yang mereka ada, dengan masa yang mereka habiskan di perpustakaan, dewan seminat, dan sebagainya, perlu merancang jalan menuju kepada keadilan buat seluruh alam. Namun begitu usah lah sesuka memberi cadangan tanpa melihat pada realiti semasa. Jadi lah idealistik tanpa meninggalkan realiti. Fahami juga bagaimana cabaran yang dihadapi oleh orang politik. Kerana ilmu setinggi gunung sekalipun, teori yang ditulis dengan tinta tujuh lautan sekalipun, tak berguna jika hanya di dalam kitab atau di dalam dada. Ia perlu dipraktikkan. Dan di sini lah kebergantungan orang akademik pada orang politik.

Orang politik pula, dalam keghairahan dalam mencari sokongan rakyat, perlu lah kepada satu pelan tindakan yang betul, tidak menyimpang dari norma kehidupan seharian. Mereka punya kuasa, namun tidak semestinya mereka punya idea. Lihat saja Bung Karno. Hebat dengan kuasa politik, namun setelah Belanda dinyahkan, Bung nyata gagal membangunkan Indonesia sebagaimana yang dicitakan. Maka keghairahan berkuasa ini harus dipandu dengan ilmu. Maka bergantunglah pada golongan akademik. Kerana mereka itu lebih tahu. Teori yang mereka kemukakan, jika boleh dilaksanakan, maka laksanakanlah. Usah membawa akal sendiri tanpa panduan ilmu yang betul, kelak binasa semua.

Yang bijak menunjuk jalan, yang berkuasa menggerakkan.

Maka dapat disimpulkan bagaimana tidak mungkin bisa ada perseteruan antara golongan akademik dengan golongan politik. Kerana sesungguhnya kedua nya saling bergantungan antara satu sama lain. Yang bijak menunjuk jalan, yang berkuasa menggerakkan.

Wallahua’lam.

Krisis Institut Pengajian Tinggi Malaysia (2010)

Buat Bakal Mahasiswa

Tulisan ini boleh lah dianggap sebagai satu panduan ringkas buat adik adik yang sedang berkira kira hendak ke menara gading.

Memang, memilih universiti bukan satu perkara yang mudah. Banyak perkara yang perlu difikirkan. Keperluan akademik, persekitaran yang dijanjikan, pilihan rakan rakan, peluang kerja. Ini adalah sebahagian daripada perkara yang diteliti oleh pelajar sebelum membuat pilihan.

Dalam perkara memilih universiti ini lah wujud pelbagai mitos yang ditutur secara membabi buta tanpa ada penyelidikan yang rapi. Contoh nya, universiti ini hedonis, universiti ini Islamik. Semua ini bersifat subjektif yang mana berbeza mengikut si penutur dan pemerhati. Jadi usah bazirkan masa melayan mitos sebegini.

Memilih universiti adalah sangat penting. Kerana di sini lah bakal mahasiswa akan menghabiskan sejumlah hidup mereka. Jika tersilap pilih, meranalah untuk sekurangnya 3 tahun lagi. Kerana itu, jangan lakukannya dengan membabi buta. Laku kan dengan penuh penelitian.

Dalam dunia ini ada pelbagai jenis ragam manusia. Tiada manusia yang sama kehendaknya. Kerana ini lah, setiap pelajar seharusnya membuat pilihan berdasarkan kehendak diri nya sendiri, bukan kerana ikut ikut rakan semata. Ingat, yang akan ke universiti adalah anda, bukan orang lain. Soalan yang paling penting untuk anda fikir adalah apa anda mahu dari universiti ini?

Seorang yang berminat untuk menjadi peguam Syarie contohnya, perlu lah memilih antara UIAM atau UKM kerana dua universiti ini lah yang menawarkan LLB_S. Memilih UiTM atau UM sudah tentu nampak bodoh kerana dua universiti ini lebih kepada Civil Law.

Jadi, pastikan anda tahu apa kemahuan anda. Apa yang anda harap anda akan jadi selepas keluar dari universiti itu. Pensyarah? Doktor? Jurutera? Peguam? Ahli politik? Ahli perniagaan?

Antara kesilapan besar yang dilakukan oleh para pelajar adalah mereka tidak tahu apa yang mereka mahu. Mereka memilih semata mengikut rakan rakan, dipaksa oleh ibu bapa, dan sebagainya. Ada juga yang memilih atas dasar senang dapat kerja. Statistik apa yang diguna? Statistik hari ini. Jadi 4 tahun lagi, adakah peluang kerja itu masih ada?

Memilih universiti tidak boleh kerana mengikut rakan rakan. Di sekolah anda hanya bergaul dengan 1000 manusia. Tapi menjejak kaki ke menara gading, 20000 manusia menanti anda. Memang di sekolah anda boleh jadi rakan yang rapat. Tapi di universiti, apa jaminan anda akan kekal bersama? Ingat, manusia ini boleh berubah dengan mudah. Apa jadi kalau anda pilih universiti kerana ingin bersama rakan anda tapi akhirnya dia mendapat rakan baru, tidakkah anda akan terkongtang konting sendirian? Kerana itu jangan pilih kerana rakan rakan. Hidup tidak boleh meniru niru. Perlu ada pendirian sendiri. Biar anda sendirian, asal anda membuat pilihan yang sesuai dengan diri anda.

Satu lagi kesalahan yang sering dilakukan adalah membuat pilihan atas dasar banyak nya peluang kerja menanti. Ini adalah mentaliti yang salah. Ya, mungkin bidang itu laku sekarang, tapi apa jaminan untuk 4 tahun kemudian, ia masih laku? Dulu ramai yang memilih IT sebagai bidang pilihan atas alasan senang dapat kerja. Tapi akhirnya belon IT meletup, terus jadi penjual anggur sahaja. Fikir jauh ke hadapan. Buat ramalan melalui pembacaan anda. Jangan pandang sesuatu bidang semata pada situasi hari ini sahaja. Fikir apa akan jadi 4 tahun kemudian. Boleh jadi bidang itu hari ini tidak laku, tapi mungkin 4 tahun lagi, laku selakunya.

Sebelum memilih, teliti lah dahulu universiti tersebut dengan penuh penelitian. Cari lah maklumat di laman-laman web. Layari laman rasmi universiti tersebut. Teliti apa kemudahan yang disediakan, apa polisi mereka mengenai perkara seperti tempat tinggal, kokurikum, dan sebagainya. Ramai pelajar yang tidak ambil kisah untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang universiti yang mereka minati. Kikislah sifat malas ini. Usah hanya bergantung pada kisah kisah dari alumni yang sudah 10 tahun meninggalkan universiti tersebut. Namun begitu, harus diingat bahawa segala yang disiar di laman rasmi itu adalah yang indah indah belaka. Jangan tertipu dengan apa yang mereka iklankan. Sebaliknya, ambil masa untuk melayari laman laman forum di internet. Kebanyakan forum seperti Cari, ILuvIslam dan sebagainya mempunyai ruangan forum yang membincangkan dengan khusus mengenai sesebuah universiti. Dan apa yang anda akan jumpa di forum ini adalah luahan hati para pelajar yang sudah dan sedang berada di universiti tersebut. Lihat apa masalah dan kekurangan universiti tersebut. Mereka yang berforum ini kebanyakkannya jujur, jadi anda akan dapat mengimbangi antara iklan di laman rasmi dan kenyataannya. Timbang tara lah dan jangan tertipu dengan iklan dari pihak universiti yang lebih mengutamakan keuntungan.

Seterusnya, pastikan kursus yang anda pilih itu setara dengan keputusan SPM anda. Usah sekadar tangkap muat sahaja ruangan dalam borang UPU tersebut. Ada sahabat penulis yang dapat pilihan ke 8 yang hanya diletak untuk memenuhi ruangan kosong. Ingat, kesemua 8 ruang kosong itu ada gunanya. Jangan sembarangan. Fikir betul betul.

Dan yang paling penting, jangan lupa untuk berdoa dan beristikarah kepada Allah. Sesunggunya Allah mempunyai perancangan yang rapi dan hebat buat setiap hambanya. Jangan sekali kali anda berputus asa dengan Allah. Sentiasa berdoa kepadanya agar Allah memakbulkan permintaan anda dan membantu anda ke universiti yang anda mahu.

Wallahua’lam…

Mahasiswa Dan Kaldai

Mahasiswa perlu memahami sesuatu isu dari pelbagai sudut pandangan. Sebolehnya mahasiswa harus mencari sebanyak mungkin pandangan dari pelbagai pihak tentang sesuatu isu. Dengan ini mahasiswa dapat menilai mana satu hujah yang lebih kuat dari banyak-banyak pendapat ini.

Mencari pendapat dari pelbagai sumber membantu pelajar untuk meluaskan lagi pemikiran mereka. Mereka akan dapat mendedahkan diri mereka dengan pelbagi jalur ideologi dan pegangan politik atau agama. Setiap ideologi, fahaman politik, agama, kaum, mempunyai cara yang berbeza untuk menilai sesuatu isu. Perbezaan latar, tempat dan masa mempengaruhi cara mereka membuat penilaian. Dan perbezaan ini sangat baik dalam memeriahkan pemikiran mahasiswa. Tidak harus bagi seorang mahasiswa untuk mengehadkan pemikirannya pada pandangan satu pihak sahaja. Harus juga ia mengambil tahu akan pandangan golongan lain yang ada di muka bumi ini.

Seorang mahasiswa Islam contohnya, tidak seharusnya membaca pandangan dari akademia  Muslim sahaja. Mengutip kalam-kalam ulamak semata-mata. Perlu juga untuk nya mencari pendapat dari golongan lain yang kadang-kadang jauh berbeza dengan pandangan akademia Muslim. Memang, tidak dinafikan sebagai seorang Islam mestilah mahasiswa itu mendokong pandangan yang berteraskan pandangan Alam Islam (Islamic Worldview). Namun itu tidak bermakna hujah golongan lawan harus ditolak mentah-mentah atau dibuang terus. Perlu juga diambil tahu mengapa pihak mereka berkata begini, berbuat begitu.

Mahasiswa itu ibarat seorang pelayar yang berada nun jauh di tengah lautan luas. Kelihatan dari jauh sebuah tanah daratan yang kadang-kadang nampak hijau. Kadang-kadang nampak kontang. Maka diambilnya sebuah teropong, diteropong pulau tersebut. Kebetulan teropok tersebut sudah usang, maka kantanya juga sudah kekuningan, maka kelihatanlah pulau itu sebuah tanah tandus. Maka dipusingnya kapal, dibawa berlayar mencari daratan lain. Padahal yang sebenarnya pulau itu subur dengan tumbuhan hutan. Dek kerana percaya kepada satu teropong sahaja maka terlepas sebuah pulau dari genggaman. Sepatutnya diambil sebuah lagi teropong, lihat kembali kepada pulau tersebut. Hijau kah? Atau kuning kontang kah?

Begitu juga dengan mahasiswa dalam melihat sesuatu isu. Tidak boleh berpegang pada satu sumber sahaja. Perlu memperbanyak sumber. Setiap pandangan harus dibaca dan diteliti. Jangan dianggap enteng semata kerana yang menulisnya bukan orang kita. Isu orang kita ini juga menjadi satu masalah kepada mahasiswa. Kebanyakan mahasiswa hari ini hanya mahu membaca tulisan orang kita. Akhirnya timbul rasa “syok sendiri”. Adat lah bagi seseorang penulis untuk mengangkat kedudukan puaknya dalam sesuatu isu. Jadi apabila mahasiswa ini hanya mengehadkan pembacaan pada satu sumber sahaja, yang berbetulan pula adalah tulisan orang kita, maka timbullah perasaan “syok sendiri” ini. Rasa kagum pada puak sendiri. Semangat puak aku sahaja yang betul menebal dan orang lain semua dianggap propaganda, tipu helah semata.

Maka kemudian timbul pula unsur  taksub. Ini lagi bahaya. Taksub menyebabkan seorang mahasiswa menjadi buta dan rabun dalam memahami sesuatu isu. Mereka akan berasa bahawa hanya pemimpin mereka sahaja yang betul. Pemimpin lain semua salah. Apa yang dikatakan pemimpin mereka semua betul. Tidak patut dibangkang kerana memang sudah betul. Ini bahaya. Ini bukan sikap seorang mahasiswa. Ini sikap seekor kaldai yang menarik pedati di pasar yang busuk. Di mana tuannya menunjuk, di situ ia pergi. Adakah nilai akal mahasiswa hanya seperti seekor kaldai? Sudah tentu tidak, bukan?

Mengetahui hujah puak sebelah sana juga penting dalam menangkis hujah mereka. Masih ramai mahasiswa yang bersikap “menegak benang yang basah”. Mereka secara semberono menyatakan hujah puak sebalah sana sebagai salah, dan terus mengemukakan hujah mereka. Sepatutnya mereka menilai hujah puak sebelah sana, teliti mana yang pincang, dan kemukakan kepincangan tersebut, barulah dibentang hujah puak kita pula. Baru lah dapat dipatah dengan baik hujah pulak sebelah sana. Jika sekadar mengemukakan hujah sendiri, maka itu tidak dinamakan patah hujah lawan. Tapi sekadar bertukar pandangan. Kalau sekadar bertukar pandangan, maka bagaimana dapat dibuktikan bahawa hujah kita lebih kuat? Mahu tak mahu, hujah lawan harus diteliti, dan sampai masa, patah hingga tak mampu tumbuh lagi.

Seorang Pro-Mahasiswa tidak boleh hanya membaca blog aktivis Pro-M sahaja. Baca juga blog aktivis Pro-Aspirasi. Penyokong PAS tidak boleh hanya mabuk dalam tinta Lutfi Othman sahaja, cuba juga hirup buah fikiran Awang Selamat. Bukan untuk kita percaya dan ambil bulat-bulat. Tapi untuk membandingkan hujah orang kita dengan orang sana. Barulah keyakinan kita adalah keyakinan yang betul-betul, bukan sekadar ikut-ikut.

Kesimpulannya, sebagai seorang mahasiswa,  kita perlu memahami sesuatu isu dari pelbagai sudut pandang. Tidak boleh dari satu sudut pandang sahaja. Memahami isu dari pelbagai sudut akan menghindar budaya taksub dan juga membantu kita memahami pandangan golongan sebelah sana.

Wallahua’lam.

Penggunaan kalimah “Allah”

Islam melarang umatnya dari bercakap mengenai perkara yang ia tidak ketahui. Terutama mengenai perkara agama. Maka oleh kerana itu saya bawakan di sini hujah menarik dari murabbi yang dicintai, Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang mengenai isu penggunaan kalimah ALLAH ini. Diharap dapat ambil pengajaran.

Penggunaan kalimah “Allah”

oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS

Penggunaan kalimah ”Allah” oleh penganut agama bukan Islam telah menjadi bahan polemik hangat dalam negara kita, dan ianya menjadi semakin panas setelah pihak Mahkamah Tinggi membuat keputusan memberi keizinan kepada pihak gereja Katholik menggunapakai perkataan Allah dalam bahan penerbitan mereka. Realiti kehidupan dalam negara kita ialah, kedudukan masyarakat Kristian adalah dalam lingkungan kehidupan masyarakat umum yang hidup secara bersama, khususnya masyarakat yang hidup di dalamnya umat Islam, mahu tidak mahu ianya akan menyentuh perasaan mereka, kerana perkataan Allah adalah sangat mulia di sisi umat Islam.

Apa yang menghairankan ialah, sebelum ini pengamal ajaran Kristian itu menyebut ‘tuhan’ dengan bahasa mereka masing-masing. Ada pun umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa tetap berlafaz dan menulis dengan perkataan “Allah” dari kitab suci mereka (Al-Quran). Perkataan “Allah” ini tidak diterjemahkan lagi ke dalam bahasa masing-masing, kerana perkataan Allah tidak mampu diterjemahkan ke dalam bahasa lain, dengan berpegang kepada makna asalnya dalam bahasa Al-Quran.

Persoalannya ialah, adakah ianya boleh dibenarkan begitu sahaja di atas konsep kebebasan beragama? Hakikatnya, kebebasan secara saksama seharusnya mempunyai batas sempadan yang tidak menimbulkan masalah sehingga boleh mencetuskan perkara yang boleh merosakkan hubungan sesama manusia. Jangan sampai kita ‘terbabas’ dalam mencari kebebasan. Perkara ini perlu dijawab secara ilmu, kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebenar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan mereka.

Apa yang perlu difahami ialah, adakah penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama lain itu adalah mengikut makna perkataan “Allah” yang tepat, dengan maksudnya yang sebenar dari segi bahasa Arab? Atau adakah mereka yang bukan Islam itu memakai perkataan itu dengan mempunyai maksud mereka sendiri yang tidak tepat mengikut bahasa bangsa yang menggunakannya, sehingga ianya boleh menjadi ejekan atau mengurangkan maksudnya sehingga menyentuh perasaan penganut Islam yang memuja kalimah ini? Suatu hakikat yang perlu difahami dengan terang dan nyata ialah, bahawa umat Islam di serata dunia yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bercakap berbagai bahasa pula, sedang menggunakan perkataan “Allah” mengikut maksudnya yang sebenar inilah.

Perkataan Allah disebut oleh orang Arab atau pengguna bahasa Arab yang menganut berbagai agama, sama ada penganut Yahudi, Kristian dan penyembah berhala sejak dahulu kala. Al-Quran menyebut secara jelas bahawa penganut agama-agama itu menyebut dan menulis perkataan Allah.

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya), sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?. (Surah al-Ankabut: 61)

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya? sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah al-Ankabut: 63)

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian – tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah Luqman: 25)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang mencipta langit dan bumi?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Katakanlah (kepada mereka): “Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?” Katakanlah lagi: “Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri”. (Surah az-Zumar: 38)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” sudah tentu mereka akan menjawab: “yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui”. (Surah az-Zukhruf: 9)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)? (Surah az-Zukhruf: 87)

Ayat-ayat tersebut di atas mendedahkan bahawa orang-orang bukan Islam yang menganut berbagai agama itu mengaku wujudnya Tuhan yang bernama Allah mengikut naluri dalam Tauhid Rububiyyah (adanya Tuhan Pencipta Alam) dan ianya hanya sekadar itu. Namun kepercayaan mereka sebegini tidak menepati hakikat dari makna perkataan Allah mengikut maknanya yang sebenar, iaitu supaya mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup seluruhnya.

Hari ini kita melihat mukjizat Al-Quran, apabila mereka memaksa diri untuk menggunakan perkataan Allah, pada hal selama ini mereka menggunakan perkataan yang menamakan Tuhan dengan bahasa masing-masing seperti God dan Lord; dan kalau itulah Allah mengikut kefahaman mereka maka ianya adalah tidak tepat dengan maksudnya.

Umat Islam tidak boleh memaksa kefahaman mereka yang salah ini untuk mengikut ajaran dan takrifan bahasa umat Islam, walaupun mereka percaya kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, tetapi mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripadanya dengan berbagai-bagai cara. Kalangan penganut Kristian dengan kepercayaan Trinity dengan mengadakan isteri dan anak bagi Tuhan Yang Maha Esa dan Yang Maha Suci itu. Agama yang lain menambah perlantikan Tuhan mengikut kefahaman mereka masing-masing.

Mengikut ajaran Islam, perkataan Allah ialah salah satu daripada nama-nama yang banyak bagi Tuhan Yang Maha Esa (Al-Asma Al-Husna).

Imam Al-Baihaqi menulis dalam kitabnya (Al-Asma wa Sifat).

“Perkataan Allah itu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tidak berbilang lebih dari satu dan tidak ada sekutu bagiNya (sama ada dinamakan bapa, anak dan apa sahaja). Allah mengikut bahasa Arab yang fasih dan nyata bermaksud, Dia Sahaja Tuhan, Yang Maha Esa, tidak ada lagi tuhan yang lain daripadaNya. Perkataan Allah itu daripada perkataan aL-Ilah dengan menambah al kepada perkataan asal Ilah yang bermakna Tuhan secara umum. Apabila diletakkan alif dan lam (al) menjadi yang khusus satunya yang dikenali dan diyakini benarnya, kemudian dimudahkan sebutannya dengan membuang beberapa huruf, maka disebut Allah. Penambahan al dalam bahasa Arab bertujuan makrifah (yang dikenali) secara khusus yang tidak boleh dikelirukan dengan kepercayaan salah, iaitu “berbilang tuhan”.

Al-Quran mengajar cara penjelasan makna yang sebenar, begitu juga hadith-hadith Rasulullah SAW. Penjelasan inilah yang dinamakan sebagai ‘menyampaikan dakwah’, sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Tanpa melarang mereka dari menyebut perkataan Allah, tetapi kita memberi penjelasan berdasarkan ilmu, bahawa penggunaan perkataan Allah oleh mereka yang percaya adanya sifat ketuhanan dan nama ketuhanan yang lain daripada Allah adalah tidak tepat.

Apabila Rasulullah SAW menghantar surat kepada raja-raja yang menganut agama kitab, dan disebut dalam surat perutusan itu firman Allah yang menjelaskan kepercayaan yang sebenar kepada Allah yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah”. Kemudian jika mereka (ahli kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”. (Surah Ali Imran: 64)

Perutusan Rasulullah SAW mendedahkah bagaimana golongan ahli kitab (Kristian dan Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut perkataan Allah, seterusnya dijelaskan dengan makna aqidah yang tepat secara ajaran tauhid, iaitu mengesakan Allah tanpa syirik, sama ada syirik itu melakukan upacara ibadat dengan menyembah tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang ciptaan para ahli agama (pendita) dan pemimpin-pemimpin (arbab) yang mencipta undang-undang dan hukum yang menentang hukum Allah. Mereka telah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab yang diturunkan kepada rasul mereka sendiri, atau mengharamkan apa yang dihalalkan, atau memberi hak ketuhanan kepada ahli agama sehingga boleh mengampunkan dosa yang menjadi hak Allah sahaja.

Kesimpulannya, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita. Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan agama mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan Allah sekadar mengubah jenama bagi melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh dizinkan sama sekali. Ini adalah kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci kepada umat Islam dan  bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang diamal oleh umat Islam, adalah dikira menodai kesucian dan kemurnian kalimah Allah di hadapan umat Islam.

Imam Ali K.W, menegaskan kepada mereka yang menyalahgunakan perkataan yang benar dengan tujuan yang salah, dengan apa nama sekalipun:

(Kalimahnya benar tetapi dimaksudkan dengan tujuan yang salah).

Kalimah Allah adalah paling benar, tetapi kalau menulis atau menyebut perkataan Allah laksana memakai jenama barangan untuk melariskan jualan di tengah masyarakat umat Islam, maka ianya sangat menyentuh sensitiviti umat Islam. Keadaan ini akan menyebabkan semua kalangan umat Islam yang berbeza pertubuhan (NGO), fahaman politik dan individu, bersatu untuk mengeluarkan  suara hati mereka yang sangat memuliakan kalimah Allah. Suasana sebegini boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk yang ada dalam negara kita.

Al-Quran juga memerintah penganutnya supaya tidak menghina dan mencaci penganut agama lain sehingga menyebabkan mereka mencaci Allah.

Firman Allah yang bermaksud:

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-An’am: 108)

Demikianlah keterbukaan Islam terhadap kebebasan beragama dengan batas sempadan yang tidak menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai agama.

Wallahua’alam.

7 Januari 2010

Melahirkan Generasi Kritis Melalui Subjek Sejarah

Melahirkan generasi yang kritis sangat penting bagi sesebuah negara. Amat malang sekirannya sesebuah negara itu hanya mampu untuk melahirkan generasi kakak tua yang bijak (?) menghafal namun bodoh dalam menganalisis, mengkritik, mempersoal apa yang dihafal. Menghafal perkara yang mudah. Beruk juga boleh menghafal. Tikus apatah lagi. Apakah cukup bagi manusia untuk menjadi seperti beruk atau tikus? Tidak. Itu memang pasti. Jadi yang membezakan manusia dan beruk adalah kemampuan untuk mengkritik, menganalisis, mempersoal segala maklumat yang disumbat ke dalam kepala.

Jelas sekali hari ini sistem pendidikan kita lebih banyak melahirkan beruk dan tikus daripada melahirkan manusia. Kita ramai pelajar yang mendapat “straight A’s” namun gagal memahami sesuatu isu dengan berkesan. Kita kaya dengan kakak tua yang mampu menulis kembali apa yang tercatat dalam buku teks ke atas sekeping kertas. Ini semua hanya lah pencetus kepada kejatuhan Hadharah Malaysia yang dicintai.

Melahirkan generasi yang kritis adalah idaman setiap tamadun. Tanpa generasi yang kritis, mana mungkin penambahbaikan dapat dicapai. Kita tidak perlu kepada tukang ampu, tukang kipas yang mengiyakan segala idea, cadangan, buah fikiran. Tapi yang kita ingin kan adalah mereka yang akan mencari kekurangan kepada buah fikiran, idea, cadangan tersebut dan membantu kita memperbaik lagi idea tersebut.

Melalui tukang kritik lah kita dapat membaiki sesuatu. Kerana sesuatu yang perlu dibaiki adalah sesuatu yang ada kekurangan. Kekurangan hanya dapat dilihat oleh mereka yang kritis, tak mampu golongan pengampu untuk melihat kekurangan orang yang diampu.

Persoalan sekarang, bagaimana melahirkan golongan yang kritis?

Adalah menjadi satu kemestian bagi pelajar di sekolah untuk mengambil mata pelajaran Sejarah. Mata pelajaran sejarah adalah sangat penting dan berguna bagi para pelajar kerana memalui sejarah lah kita mampu untuk belajar dari kesilapan datuk nenek kita dahulu. Namun, adakah cukup sekadar tahu siapa yang menjajah, bila kapitan cina datang, apa yang dijarah oleh Belanda? Segala persoalan siapa, apa, bila adalah perkara yang boleh dihafal. Sesiapa pun boleh menghafal. Yang penting bagi kita adalah untuk mengajar kepada para pelajar, mengapa perkara itu berlaku. Mengapa, bukan siapa. Mengapa, bukan bila. Mengapa, bukan apa.

Melalui persoalan mengapa lah kita dapat mengetahui dengan jelas sesuatu perkara berlaku dan wujud dalam lipatan sejarah. Antara sebab wujudnya sindrom bosan dan benci akan sejarah dalam kalangan para pelajar adalah penekanan yang berlebihan terhadap fakta-fakta yang perlu dihafal. Nama tokoh, tempat kejadian, tahun peristiwa, semua membosankan para pelajar. Justeru, persoalan mengapa tentulah lebih menarik untuk pelajar kerana mereka tidak ditekankan untuk menghafal sebaliknya mereka lebih ditekankan untuk mengetahui kenapa sesuatu peristiwa itu berlaku.

Memang, penting juga untuk kita mengetahui nama, bila, apa. Namun, usah lah ditekankan sangat. Tak tahu siapa Tok Janggut tidak mengapa asalkan tahu mengapa orang Kelantan menentang British. Tak tahu bila perjanjian Pangkor ditandatangani tidak mengapa asalkan tahu mengapa ia ditandatangani.

Pelajar kita mesti diajar untuk menyelami maksud yang tersirat dalam sejarah kita. Mereka perlu ditekankan untuk mengambil tahu mengapa seseorang tokoh itu membuat sesuatu. Bukan sekadar tahu apa yang tokoh itu buat.

Setelah selesai penguasaan pelajar dalam mengapa sesuatu itu berlaku, kita perlu menekankan pula persoalan apa yang mungkin berlaku jika ianya tidak berlaku sebagaimana sejarah. Apa yang akan berlaku sekiranya British Military Administration tidak datang setelah Jepun menyerah kalah? Apa yang akan berlaku sekiranya Tunku Abdul Rahman membenarkan Parti Komunis Malaya menyertai politik? Persoalan ini dapat melahirkan pemikiran di luar kotak. Kemahiran berfikir untuk jangka masa panjang akan mampu untuk dipupuk.

Ini kerana apabila pelajar sudah benar-benar menguasi kemahiran ini, sudah tentu mereka akan mewujudkan dahulu persoalan mengapa mereka melakukan sesuatu dan apa berlaku jika mereka tidak melakukannya. Kemahiran “plan B” juga akan terbentuk sedikit demi sedikit.

Persoalan sebegini sudah tentulah lebih menarik dan dapat meluaskan lagi fikiran para pelajar. Jika sistem lama yang berteraskan bila, apa, siapa, para pelajar akan ditutup dalam kotak sejarah yang sudah berlaku dan tak mampu untuk diubah lagi. Tapi dengan sistem mengapa, pelajar dapat mebuat andaian dan meluaskan lagi fikiran mereka dengan mengaitkan sesuatu isu dengan isu yang lain.

Pengaplikasian sejarah dalam kehidupan juga akan lebih bermakna dengan pendekatan persoalan ini. Apa yang kita boleh aplikasikan dengan sekadar mengetahui nama tokoh, bila jambatan dibom dan sebagainya? Mengetahui maksud yang tersirat di sebalik sejarah itu lah yang akan menjadikan sejarah lebih bernilai.

Dengan adanya konsep mengapa ini, pelajar dapat mempersoal, mengkritik tindakan seseorang tokoh. Mereka dapat mengadakan perbincangan, diskusi ilmiah mengenai sesuatu peristiwa. Mereka akan mampu untuk memberikan pendapat mereka mengenai aksi seseorang tokoh. Apa yang berlaku jika tokoh itu buat begini, bukan begitu? Kenapa dia tidak ikut kata penasihat? Jika ikut sudah tentu jadi begini, bukan begitu. Ini lebih baik dan bakal melahirkan generasi yang mampu berfikir di luar kotak sejarah, bukan sekadar kakak tua yang terkurung dalam kotak sejarah.

Dari segi peperiksaan pula, para penggubal soalan perlu menyediakan satu soalan khusus untuk memberi ruang bagi para pelajar menzahirkan idea dan pendapat mereka mengenai sesuatu isu. Soalan sebegini tidak mampu dijawab sekadar dengan membaca buku teks. Sebaliknya kemahiran berfikir sangat penting kerana soalan sebegini memerlukan idea baru, bukan sekadar mengulang kembali cerita lama.

Soalan ini perlu dijadikan soalan wajib dan para pelajar perlu “score” soalan ini bagi membolehkan mereka mendapat A atau lulus dalam mata pelajaran tersebut. Jangan jadikan soalan ini soalan pilihan kerana sudah tentu para pelajar tidak mahu menjawabnya.

Kebebasan intelektual perlu diberikan kepada para pelajar dalam menjawab soalan ini. Biarkan mereka mengkritik, menggodam, menghentam tindakan seseorang tokoh asalkan ianya bersifat membina, bukan kritik, godam, hentam yang membabi buta. Persoalan mengapa yang dibincangkan tadi akan menyediakan para pelajar dalam menjawab soalan ini.

Bersikap kritikal bukan sikap yang buruk. Bahkan ianya sikap yang mulia kerana melalui kritikan lah kita dapat membaiki diri, keluarga, masyarakat dan negara. Justeru itu penting bagi kita menyediakan masyarakat yang bersikap kritikal dalam membina Hadharah Malaysia yang kita idamkan.

Wallahua’lam.

kata Bertrand Russell

Bertrand Russell: “Be isolated, be ignored, be attacked, be in doubt, be frightened, but do not be silenced.”

kamus hidup mahasiswa…

gambar hiasan

gambar hiasan

activism noun
/ˈæk.tɪ.vɪ.zəm/ n [U]
the use of direct and noticeable action to achieve a result, usually a political or social one

activist noun
/ˈæk.tɪ.vɪst/ n [C]
a person who believes strongly in political or social change and works hard to try and make this happen

idealism noun
/aɪˈdɪə.lɪ.zəm/ n [U]
the belief that your ideals can be achieved, often when this does not seem likely to others

movement noun (GROUP OF PEOPLE)
/ˈmuːv.mənt/ n
[C + singular or plural verb] a group of people with a particular set of aims

student noun
/ˈstjuː.dənt/US pronunciation symbol/ˈstuː-/ n [C]
a person who is learning at a college or university, or sometimes at a school

(Definition from the Cambridge Advanced Learner’s Dictionary)
(Gambar diambil dari
http://petiusang.wordpress.com/)

the loudest one….

action speaks louder than word but thinking speaks the loudest.

fikir-fikir kan… wallahua’lam…

Guaman, Kerjaya Yang Disalah Fahami

Saya adalah seorang pelajar undang-undang di sebuah institut pengajian tinggi di Lembah Kelang. Sebagai seorang yang bakal menceburi bidang guaman, saya sering diserang dengan soalan dan tuduhan yang bukan-bukan. Antaranya:

“Peguam adalah kerja yang hina kerana sanggup membela pesalah.”

“Apa hukum hakim buat keputusan yang salah?”

Dalam menjawab soalan sebegini, saya suka menggunakan hujah akal kerana saya tidak berapa mahir dalam dalil naqli.

Jadi, dalam perkara pertama, peguam sering difitnah sebagai golongan yang hina kerana membela pesalah. Benarkah begitu?

Kita lihat satu situasi. A dihadapkan ke mahkamah kerana dituduh membunuh seorang wanita dengan kejam. Seluruh masyarakat menghukum A sebagai pembunuh selepas melihat muka A di muka hadapan akhbar. Walaupun mahkamah belum bersidang, tapi hukuman telah dijatuhkan oleh masyarakat. Kemudian disiarkan pula wajah peguam bela bagi A. Maka peguam ini juga dituduh sebagai seorang yang tak berhati perut kerana membela pembunuh.

Persoalan sekarang, atas justifikasi apa masyarakat menjatuhkan hukuman ke atas A?

Dalam situasi ini, peguam tersebut bertindak atas prinsip seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah. Salah kah prinsip ini? Adakah hanya kerana hanya seorang suspek maka dia lah yang sebenar bersalah? Mudah benar kita membuat andaian.

Peguam tersebut bersangka baik terhadap A kerana bersangka jahat itu salah. Maka oleh kerana mahkamah belum bersidang, tiada apa yang dapat menghalang peguam itu dari membantu membuktikan yang A tidak bersalah.

Andai kata ada seorang saksi, B yang melihat A membunuh. Maka adakah peguam itu harus tunduk saja kepada hujah B itu? Sudah tentu tidak. Oleh kerana tidak diketahui siapakah sebenarnya yang membunuh wanita itu, maka sudah tentu peguam itu akan menentang hujah B bermatian. Bagi peguam itu, boleh jadi B tersilap, dan boleh jadi juga B menerima rasuah.

Maka itu, peguam itu tetap membela A bagi membuktikan yang dia tidak bersalah. Kita tidak tahu samada A benar-benar bersalah atau tidak kerana prinsip yang diguna adalah seseorang itu tidak bersalah selagi tidak terbukti bersalah.

Maka, salah kah bagi peguam itu bersangka baik terhadap A? Sudah tentu tidak bukan? Jadi dengan prinsip itu dan amalan bersangka baik ini, peguam itu akan berusaha membela A bermatian kerana tiada yang mengetahui perkara sebenar kecuali A dan Allah. Jadi selagi mahkamah tidak menjatuhkan hukuman ke atas A, selagi itu peguam itu mesti membela A demi mengelakkan seorang yang tidak bersalah dianiyai.

Itu persoalan pertama.

Persoalan kedua, adakah hakim yang menjatuhkan hukuman yang salah itu berdosa?

Dalam satu hadis, Rasulullah bersabda bahawa jika seseorang itu berijtihad dan ia betul, maka baginya 2 pahala. Jika sekiranya ia berijtihad dan ia salah, maka baginya 1 pahala.

Bagaimana kah seorang hakim itu membuat keputusan? Adakah secara membuta-tuli? Sudah tentu tidak! Hakim membuat keputusan berdasar kepada apa yang ada di hadapan nya. Jika perkara itu pada tafsirannya begitu, maka begitulah. Kalau hakim membebaskan suspek kerana tidak cukup bukti, maka salah kah hakim? Sudah tentu tidak kerana hakim tidak boleh membuat keputusan berdasarkan sentimen masyarakat. Selagi tidak dibuktikan bersalah, selagi itu lah orang itu tidak bersalah.

Jadi tiada kesalahan di atas bahu hakim sekiranya keputusan itu rupanya salah. Kerana dia membuat keputusan berdasar pada ijtihad selepas melihat segala bukti yang dikemukakan oleh kedua belah pihak. Dan orang luar tak patut mempertikai keputusan ini kerana sudah nyata tiada sebab orang itu perlu dihukum bersalah.

Hanya Allah dan suspek sahaja yang tahu apa yang sebenar berlaku. Bagi seorang hakim yang tiada keupayaan untuk berdialog secara langsung dengan Allah seperti nabi Musa, maka tidak patut kita menyalahkan hakim yang langsung tak buat salah.

Ingat, seseorang itu tak bersalah selagi tak dibuktikan bersalah.

Wallahua’lam.