Mahasiswa

Krisis Institut Pengajian Tinggi Malaysia (2010)

Mahasiswa Malaysia Menurut Media Indonesia

“…mahasiswa yang katanya sebagai agen perubahan tidak lebih dari orang bodoh, yang buta dan tuli.”

ukm4

UKM4: Apa Cerita?

Lebih kurang 9 tahun lalu, 7 orang mahasiswa telah ditahan ketika menyertai demonstrasi membantah kekejaman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Penangkapan mereka mendapat reaksi bantahan dari segenap golongan khususnya gerakan mahasiswa. Suasana ketika itu memang agak kecoh.

Dalam keghairahan masyarakat menentang regim Barisan Nasional yang patah sebelah kaki setelah dihentam Barisan Alternatif (kini Pakatan Rakyat) dalam Pilihan Raya ke-10 tahun 1999, mahasiswa mengambil inisiatif menubuhkan Gerakan Mahasiswa Menentang ISA (GMMI). GMMI ditubuh sebagai reaksi mahasiswa ke atas penangkapan 10 aktivis reformasi ketika itu[1]. Bagi menzahirkan penentangan ini, telah diadakan satu himpunan besaran di Masjid Negara. Seramai 500 mahasiswa megah berhimpun bagi mengutuk kekejaman ISA. Dan dalam himpunan inilah, 7 orang mahasiswa telah dicekup. Seperti dijangka, pihak universiti tanpa segan silu terus menggantung pengajian mereka[2].

Dan jika diingat kembali, dunia idealisme mahasiswa sangat bergolak dengan penggugatan secara terbuka kepada kebejatan parti pemerintah. Dan pemerintah, seperti biasa, bersikap keras terhadap mahasiswa.

Siapa akan lupa pada penangkapan saudara Fuad Ikhwan, Presiden MPP Universiti Malaya di bawah ISA kerana dituduh membakar Dewan Tunku Canselor? Siapa akan lupa pada pemecatan Presiden MPP Universiti Islam Antarabangsa, saudara Dasuki Wahab? ISA 7, seperti yang diceritakan tadi, siapa boleh lupa? Ini yang berlaku apabila mahasiswa bangkit menentang kebejatan regim Barisan Nasional.

Itu yang berlaku dulu. Yang terpahat kemas dalam tugu perjuangan mahasiswa. Sekarang pada tahun 2010, sekali lagi mahasiswa dihadap ke muka pengadilan. Di Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM 4 pelajar bakal didakwa di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kerana “membawa dan memiliki CD, risalah berunsur sokongan atau simpati dengan atau bangkangan terhadap parti politik yang bertanding dalam pilihan raya kecil kawasan itu”[3].

Agak pelik tuduhan yang dihadapkan kepada mereka berempat. Kerana jika memiliki risalah berunsur sokongan atau simpati kepada parti politik itu salah, bagaimana pula jika mahasiswa memiliki akhbar Utusan Malaysia? Bukankah Utusan sarat dengan berita yang membodek Barisan Nasional? Kenapa mahasiswa tidak didakwa kerana memiliki Utusan?

Kita hairan, kenapa HEP kelihatan begitu bersungguh dalam memberkas pelajar yang berpolitik sedang banyak lagi masalah sosial yang wujud dalam kalangan mahasiswa. Jika kita buka Facebook yang dikendali oleh para pelajar, mudah sangat untuk melihat aksi mereka tonggeng arak, berpeluk, bercium, di kelab malam. Apakah pengintip HEP tak pernah lihat semua ni? Kenapa para pelajar ini tak didakwa juga? Kenapa hanya mendakwa mahasiswa yang berpolitik?

Seperti episod yang ISA7, hikayat UKM4 ini sebenarnya sama sahaja. Keduanya didakwa kerana mereka mengancam kedudukan parti pemerintah. Sekiranya UKM4 itu memiliki bahan kempen Barisan Nasional, sudah tentu kita tidak akan lihat kempen untuk mendesak UKM menggugurkan dakwaan ke atas mereka. Kesalahan mereka hanya satu. Mereka menentang Barisan Nasional. Itu sahaja sebenarnya jawapan kepada kepelikan di atas. Kerajaan tidak kisah apa anda mahu buat, asal jangan menentang Barisan Nasional.

Suara mahasiswa suara keramat. Kerana itu kerajaan terlalu takut pada mahasiswa. Bayangkan, seorang manusia yang muda, berdarah panas, dan pada masa yang sama, berpendidikan. Sudah tentu mereka bisa menggoyahkan kedudukan siapa sahaja! Maka kerana itulah suara mereka akan sedaya upaya disekat oleh regim yang zalim.

Kita tak usah berasa pelik dengan tindakan disisplin yang ditimpakan ke atas UKM4 ini. Kerana mereka adalah mangsa percaturan politik bangsat UMNO APCO Barisan Nasional. Ingat, mahu selamat, jangan lawan kerajaan!


[1] HARAPAN, 11 Mei 2001

[2] Risalah ISA 7

[3] Malaysiakini, 18 Mei 2010

Buat Bakal Mahasiswa

Tulisan ini boleh lah dianggap sebagai satu panduan ringkas buat adik adik yang sedang berkira kira hendak ke menara gading.

Memang, memilih universiti bukan satu perkara yang mudah. Banyak perkara yang perlu difikirkan. Keperluan akademik, persekitaran yang dijanjikan, pilihan rakan rakan, peluang kerja. Ini adalah sebahagian daripada perkara yang diteliti oleh pelajar sebelum membuat pilihan.

Dalam perkara memilih universiti ini lah wujud pelbagai mitos yang ditutur secara membabi buta tanpa ada penyelidikan yang rapi. Contoh nya, universiti ini hedonis, universiti ini Islamik. Semua ini bersifat subjektif yang mana berbeza mengikut si penutur dan pemerhati. Jadi usah bazirkan masa melayan mitos sebegini.

Memilih universiti adalah sangat penting. Kerana di sini lah bakal mahasiswa akan menghabiskan sejumlah hidup mereka. Jika tersilap pilih, meranalah untuk sekurangnya 3 tahun lagi. Kerana itu, jangan lakukannya dengan membabi buta. Laku kan dengan penuh penelitian.

Dalam dunia ini ada pelbagai jenis ragam manusia. Tiada manusia yang sama kehendaknya. Kerana ini lah, setiap pelajar seharusnya membuat pilihan berdasarkan kehendak diri nya sendiri, bukan kerana ikut ikut rakan semata. Ingat, yang akan ke universiti adalah anda, bukan orang lain. Soalan yang paling penting untuk anda fikir adalah apa anda mahu dari universiti ini?

Seorang yang berminat untuk menjadi peguam Syarie contohnya, perlu lah memilih antara UIAM atau UKM kerana dua universiti ini lah yang menawarkan LLB_S. Memilih UiTM atau UM sudah tentu nampak bodoh kerana dua universiti ini lebih kepada Civil Law.

Jadi, pastikan anda tahu apa kemahuan anda. Apa yang anda harap anda akan jadi selepas keluar dari universiti itu. Pensyarah? Doktor? Jurutera? Peguam? Ahli politik? Ahli perniagaan?

Antara kesilapan besar yang dilakukan oleh para pelajar adalah mereka tidak tahu apa yang mereka mahu. Mereka memilih semata mengikut rakan rakan, dipaksa oleh ibu bapa, dan sebagainya. Ada juga yang memilih atas dasar senang dapat kerja. Statistik apa yang diguna? Statistik hari ini. Jadi 4 tahun lagi, adakah peluang kerja itu masih ada?

Memilih universiti tidak boleh kerana mengikut rakan rakan. Di sekolah anda hanya bergaul dengan 1000 manusia. Tapi menjejak kaki ke menara gading, 20000 manusia menanti anda. Memang di sekolah anda boleh jadi rakan yang rapat. Tapi di universiti, apa jaminan anda akan kekal bersama? Ingat, manusia ini boleh berubah dengan mudah. Apa jadi kalau anda pilih universiti kerana ingin bersama rakan anda tapi akhirnya dia mendapat rakan baru, tidakkah anda akan terkongtang konting sendirian? Kerana itu jangan pilih kerana rakan rakan. Hidup tidak boleh meniru niru. Perlu ada pendirian sendiri. Biar anda sendirian, asal anda membuat pilihan yang sesuai dengan diri anda.

Satu lagi kesalahan yang sering dilakukan adalah membuat pilihan atas dasar banyak nya peluang kerja menanti. Ini adalah mentaliti yang salah. Ya, mungkin bidang itu laku sekarang, tapi apa jaminan untuk 4 tahun kemudian, ia masih laku? Dulu ramai yang memilih IT sebagai bidang pilihan atas alasan senang dapat kerja. Tapi akhirnya belon IT meletup, terus jadi penjual anggur sahaja. Fikir jauh ke hadapan. Buat ramalan melalui pembacaan anda. Jangan pandang sesuatu bidang semata pada situasi hari ini sahaja. Fikir apa akan jadi 4 tahun kemudian. Boleh jadi bidang itu hari ini tidak laku, tapi mungkin 4 tahun lagi, laku selakunya.

Sebelum memilih, teliti lah dahulu universiti tersebut dengan penuh penelitian. Cari lah maklumat di laman-laman web. Layari laman rasmi universiti tersebut. Teliti apa kemudahan yang disediakan, apa polisi mereka mengenai perkara seperti tempat tinggal, kokurikum, dan sebagainya. Ramai pelajar yang tidak ambil kisah untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang universiti yang mereka minati. Kikislah sifat malas ini. Usah hanya bergantung pada kisah kisah dari alumni yang sudah 10 tahun meninggalkan universiti tersebut. Namun begitu, harus diingat bahawa segala yang disiar di laman rasmi itu adalah yang indah indah belaka. Jangan tertipu dengan apa yang mereka iklankan. Sebaliknya, ambil masa untuk melayari laman laman forum di internet. Kebanyakan forum seperti Cari, ILuvIslam dan sebagainya mempunyai ruangan forum yang membincangkan dengan khusus mengenai sesebuah universiti. Dan apa yang anda akan jumpa di forum ini adalah luahan hati para pelajar yang sudah dan sedang berada di universiti tersebut. Lihat apa masalah dan kekurangan universiti tersebut. Mereka yang berforum ini kebanyakkannya jujur, jadi anda akan dapat mengimbangi antara iklan di laman rasmi dan kenyataannya. Timbang tara lah dan jangan tertipu dengan iklan dari pihak universiti yang lebih mengutamakan keuntungan.

Seterusnya, pastikan kursus yang anda pilih itu setara dengan keputusan SPM anda. Usah sekadar tangkap muat sahaja ruangan dalam borang UPU tersebut. Ada sahabat penulis yang dapat pilihan ke 8 yang hanya diletak untuk memenuhi ruangan kosong. Ingat, kesemua 8 ruang kosong itu ada gunanya. Jangan sembarangan. Fikir betul betul.

Dan yang paling penting, jangan lupa untuk berdoa dan beristikarah kepada Allah. Sesunggunya Allah mempunyai perancangan yang rapi dan hebat buat setiap hambanya. Jangan sekali kali anda berputus asa dengan Allah. Sentiasa berdoa kepadanya agar Allah memakbulkan permintaan anda dan membantu anda ke universiti yang anda mahu.

Wallahua’lam…

Mahasiswa Dan Kaldai

Mahasiswa perlu memahami sesuatu isu dari pelbagai sudut pandangan. Sebolehnya mahasiswa harus mencari sebanyak mungkin pandangan dari pelbagai pihak tentang sesuatu isu. Dengan ini mahasiswa dapat menilai mana satu hujah yang lebih kuat dari banyak-banyak pendapat ini.

Mencari pendapat dari pelbagai sumber membantu pelajar untuk meluaskan lagi pemikiran mereka. Mereka akan dapat mendedahkan diri mereka dengan pelbagi jalur ideologi dan pegangan politik atau agama. Setiap ideologi, fahaman politik, agama, kaum, mempunyai cara yang berbeza untuk menilai sesuatu isu. Perbezaan latar, tempat dan masa mempengaruhi cara mereka membuat penilaian. Dan perbezaan ini sangat baik dalam memeriahkan pemikiran mahasiswa. Tidak harus bagi seorang mahasiswa untuk mengehadkan pemikirannya pada pandangan satu pihak sahaja. Harus juga ia mengambil tahu akan pandangan golongan lain yang ada di muka bumi ini.

Seorang mahasiswa Islam contohnya, tidak seharusnya membaca pandangan dari akademia  Muslim sahaja. Mengutip kalam-kalam ulamak semata-mata. Perlu juga untuk nya mencari pendapat dari golongan lain yang kadang-kadang jauh berbeza dengan pandangan akademia Muslim. Memang, tidak dinafikan sebagai seorang Islam mestilah mahasiswa itu mendokong pandangan yang berteraskan pandangan Alam Islam (Islamic Worldview). Namun itu tidak bermakna hujah golongan lawan harus ditolak mentah-mentah atau dibuang terus. Perlu juga diambil tahu mengapa pihak mereka berkata begini, berbuat begitu.

Mahasiswa itu ibarat seorang pelayar yang berada nun jauh di tengah lautan luas. Kelihatan dari jauh sebuah tanah daratan yang kadang-kadang nampak hijau. Kadang-kadang nampak kontang. Maka diambilnya sebuah teropong, diteropong pulau tersebut. Kebetulan teropok tersebut sudah usang, maka kantanya juga sudah kekuningan, maka kelihatanlah pulau itu sebuah tanah tandus. Maka dipusingnya kapal, dibawa berlayar mencari daratan lain. Padahal yang sebenarnya pulau itu subur dengan tumbuhan hutan. Dek kerana percaya kepada satu teropong sahaja maka terlepas sebuah pulau dari genggaman. Sepatutnya diambil sebuah lagi teropong, lihat kembali kepada pulau tersebut. Hijau kah? Atau kuning kontang kah?

Begitu juga dengan mahasiswa dalam melihat sesuatu isu. Tidak boleh berpegang pada satu sumber sahaja. Perlu memperbanyak sumber. Setiap pandangan harus dibaca dan diteliti. Jangan dianggap enteng semata kerana yang menulisnya bukan orang kita. Isu orang kita ini juga menjadi satu masalah kepada mahasiswa. Kebanyakan mahasiswa hari ini hanya mahu membaca tulisan orang kita. Akhirnya timbul rasa “syok sendiri”. Adat lah bagi seseorang penulis untuk mengangkat kedudukan puaknya dalam sesuatu isu. Jadi apabila mahasiswa ini hanya mengehadkan pembacaan pada satu sumber sahaja, yang berbetulan pula adalah tulisan orang kita, maka timbullah perasaan “syok sendiri” ini. Rasa kagum pada puak sendiri. Semangat puak aku sahaja yang betul menebal dan orang lain semua dianggap propaganda, tipu helah semata.

Maka kemudian timbul pula unsur  taksub. Ini lagi bahaya. Taksub menyebabkan seorang mahasiswa menjadi buta dan rabun dalam memahami sesuatu isu. Mereka akan berasa bahawa hanya pemimpin mereka sahaja yang betul. Pemimpin lain semua salah. Apa yang dikatakan pemimpin mereka semua betul. Tidak patut dibangkang kerana memang sudah betul. Ini bahaya. Ini bukan sikap seorang mahasiswa. Ini sikap seekor kaldai yang menarik pedati di pasar yang busuk. Di mana tuannya menunjuk, di situ ia pergi. Adakah nilai akal mahasiswa hanya seperti seekor kaldai? Sudah tentu tidak, bukan?

Mengetahui hujah puak sebelah sana juga penting dalam menangkis hujah mereka. Masih ramai mahasiswa yang bersikap “menegak benang yang basah”. Mereka secara semberono menyatakan hujah puak sebalah sana sebagai salah, dan terus mengemukakan hujah mereka. Sepatutnya mereka menilai hujah puak sebelah sana, teliti mana yang pincang, dan kemukakan kepincangan tersebut, barulah dibentang hujah puak kita pula. Baru lah dapat dipatah dengan baik hujah pulak sebelah sana. Jika sekadar mengemukakan hujah sendiri, maka itu tidak dinamakan patah hujah lawan. Tapi sekadar bertukar pandangan. Kalau sekadar bertukar pandangan, maka bagaimana dapat dibuktikan bahawa hujah kita lebih kuat? Mahu tak mahu, hujah lawan harus diteliti, dan sampai masa, patah hingga tak mampu tumbuh lagi.

Seorang Pro-Mahasiswa tidak boleh hanya membaca blog aktivis Pro-M sahaja. Baca juga blog aktivis Pro-Aspirasi. Penyokong PAS tidak boleh hanya mabuk dalam tinta Lutfi Othman sahaja, cuba juga hirup buah fikiran Awang Selamat. Bukan untuk kita percaya dan ambil bulat-bulat. Tapi untuk membandingkan hujah orang kita dengan orang sana. Barulah keyakinan kita adalah keyakinan yang betul-betul, bukan sekadar ikut-ikut.

Kesimpulannya, sebagai seorang mahasiswa,  kita perlu memahami sesuatu isu dari pelbagai sudut pandang. Tidak boleh dari satu sudut pandang sahaja. Memahami isu dari pelbagai sudut akan menghindar budaya taksub dan juga membantu kita memahami pandangan golongan sebelah sana.

Wallahua’lam.

ensiklopedia mahasiswa menggugat

Ensiklopedia Mahasiswa Menggugat: Sejarah Gerakan Mahasiswa Malaysia
“Bangkit Dengan Ilmu dan Darah”

Bab 1: Pengenalan

  • Siapa Mahasiswa Menggugat?
  • Sejarah Gerakan Mahasiswa Seantero Dunia

Bab 2: Sejarah Penubuhan Universiti Utama Di Malaysia

  • UM
  • UKM
  • UTM
  • UIAM
  • UiTM
  • USM
  • UPM

Bab 3: Gerakan-Gerakan Mahasiswa Di Malaysia

  • Sosialis
  • Islamis
  • Budaya

Bab 4: Gerakan Mahasiswa 1960-an

Bab 5: Gerakan Mahasiswa 1970-an

Bab 6: Gerakan Mahasiswa 1980-an

Bab 7: Gerakan Mahasiswa 1990-an

Bab 8: Gerakan Mahasiswa Alaf Baru

Bab 9: Aktor Penting Gerakan Mahasiswa

Bab 10: Mehnah & Tribulasi Gerakan Mahasiswa

  • Persaingan antara Gerakan Mahasiswa
  • Pertembungan fahaman
  • AUKU

Bab 11: Penutup

Bab 12: Alumni Gerakan Mahasiswa: Di Mana Mereka Sekarang?

  • Politik
  • NGO
  • Akademia
  • Lain-lain

Bab 13: Galeri

indahnya alam mahasiswa…

Indah sungguh hidup sebagai mahasiswa. Lebih-lebih lagi bagi seorang perantau. Jauh dari keluarga, ibu, ayah, saudara, kawan sekampung. Semua bagaikan asing. Baru lihat dunia luar.

Hidup sebagai mahasiswa memang sangat mencabar. Ketika inilah kita belajar apa itu persahabatan. Sahabat yang setia menyokong walau semua menentang. Sahabat yang setia membantu walau semua memulau.

Ketika bergelar mahasiswa ini lah, kita belajar apa itu makan roti yang dah 2 minggu luput.

Ketika bergelar mahasiswa ini lah, kita belajar apa itu makan sebuku roti sahaja selama seminggu.

Ketika bergelar mahasiswa ini lah, kita belajar apa itu meniru tanda tangan mak ayah untuk jadi penjamin.

Sungguh indah. Sungguh indah.

nota: Penulis akan menduduki peperiksaan akhir semester satu pada minggu hadapan. Doakan agar penulis berjaya dunia akhirat…

Ya Rabbi…
Permudahkan lah urusan ku untuk menjawab peperiksaan akhir nanti…
Datangkan lah ilham mu kepada ku untuk membantu ku…
Bentangkan ilmu mu kepada ku untuk membantu ku…
Pandu lah tangan ku untuk membantu ku menulis dengan betul…
Lancarkan penulisan ku agar yang mereka yang menyemak nya faham apa yang ku ingin sampaikan…
Lembutkan lah hati mereka yang akan menyemak nya…
Aku sudah bersusah untuk mencari ilmu, kau permudahkan lah pula kepada ku untuk mencari Syurga mu…
Wahai yang membolak balek kan hati…
Tetapkan lah hati ku untuk kekal mentaati mu….

Amin…

Sampai Bila Kita Nak Merogol Gadis Penan?

Senyap. Sepi. Sunyi. Tiada pembelaan. Tiada kelab penyokong. Tiada segalanya. Itu lah nasib para gadis Penan yang terlibat dalam penganiyaan oleh pembalak-pembalak di Sarawak. Agak melucukan kerana perkara sebegini seolah tiada harga di mata kita. Yang menghantar memorandum hanya 5-6 batang sahaja. Tidak seramai membantah ISA.

Kecoh. Bising. Meriah. Penuh pembelaan. Ada kelab penyokong. Ada segalanya. Itu lah tuah Kartika. Dihukum rotan kerana disabit kesalahan minum arak. Kecoh apabila si pejuang hak asasi manusia mempertikai jenis hukuman dan juga jantina pesalah. Sangat beruntung si Kartika. Semua pihak mahu membela. Semua pihak mahu melawat. Macam pejuang Islam pula. Terbaru, sebuah persatuan mahasiswa melancarkan Kelab Penyokong Kartika. Apa kah tujuan sebenar ditubuhkan tak tahu lah. Mungkin tekanan akibat bahang “final exam” yang menghampiri.

Sudah menjadi kebiasaan bagi manusia untuk gagal menilai keutamaan dalam kehidupan. Mahasiswa juga termasuk dalam golongan ini. Agak malang bagi kita golongan mahasiswa apabila sering kali tersilap letak di mana keutamaan yang sebenar. Kita gila berpolitik, gila berhibur, gila belajar, gila segalanya. Hingga lupa dunia. Tidak salah berpolitik. Tak dilarang hendak berhibur. Bagus jika suka belajar. Tapi haruslah tahu susun atur keutamaannya.

Dalam konteks perjuangan membela rakyat, penulis agak kecewa dengan kesunyian dan kesepian dari pihak Gerakan Mahasiwa yang seakan gagal untuk memainkan peranan dalam membela nasib gadis Penan. Mungkin jika ditanya, ramai yang tak tahu apa sebenar isu gadis Penan ini. Semua sibuk dengan Bagan Pinang, Kartika, dan sebagainya.

Hendak dikatakan faktor geografi, mustahil kerana sekarang kita ada internet. Ada blog. Ada segalanya. Tapi, kita tetap gagal mengambil tahu tentang isu ini. Apatah lagi untuk memperjuangkan isu ini.

Kenapa isu ini lebih penting dari Kartika?

Isu Kartika hanyalah sebuah kontroversi murahan yang juga memalukan mahkamah Syariah di Negara kita. Isu sebat ini bukan baru. Sudah lama. Dulu dua beradik disebat kerana minum arak. Apa nak dikecohkan sangat?

Nun jauh di Sarawak isu lebih besar menanti untuk dihebohkan. Gadis Penan sudahlah majoritinya tidak berpendidikan, tiada kad pengenalan, tiada segalanya. Mereka ini yang sepatutnya dibela. Kita selaku mahasiswa seharusnya membantu mereka ini. Tidak perlu terbang ke Sarawak. Cukup dengan mengadakan tabung bantuan, unjuk rasa, sidang akhbar, tunjukkan bahawa kita perihatin kepada mereka.

Gadis Penan ini tidak bersalah. Mereka perlu dibela bukan kerana mereka dijatuhkan hukuman sebat kerana berzina. Mereka ini dirogol. Diulangi, mereka ini dirogol! Buta huruf, tiada pengenalan diri, miskin, ditambah pula dengan penganiyaan melampau, sedah cukup bagi kita untuk mengambil tindakan sewajarnya. Tapi, adakah apa-apa tindakan yang diambil?

Buat sayap puteri Gerakan Mahasiswa, tidak cukup kah penganiyaan ini? Tidak cukup hebatkah penganiyaan terhadap kaum wanita dalam kes Penan ini? Kenapa seakan sepi membisu? Bukan kah sayap puteri ditubuh untuk memainkan peranan penting dalam isu wanita? Tapi jika isu sebesar ini boleh dipandang sebelah mata, apa guna lagi sayap puteri?

Kita selalu menghentam puak-puak liberalis, kononnya mereka tidak menghormati mahkamah Syariah dalam isu Kartika. Tapi tahukah anda bahawa Joint Action Group (JAG) adalah antara mereka yang pertama menghulur bantuan buat gadis-gadis Penan? Kita menghentam mereka tapi nampaknya sekarang mereka membuktikan bahawa mereka lebih prihatin tentang isu penganiyaan terhadap wanita daripada kita. Sekarang, layakkah kita menghentam JAG kerana mempersoal mahkamah Syariah? Kita marah mereka. Ya, itu betul kerana mereka ini tidak menghormati “Legal Pluralisme” yang diamalkan di Negara kita. Tapi, nampaknya sekarang kita sudah ketinggalan satu tapak di belakang mereka.

Membela kaum tertindas itu sifat seorang Muslim. Tapi kenapa Gerakan Mahasiswa Islam gagal membela mereka? Kenapa khayal dalam isu Kartika semata? Hendak dikatakan tak sempat nak tengok, tidak masuk akal juga. Kerana Gerakan Mahasiswa Islam lah yang sering memukul canang mempromosi media alternatif. Isu ini hangat dimainkan di media alternatif. Tapi nampaknya kita masih ketinggalan. Mungkin, ini kerana Kartika itu model. Comel lote. Tapi gadis Penan? Comot…

Jika sudah ada tindakan dari gerakan mahasiswa, maka penulis ucapkan tahniah. Kerana anda buktikan anda tidak tidur dalam berjuang. Kepada yang belum bertindak, bangkitlah dari mimpi.

Sekian.

Wallahua’lam…

Mahasiswa Pembela Rakyat

Mahasiswa Pembela Rakyat Tertindas

Penulis berkesempatan menonton dokumentari Tragedi Trisakti dan Semanggi[1] di Indonesia ketika era Reformasi dahulu. Penulis terasa begitu teruja melihat kelantangan dan kegigihan serta keberanian para demonstran yang terdiri daripada anak-anak mahasiswa di universiti-universiti terkemuka di Indonesia. Mereka ini berdemonstrasi bukanlah kerana elaun mereka ditarik. Bukanlah kerana Kafeteria di kolej mereka ditutup. Bukan juga kerana masalah parking di Fakulti. Tapi mereka ini berjuang, turun berpanas di jalan raya kerana ingin menyuarakan suara rakyat bawahan.

Mahasiswa adalah agen kepada rakyat marhaen. Orang politik sukar untuk diharap bagi membela nasib rakyat. Jika ada “political mileage”, cepat sahaja mereka membantu. Tapi jika tiada, jangan harap nak nampak batang hidung. Ini semua kerana orang politik gilakan kuasa, dengan kuasa sahaja mereka dapat menjalankan agenda mereka. Jika sesuatu perkara itu tidak mendatangkan faedah kepada usaha mereka dalam mendapatkan kuasa, buat apa mereka bersusah?

Di sini lah mahasiswa memainkan peranan yang cukup besar. Mahasiswa adalah golongan yang bebas dari mana-mana faham politik kepartian. Mereka berjuang atas nama mahasiswa. Mereka jatuh, mereka bangun, mereka tumbang, mereka bangkit, mereka dipasung, mereka direjam, semua atas nama mahasiswa. Ini yang sepatutnya berlaku. Dengan adanya minda bebas dari cengkaman parti politik, maka mahasiswa akan secara automatik merasa terpanggil untuk membela nasib rakyat marhaen, tak kira menguntungkan mereka atau tidak.

Contoh mudah, Tragedi Baling. Apa kaitan mahasiswa di Universiti Malaya, di Institut Teknologi Mara, Universiti Pertanian Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia[2] dengan masyarakat Baling? Adakah kemiskinan, kemelaratan, kebangsatan masyarakat Baling akan mengurangkan elaun mahasiswa ini? Adakah kebuluran di Baling akan memberi kesan terhadap kualiti makanan di Kafeteria? Adakah perarakan kaum buruh di Baling akan menghalang mahasiswa untuk parking di Fakulti masing-masing?

Jawapan kepada semua pertanyaan sinis ini sudah tentulah tidak. Tidak ada langsung pertalian di antara mahasiswa ini dengan rakyat Baling. Yang ada cumalah mereka semua merupakan warganegara Malaysia. Itu kalau dilihat dengan mata kasar. Mata yang cuma melihat zahiriyah tapi sering buta terhadap batiniyah.

Tidakkah bodoh mahasiswa ini berpanas, beresak-esak membawa sepanduk, melaung-laung di bawah panas terik semata-mata demi rakyat Baling yang tiada kena mengena dengan mereka? Jika anda adalah Doktor Mahathir, maka jawapannya adalah ya. Bagi anda mereka bodoh. Tapi jika anda merupakan seorang yang beridealisma, maka anda akan menyangkal kebodohan Doktor Mahathir ini[3].

Perjuangan mahasiswa tidak dirantai pada isu-isu yang bersangkut-paut dengan hak mahasiswa sahaja. Ia juga bukan hanya setakat isu berkaitan politik. Ia jauh melangkau isu-isu popular ini. Isu penderitaan rakyat juga termasuk dalam agenda perjuangan mahasiswa. Akan tetapi, kenapa hari ini dalam pada mana hampir setiap masa kita mendengar masalah rakyat dengan golongan keparat yang rakus membaham tanah rakyat dan hak-hak mereka, mahasiswa kita masih lagi sibuk dengan isu seperti ISA, e-Undi, dan sebagainya lagi yang rata-rata berkait dengan politik. Seolah-olah, perjuangan mahasiswa ini semata-mata berkaitan politik sahaja.

Ini pandangan yang tidak betul. Mahasiswa wajib berpolitik, tapi jangan sampai gila politik. Biarkan kegilaan itu dirayakan oleh para politikus. Kita sebagai mahasiswa menggugat, yang bebas dari sebarang faham politik kepartian, harus mengambil jalan tengah. Yang baik kita sokong, yang buruk kita tentang. Tak kira siapa yang melakukannya. Kita berpolitik ikut kadar kita, ikut cara kita. Jangan dicontohi bulat-bulat perangan parti politik. Kita gerakan mahasiswa, bukan parti politik. Kita tidak perlukan “political mileage”. Kita tidak perlukan populariti.  Jangan semua jentera kita dihalakan buat membedil isu-isu politik semata.

Kita seharusnya tahu dengan jelas agenda perjuangan. Jangan hanya mabuk dalam politik. Ramai, bukan sedikit mahasiswa hari ini yang melihat gerakan mahasiswa sebagai agen parti politik. Akhirnya, ramai yang masuk kerana ingin dilihat sebagai “PAS”, “UMNO”, dan sebagainya. Tak kurang juga yang menolak menyertai gerakan mahasiswa kerana tidak suka kepada politik. Ini lah keburukan yang berlaku bila mahasiswa terlalu gila politik.

Berbalik kepada persoalan asal, mahasiswa seharusnya menjadikan diri mereka pejuang kepada golongan yang tertindas. Orang kampung, mereka kebanyakan tak faham bidang perundangan, mereka tidak fasih bab ekonomi. Sebut nama Lord Atkin, terlopong mulut mereka. Jadi, adakah mereka ini boleh diharap dalam membela nasib sesame mereka? Sudah tentu golongan yang tamak, boleh berlagak umpama orang mengantuk disorong bantal. Mudah sahaja menipu rakyat. Rakyat hanya akan sedar mereka ditipu setelah semuanya sudah terlambat.

Jadi, di sinilah mahasiswa memainkan peranan. Kita harus menjadi golongan yang memberi faham kepada rakyat bahawa mereka sebenarnya ditipu. Kita seharusnya menjadi agen yang mempertahankan kepentingan rakyat. Orang kampung tak berani untuk membuka mulut. Kalau berani pun, mereka tak tahu ke mana mereka harus pergi untuk buka mulut. Jika mereka tertindas di bumi BN, mereka boleh mengadu nasib kepada PR. Tapi bagaimana jika yang ditindas itu berada di bumi PR? Hendak mengadu kepada PR? Ibarat kambing masuk kandang harimau. Jadi kita lah yang harus menyuarakan suara golongan yang tertindas ini. Kita tidak tunduk pada tekanan parti politik. Kita tidak menjadi ahli dalam mana-mana pakatan. Kita bebas bertindak mengikut acuan kita sendiri. BN atau PR, apa beza nya? Semua akan ditentang jika menindas rakyat.

Malangnya, adakah mahasiswa hari ini, sanggup untuk berbuat demikian? Apakah mahasiswa sanggup menggadai cita-cita politik mereka demi kepentingan rakyat? Kita hari-hari bermimpi untuk mengulangi pencapaian wira-wira kampus seperti Hishamuddin Rais, Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali, yang lantang melaungkan “STUDENT POWER” hingga menggugat kerusi pemerintah. Tapi adakah aspirasi dan keazaman kita hari ini selari dengan mereka semua? Adakah matlamat perjuangan kita hari ini, sejelas matlamat mereka? Mereka berjaya, kerana mereka punya agenda yang jelas dan mereka berpegang teguh kepada agenda itu. Tapi kita hari ini?

Ayuh rakan mahasiswa, bangkitlah dan sedar bahawa tugas membela rakyat tertindas terletak di bahu kita, bukan di bahu JKKK atau JSR. Kita yang harus berjuang memartabatkan kembali maruah rakyat. Jangan salahkan politikus jika kita sendiri tak buat kerja. Kita bukan agen parti politik. Tapi kita agen rakyat.

Sekian.

Wallahua’lam…

Nota: Penulis ada bertanya kepada otai-otai dalam gerakan mahasiswa mengenai keterlibatan mahasiswa dalam isu Kampung Buah Pala. Dan jawapan yang penulis terima adalah:

-          Ana x sure.. Dr um, mcm x da. (UM)

-          Ana xpastilh. (UIAM)

Penulis tak mahu komen mengenai jawapan-jawapan ini. Bak kata Nabil, “LU PIKIR LAH SENDIRI.”


[1] Dalam tragedi ini, mahasiswa Indonesia yang beraspirasi tinggi turun ke jalan raya bagi menumbangkan regim Suharto yang rakus memperkosa kepercayaan rakyat. Kebangkita hebat mahasiswa ini bagaimanapun telah dibalas dengan kekerasan melampau dari pihak tentera. Akhirnya, para mahasiswa pejuang rakyat menjadi mangsa.

Tragedi Trisakti, 13 November 1998. Cedera, 253 orang. Cedera akibat tembakan: 14 mahasiswa, 1 orang pensyarah, 2 pelajar sekolah tinggi, dan 15 pemerhati.

Tragedi Semanggi, 13 November 1998. 7 mahasiswa terkorban, 1 pelajar sekolah tinggi, 9 pemerhati, dan 1 anggota polis.

http://www.youtube.com/watch?v=sD89O4_6ZPY

[2] Penderitaan masyarakat tani di Baling menarik perhatian pelajar di kampus dan kezahiran pendapat mereka terhadap isu ini dengan mengadakan demonstrasi di kelab Sultan Sulaiman pada 3 Disember 1974. Persatuan pelajar yang bergabung di bawah satu barisan terdiri PKPIM, PKPM, KSITM, PMUK, PMIITK, PMIUPM, PBCUM, Kelab Sosialis dan PMUM. Perhimpunan ini disuraikan oleh polis pada pukul 9.50 pagi dan mereka berundur serta berkubu di Masjid Negara. Polis menyerbu Masjid Negara setelah Iman Masjid Negara meminta polis masuk ke dalam masjid kerana pelajar mengugut akan merosakkan peralatan masjid. Seramai 1138 orang pelajar ditahan termasuk 77 wanita. Perkara yang menarik, demonstrasi pelajar pada kali ini bersifat kulli atau kolektif kerana diadakan di beberapa tempat di negara ini. Seramai 300 pelajar USM turut berdemonstrasi di Sungai Nibong dan seramai 200 pelajar Politeknik Ungku Omar berhimpun di depan Sekretariat Negeri Perak. Mohamad Ridhwan Bin Alias, Gerakan Mahasiswa di Universiti Malaya, 2004.

[3] Doktor Mahathir adalah insan keparat yang bertanggungjawab merogol aspirasi mahasiswa dengan memperkenalkan AUKU. Tiada guna bersimpati kepada Doktor Mahathir. Genius? Firaun membina Piramid yang kukuh sehingga beribu tahun. Geniuskah Firaun di mata kita?